Hentikan Islamofobia dengan Khilafah!

Seorang lelaki Muslim bernama Ilyas diangkat menjadi seorang wira Muslim setelah menghalang pembakaran Al-Quran secara terbuka di Kristiansand, Norway, bersempena perhimpunan ‘Stop Islamization of Norway (SIAN) di sini semalam. Dalam kejadian tersebut, Ilyas telah menyerbu dan menendang ketua perhimpunan SIAN, Lars Thorsen yang sedang membakar al-Quran pada waktu itu [sumber: Sinar Harian, 23/11/2019].

Perhimpunan sebegini bukanlah yang pertama, bahkan semakin kerap dianjurkan oleh puak-puak berhaluan kanan Eropah yang mempunyai kebencian mendalam terhadap Islam dan melihatnya sebagai suatu bentuk ancaman. Sentimen Islamofobia sebegini semakin menjadi-jadi di beberapa buah negara Barat setelah berlakunya imigrasi sebilangan umat Islam dari negara-negara Muslimin yang dilanda konflik. Bahkan umat Islam di negara-negara Barat seringkali menjadi mangsa jenayah kebencian hanya kerana akidah yang dipegang dan identiti mereka sebagai Muslim.

Namun sesungguhnya Islamofobia bukanlah hal dan perkara yang baru bagi Islam dan umat Islam. Islamofobia sudah wujud semenjak zaman Rasulullah diutuskan lagi. Ketika itu, para pemuka kafir Quraisy menolak dakwah Rasulullah dengan berbagai-bagai cara. Pada mulanya mereka menggunakan cara yang halus iaitu dengan melobi dan menawarkan harta, takhta dan wanita agar baginda menghentikan dakwah kepada Islam. Setelah semuanya gagal, mereka mulai pula dengan cara yang lebih agresif yakni melalui “smear campaign” dengan menggelar Rasulullah sebagai orang gila, tukang sihir dan lain-lain lalu menganiaya hingga memboikot baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhum selama lebih kurang tiga tahun.

Islamofobia yang melanda dunia hari ini telah memberikan isyarat jelas bahawa kaum kafir tidak akan berhenti melakukan provokasi, menghina, menyeksa, mendiskriminasi, bahkan sampai ke peringkat membunuh umat Islam kerana kebencian mereka kepada Islam dan umat Islam itu sendiri.  Situasi getir sebegini sekaligus merupakan bukti keperluan mendesak untuk segera mengembalikan semula Khilafah Rasyidah yang berperanan sebagai perisai umat (junnah) seperti sabda Rasulullah ,

إنما الإمام جنة يقاتل من ورائه ويتقى به

”Sesungguhnya al-Imam (Khalifah) itu bagaikan perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.”
[HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud]

Ustaz Umar Hussein
Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia