Hentikan politik, tumpukan pada usaha membasmi Covid-19!
“Hentikan politik, tumpukan pada usaha membasmi Covid-19.” Inilah kata-kata yang sering kedengaran sekarang ini. Sejak bermulanya wabak Covid-19 di Malaysia, banyak pihak khususnya daripada parti pemerintah dan para penyokong mereka menyeru supaya dihentikan politik dan semua pihak seharusnya menumpu kepada usaha untuk membendung pandemik tersebut. Lebih buruk, siapa sahaja yang cuba mengkritik kerajaan, walaupun kritikan mereka itu betul, mereka akan dikecam hebat, malah akan dilontarkan dengan kata-kata kesat oleh penyokong kerajaan, hanya semata-mata kerana negara sedang berhadapan dengan wabak yang mematikan ini. Seringkali kecaman itu menjurus supaya dihentikan segala komen, ucapan, penulisan, kata-kata dan sebagainya yang bersifat politik, seolah-olah satu kesalahan besar untuk berpolitik pada waktu ini.
Hal ini muncul sekurang-kurangnya kerana tiga sebab utama seperti berikut:
1. Kerana pihak-pihak yang berkenaan tidak memahami maksud siyasah (politik) yang sebenar menurut Islam – Siyasah (politik) dari segi bahasa berasal daripada lafaz sasa, yasusu, siyasatan yang bermaksud mengurus. Secara lughah (bahasa) ia membawa pengertian pengaturan atau pemeliharaan Manakala maksud siyasah menurut syarak adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri).
Kewajipan politik pemerintah ialah untuk mengurusi setiap urusan umat (rakyat)nya dengan Islam. Ini kerana, amanah yang Allah (swt) bebankan ke atasnya ialah untuk menerapkan hukum-Nya. Jika ia tidak melakukan hal ini, atau melakukan kelalaian dalam penerapan hukum Allah (swt), maka ia berdosa dan wajib dimuhasabah.
Jadi, kewajipan politik umat Islam pula, baik sebagai individu, apatah lagi sebagai sebuah gerakan Islam ialah untuk muhasabah li al-hukkam (memuhasabah pemerintah) dalam setiap penyimpangannya daripada Islam. Apabila pemerintah telah menyimpang daripada ketentuan Allah dan Rasul-Nya, bermaksud ia telah melakukan kelalaian atau kezaliman yang wajib diluruskan, dan menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk meluruskannya.
Apabila mana-mana individu atau parti politik melakukan kritikan atau muhasabah kepada pemerintah, ia sebenarnya sedang menjalankan kewajipan syarie-nya. Sebaliknya jika mana-mana individu, apatah lagi parti politik berdiam diri (tidak melakukan muhasabah) terhadap kelalaian dan kezaliman pemerintah, mereka telah berdosa. Hal ini banyak disebutkan dalam nas.
Oleh yang demikian, jika seseorang Muslim itu memahami definisi politik dengan cara yang benar, mereka tidak akan menyuruh supaya menghentikan politik, kerana berpolitik itu merupakan kewajipan atas setiap Muslim. Mereka juga tidak akan mengecam, apatah lagi menghina atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak yang memuhasabah kerajaan, tidak kiralah semasa Covid-19, sebelum Covid-19, atau sesudah Covid-19, kerana muhasabah kerajaan itu adalah kewajipan politik setiap Muslim. Jadi, jika Muslim itu memahami makna politik yang sebenar, ia sendiri akan turut melakukan muhasabah yang sama jika melihat pemerintah tidak menerapkan Islam dalam pemerintahannya, bukannya menghalang orang lain daripada berpolitik.
2. Kerajaan yang baru terbentuk sekarang, telah terbentuk bukan dari mandat rakyat, yang kelihatan takut dan belum bersedia untuk menerima kritikan. Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya pada 27 Mac lalu mengakui bahawa kerajaan pimpinannya bukanlah kerajaan pilihan rakyat. Bagaimana pun cara kerajaan ini terbentuk, baik melalui pintu belakang atau melalui atap, sah atau tidak, sekarang ini mereka kena sedar bahawa Allah (swt) telah meletakkan satu tanggungjawab yang berat kepada mereka. Mereka seharusnya berlapang dada untuk menerima sebarang teguran, walaupun teguran keras dari rakyat, dari gerakan Islam, dari pembangkang, atau dari siapa sahaja.
