Hidup Berkah dengan Khilafah

Khilafah ialah sebuah negara kesatuan umat Islam di seluruh dunia. Daulah Khilafah ini merupakan kesinambungan daripada Daulah Islam di Madinah al-Munawwarah yang didirikan oleh Rasulullah (saw) sebaik sahaja tiba di Madinah setelah hijrah dari Mekah pada 622M. Sesudah kewafatan baginda (saw), Khilafah telah bertahan selama lebih dari 1,300 tahun sehinggalah Daulah Khilafah terakhir yang berpusat di Istanbul diruntuhkan secara rasminya pada 3 Mac 1924M.

Sejak itu, tiada lagi negara yang menerapkan syariat Islam sepenuhnya, baik dari aspek pemerintahan, ekonomi, perundangan, pendidikan dan lain-lain. Sebaliknya, sistem warisan penjajah dipaksakan ke atas umat Islam baik dalam aspek kenegaraan mahupun kehidupan bermasyarakat. Kesannya masih membekas sehingga ke hari ini. Pelbagai kerosakan dan kemudaratan terus berleluasa di negara kaum Muslimin apabila syariat Islam tidak diterapkan secara kaffah sejak runtuhnya Khilafah.

Artikel ini cuba menjelaskan sedikit-sebanyak peranan yang telah dan akan dijalankan oleh Khilafah dalam menjaga warganya sehingga dikatakan masyarakat akan hidup dengan penuh keberkatan di bawah panjinya.

Khalifah ialah gelaran bagi pemimpin negara Khilafah. Istilah ini digunakan untuk pengganti Rasul (saw) sebagai pemimpin umat Islam selepas kewafatan baginda (saw). Antara gelaran lain bagi Khalifah ialah Amirul Mukminin, Ulil ‘Amri dan Imam. Khalifah berperanan sebagai pelindung bagi rakyatnya, ini berdasarkan hadis dari Rasulullah (saw):

“Sesungguhnya al-Imam (khalifah) itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan di dalamnya umat berlindung” [HR al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud].

Khalifah memberikan jaminan kepada setiap warganegaranya, baik Muslim mahupun non-Muslim (Ahlu Zimmah). Jaminan ini termasuklah keamanan dan perlindungan dari segi harta, darah, keturunan, dan agama. Banyak bukti tentang jaminan yang telah diberikan oleh Khilafah di sepanjang sorotan sejarah. Selain itu, banyak juga kisah peperangan yang menyaksikan umat Islam dan Ahlu Zimmah saling membantu untuk mempertahankan negara daripada serangan Kafir Harbi. Catatan-catatan sebegini menggambarkan betapa mereka diberikan layanan yang baik sehingga mereka sanggup mempertahankan negara Khilafah, suatu layanan yang mereka tidak dapat dalam negara dan sistem selain Islam. Mereka tidak dipaksa untuk menganut Islam, sebaliknya mereka turut menerima layanan sebagaimana yang diterima oleh umat Islam yang menjadi warganegara.

Islam menuntut Khalifah, selaku ketua negara, untuk memenuhi keperluan warganya. Keperluan hidup ini dibahagikan kepada keperluan asas dan juga hak-hak asas bagi setiap warganegara. Keperluan asas setiap individu meliputi makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Manakala hak-hak asas setiap warganegara seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan percuma, termasuk hak untuk mendapatkan pekerjaan. Selain itu, Khilafah juga mesti menjamin perkhidmatan yang terbaik untuk warganya seperti pengangkutan dan lain-lain kemudahan awam, termasuklah juga keperluan untuk kecemasan. Semua ini bagi memastikan setiap warganegara dapat menjalani kehidupan yang selesa dan selamat.

Dalam menjamin keperluan asas warganya, mana-mana individu yang tidak memiliki harta, tiada pekerjaan, atau tidak ada orang yang menanggung nafkahnya, maka individu tersebut secara automatik akan menjadi tanggungan Khilafah tanpa melihat bangsa dan agamanya. Rasulullah (saw) bersabda:

“Siapa pun yang meninggalkan harta, maka harta itu bagi orang yang mewarisi, dan siapa pun yang meninggalkan anak yang lemah maka dia adalah untuk kami (menguruskannya)” [HR Muslim].

Tidak hanya di situ, Khilafah juga akan membantu individu yang tidak mempunyai pekerjaan dengan cara mewujudkan sektor dan peluang pekerjaan baru. Dalam Daulah Khilafah, keperluan asas setiap individu akan dipastikan terpenuhi kerana haram bagi Khalifah membiarkan walau seorang warganya tidur dalam kelaparan. Apabila keperluan asas terpenuhi, maka sudah tentu lebih mudah bagi setiap warganegara untuk memiliki keperluan sekunder lainnya sebagai pelengkap kepada kehidupan seharian, apatah lagi apabila pendidikan, keselamatan dan kesihatan wajib disediakan secara percuma oleh Khalifah. Semua ini ternyata berbeza dengan sistem kapitalis pada hari ini yang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah secara tuntas, malah sistem ini terkenal menzalimi ramai warganya.

Pada masa yang sama, Khilafah tidak melarang warganya untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa atau menjadi kaya, selagi mana harta kekayaan tersebut diperoleh dengan cara yang syarie. Hal ini kerana sistem ekonomi yang dijalankan berasaskan ideologi Islam di mana Islam tidak menghalangi atau menafikan pemilikan individu, bahkan Khilafah sendiri yang akan membantu mengelola bagi memastikan setiap individu rakyat dapat menikmati haknya sesuai dengan Islam.

Islam turut menekankan keadilan dalam kepemilikan dan pengagihan kekayaan. Khilafah ialah sebuah negara kesatuan, maka hasil yang dijana dari mana-mana wilayah dapat diagihkan seadilnya mengikut keperluan dan kemampuan setiap wilayah yang ada. Dengan kata lain, mana-mana wilayah yang tidak mencukupi keperluannya atau dilanda masalah, maka akan ditampung dari pendapatan atau perolehan daripada wilayah lain. Ini ialah sebahagian daripada keunggulan sistem pemerintahan dan ekonomi Islam yang memastikan tidak ada wilayah yang terabai mahupun tercicir daripada arus pembangunan. Perkara ini juga membezakan antara pembukaan wilayah baru (futuhat) dalam Islam dengan penjajahan seperti yang dilakukan oleh para kolonialis kuffar. Setiap wilayah baru secara automatik akan bergabung dan menjadi sebahagian daripada Khilafah dan akan mendapat hak yang sama.

Dalam Khilafah, aspek kesihatan diberikan perhatian sewajarnya, kerana ia merupakan suatu yang sangat penting. Perkhidmatan kesihatan diberikan secara percuma atas tanggungan negara, sebagaimana yang diteladani daripada Rasulullah (saw) ketika di Madinah. Ibnu Ishaq mencatatkan dalam kitab sirahnya bahawa sebuah khemah telah dibangunkan di masjid dan diberi nama khemah Rufaidah. Ia digunakan untuk memberikan rawatan secara percuma kepada rakyat. Ketika Saad ibnu Muadz terkena panah dalam Perang Khandaq, Rasulullah (saw) mengatakan kepada para sahabat untuk membawanya ke khemah Rufaidah. Rufaidah dibayar gaji oleh Khilafah melalui harta rampasan perang sebagaimana yang disebutkan oleh al-Waqidi dalam kitabnya yang berjudul al-Maghazi. Kesemua ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang terpikul di bahu Khalifah selaras dengan sabda Nabi (saw);

“Imam (Khalifah) adalah pemelihara dan bertanggungjawab atas pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari]

Dari aspek politik dan pentadbiran, Khilafah ialah negara yang mempunyai sistem pentadbiran yang stabil dan unik. Walaupun terdapat banyak pendapat yang menyatakan bahawa sistem pemerintahan Islam berbentuk monarki dan empayar, pendapat semacam ini adalah salah dan terkeliru.. Ini kerana jawatan Khalifah itu bukan diperoleh melalui warisan seperti monarki. Manakala kesemua wilayahnya diberikan hak dan keistimewaan yang sama, di mana ini bertentangan dengan sistem pemerintahan empayar yang memberikan layanan ‘kelas kedua’ kepada wilayah jajahannya.

Tidak kurang juga pendapat yang menyatakan Khilafah sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi atau republik. Sesungguhnya pendapat ini juga tidak benar sama sekali. Hal ini kerana negara yang mengamalkan sistem demokrasi diterajui oleh tiga badan khas iaitu badan pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif) dan kehakiman yang masing-masing secara idealnya bergerak secara bebas daripada pengaruh yang lain. Pengasingan kuasa ini dikatakan bertujuan untuk mengelakkan kuasa daripada bertumpu kepada individu atau golongan tertentu. Namun dari sudut realiti dan praktikalnya, pemisahan sebegini tidak pernah wujud pun dalam erti kata yang sebenar. Dalam demokrasi juga, pemerintahan (termasuk penggubalan undang-undang) adalah berpaksikan slogan ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’. Dengan kata lain, rakyat merupakan sumber legislatif dan sumber kekuasaan, melalui wakil yang mereka pilih. Dalam pada itu, demokrasi turut menjunjung idea-idea kebebasan yang meletakkan akal manusia sebagai penentu. Inilah merupakan perbezaan nyata antara demokrasi dan Islam.

Sedangkan Khilafah hanya akan menerapkan hukum Islam yang bersumber dari wahyu. Tidak kira berapa ramai bilangan Khalifah yang akan silih berganti sepanjang berlangsungnya keKhilafahan, kedaulatan itu tetap berada di tangan syarak dan kuasa (untuk melantik Khalifah) ada di tangan rakyat. Khalifah memerintah berdasarkan kehendak Allah, bukannya kehendak rakyat. Ada pun syura dalam sistem Khilafah berbeza sama sekali dengan parlimen yang ada dalam demokrasi, kerana fungsi syura hanyalah untuk menasihati dan memberi input kepada Khalifah, bukannya untuk membuat undang-undang sebagaimana parlimen dalam sistem demokrasi. Begitu juga dengan pilihanraya dalam sistem Khilafah yang turut berbeza fungsinya dengan pilihanraya dalam sistem demokrasi.

Demikianlah cebisan daripada keunggulan Islam sebuah agama yang sempurna. Islam bukan hanya sekadar agama ibadah dan moral semata-mata, bahkan ia mengandungi tatacara hidup manusia bagi mengatur hubungannya dengan Allah (swt), hubungannya dengan dirinya sendiri dan hubungannya dengan manusia lain. Setelah runtuhnya Khilafah dan Islam tidak lagi diterapkan sepenuhnya, umat Islam kini berada dalam keadaan lemah dan ditindas, kerana sistem yang menaunginya bukan lagi sistem Islam dan para pemimpinnya pula adalah pengkhianat dan rata-rata merupakan ejen Barat.

Natijahnya, keberkatan yang selama ribuan tahun menyelubungi umat Islam telah hilang akibat penerapan sistem selain Islam yang mendominasi umat ini. Maka, untuk mendapat kembali keberkatan hidup, dan mengembalikan posisi umat ini sebagai umat terbaik sebagaimana firman Allah (swt), maka tidak lain tidak bukan, umat ini wajib berusaha untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah. Tanpa Daulah Khilafah yang menerapkan Islam, sesungguhnya kemuliaan dan keberkatan tidak akan kembali kepada umat Islam. Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memartabatkan semula Islam dan umatnya, dengan berjuang menegakkan kembali Daulah Islam, dengan meneladani thariqah (jalan) dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

Wallahu a’lam.