Hebatkah Peralatan Canggih Tanpa Digunakan Untuk Membela Islam?

altHebat
MALAYSIA turut tidak ketinggalan mengambil bahagian memperagakan keluaran peralatan ketenteraan pada pameran bertaraf dunia di Bangkok, semalam.

Lebih 300 pengilang pengeluar peralatan ketenteraan dari 50 negara berkampung di Pameran Keselamatan dan Pertahanan 2009 di ibu negara gajah putih itu bagi mempamerkan kehebatan teknologi baru hasil ciptaan masing-masing kepada umum.

Pameran kali ketiga itu berlangsung selama empat hari. Ia anjuran Kementerian Pertahanan Thailand dan akan berakhir pada 7 November ini.

Antara peralatan ketenteraan yang dipamerkan ialah sistem teknologi persenjataan, misil, tangki, pelancar roket, kenderaan yang dilengkapi senjata dan kapal tentera laut. – AFP

Sumber: Utusan Malaysia 5/11/09

Berbagai peralatan perang yang moden dan canggih dihasilkan setiap tahun. Namun persoalan yang perlu ditanya adalah, untuk apa semua ini? Kalau kita perhatikan, salah satu tujuan utama, seperti mana yang disaksikan di atas adalah untuk perniagaan. Umum mengetahui bahawa industri persenjataan merupakan salah satu dari industri yang paling banyak membawa keuntungan. Fokus beralih dari tujuan sebenar persenjataan dibina kepada peragaan dan keuntungan wang ringgit.

Persenjataan canggih yang wujud hari ini seharusnya digunakan untuk mempertahankan Islam dan kemuliaan umat Islam. Namun kini, hakikat tersebut dilalaikan. Buktinya rakyat Palestein yang ditindas dan dizalimi sepanjang masa di tanah tumpah darah mereka sendiri sehingga kini masih tidak mendapat pembelaan dari mana-mana pihak secara bersungguh-sungguh melalui penggunaan peralatan yang moden dan canggih tadi. Umat Islam di Palestine terpaksa menentang tentera Yahudi yang zalim dan ganas itu secara sendirian dengan berbomkan ‘batu-batu kerikil’ semata-mata. Apa guna semua persenjataan ini jika ia hanya menjadi barang peragaan dan dijual beli untuk mendapat keuntungan sedangkan kewajiban untuk menggunakannya secara benar dilalaikan?