Mereka seharusnya menilai setiap teguran atau muhasabah, dan mengambil yang mana baik, bukannya dengan meletakkan satu ‘mental block’ untuk menolak sebarang bentuk kritikan dari awal. Apa yang memburukkan keadaan ialah para penyokong kerajaan baru ini yang kelihatannya langsung tidak boleh menerima kritikan seolah-olah kerajaan baru ini sebuah kerajaan yang suci. Ramai rakyat atau kumpulan-kumpulan yang ada menegur untuk kebaikan walaupun teguran itu dilakukan dalam bentuk keras, sindiran, berterus terang, berkias dan sebagainya. Kerajaan baru ini seharusnya belajar menerima dan menjawab kritikan dengan baik sebagaimana diajar oleh Islam, bukannya dengan terus meletakkan kesalahan kepada mereka yang mengkritik.
3. Mengambil peluang isu Covid-19 untuk menutup pintu muhasabah atau segala kepincangan – Apabila kerajaan dan penyokong-penyokong mereka mengatakan supaya dihentikan politik dan tumpukan kepada usaha melawan Covid-19, hujah ini dengan jelas menunjukkan yang mereka memanfaatkan isu Covid-19 ini untuk menutup segala kritikan kepada kerajaan. Mereka seharusnya ingat bahawa tanggungjawab sebagai kerajaan ialah untuk mengatur rakyat dengan Islam dan menjaga kebajikan rakyat dengan cara yang terbaik. Justeru, jika rakyat mengkritik mereka kerana kelalaian mereka atau kerana kesusahan yang rakyat alami hasil daripada polisi atau keputusan yang mereka buat, maka segala keluhan rakyat ini harus diterima dan diteliti.
Sayangnya hal itu tidak berlaku. Oleh kerana kerajaan PN ini baru terbentuk semasa Covid-19 ini melanda, kelihatannya isu ini dimanfaatkan untuk menutup suara rakyat dan suara pembangkang, atas alasan kita semua kena berusaha untuk memerangi wabak ini dan bukan masa untuk berpolitik.
Jika kita masih ingat banjir besar yang melanda negeri-negeri pantai Timur, khususnya Kelantan pada 2014, pembangkang pada waktu itu (yang sekarang ini menjadi sebahagian daripada parti pemerintah) ‘menghentam’ kerajaan dengan cukup lantang kerana gagal menangani isu banjir, termasuklah gagal memberi bantuan kepada mangsa, baik semasa banjir atau selepas banjir telah lama surut. Ini adalah tindakan yang benar kerana setiap kelalaian pemerintah dalam mengatur urusan umat itu wajib dimuhasabah, baik ketika aman mahupun ketika bencana. Malah kelalaian pemerintah mengatur urusan dan keperluan rakyatnya semasa bencana itu lebih wajar lagi untutk dimuhasabah!
Di sinilah kita perlu mengambil pendirian yang benar dalam isu ini, agar hati-hati kita tidak dimasuki sifat nifak, sombong, pantang ditegur, merasa diri sebagai sempurna dan betul dalam segenap aspek dan pelbagai sifat buruk lainnya. Kerajaan dan para penyokong mereka seharusnya melihat kritikan dengan pandangan yang positif, menilai setiap kritikan dengan adil dan mengambil yang baik daripadanya. Ini kerana, banyak kritikan yang membina, apatah lagi jika ia merupakan muhasabah yang menyeru pemerintah untuk kembali kepada Islam.
Penutup
Sungguh malang dalam keadaan wabak Covid-19 yang melanda ini, ia turut meluluh-lantakkan persaudaraan dan akhlak Islam, apabila menyaksikan umat Islam bergaduh, memaki hamun, mencarut, dan membenci satu sama lain, hanya kerana tidak boleh menerima kritikan yang ditujukan kepada kerajaan yang mereka sokong.
Sebagai Muslim, kita tetap kena muhasabah kerajaan apabila kerajaan tidak menunaikan tanggungjawab, atau gagal menjaga kebajikan rakyat, atau melakukan pembaziran di saat-saat rakyat mengikat perut dengan membuat lantikan menteri dan timbalan menteri yang begitu ramai, menteri dengan tugas-tugas khas, duta yang bertaraf menteri dan lain-lain. Sebagai Muslim, sikap dan tindakan yang benar dalam isu ini ialah dengan kita terus berpolitik, kerana politik itu merupakan sebuah kewajipan. Kita wajib untuk terus memuhasabah kerajaan dan memuhasabah saudara-saudara kita yang menyimpang dari ajaran Islam, dan dalam masa yang sama kita bersama-sama berusaha untuk mencegah dan membasmi Covid-19 mengikut apa yang digariskan oleh Islam.
Wallahu a’lam.
Abdul Hakim Othman