Hijrah Sejati, Kemerdekaan Hakiki

Pada bulan ini, umat Islam di seluruh dunia menyambut tahun baru Hijrah 1443. Sambutan ini juga bertepatan dengan bulan kemerdekaan Malaysia yang ke-64. Umum mengetahui bahawa penetapan kalendar Islam terjadi pada masa Umar bin al-Khattab (ra) menjadi Khalifah, yang mengambil peristiwa penghijrahan Rasulullah (saw) dari Mekah ke Madinah. Terdapat banyak faktor mengapa permulaan kalendar Islam telah ditetapkan bermula dari peristiwa Hijrah. Namun yang pasti, berkat hijrah, Islam tersebar ke seluruh dunia, memberikan pembebasan dan kemerdekaan hakiki buat umat manusia.

Islam Agama Pembebasan

Jauh sebelum kedatangan Islam, umat manusia berada dalam cengkaman perhambaan sesama manusia. Dari segi politik, dua kuasa besar, Rom dan Parsi menguasai pelbagai wilayah di Barat dan Timur dunia. Dua empayar besar itu menjajah dan mengeksploitasi wilayah-wilayah di bawah kawalan mereka; memperhamba dan menyeksa penduduk tempatan, merompak kekayaan dan merosakkan kehidupan masyarakat.

Di sisi lain, peradaban manusia diperhambakan hawa nafsu. Tanda aras betul dan salah, terpuji dan tercela adalah hawa nafsu manusia. Di Parsi, misalnya, doktrin Mazdak dikembangkan yang menganggap kekayaan harta dan wanita umpama air dan rumput; menjadi milik awam yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Akibatnya, rompakan, rogol dan perzinaan berleluasa.

Dalam aktiviti peribadatan, manusia menyembah berhala, alam, manusia juga binatang. Di Mesir, Firaun dipuja, ditaati dan disembah sebagai Tuhan. Di Rom, para kaisar dianggap jelmaan tuhan. Perintah raja dan kaisar dianggap sebagai perintah Tuhan yang tidak dapat ditentang.

Pada masa-masa seperti itulah, Islam datang sebagai risalah yang mulia, membebaskan dan memerdekakan umat manusia dari segala bentuk penjajahan, eksploitasi, penindasan, kezaliman dan penghambaan terhadap manusia oleh manusia lainnya secara umum.

Ibnu Katsir dalam kitabnya, al-Bidayah wa an-Nihayah, menukilkan Yunus bin Bukair (ra) menutur­kan bahawa Rasulullah (saw) pernah menulis surat kepada penduduk Najran, di antara isinya ialah, “…Amma ba’du. Aku menyeru kalian untuk menghambakan diri kepada Allah dan meninggalkan penghambaan kepada sesama hamba (manusia). Aku juga menyeru kalian agar berada dalam kekuasaan Allah dan membebaskan diri dari penguasaan oleh sesama hamba”.

Misi merealisasikan kemerdekaan hakiki untuk seluruh umat manusia ini juga dicatatkan oleh Imam Ibnu Jarir ath-Thabari dalam kitabnya Tarikh al-Umam wa al-Muluk yang terungkap di dalam dialog Jeneral Rustum (Parsi) dengan Mughirah bin Syu’bah yang diutus oleh Panglima Saad bin Abi Waqash dalam Perang Qadisiyah untuk membebaskan Parsi. Pernyataan misi itu diulang lagi dalam dialog Jeneral Rustum dengan Rab’iy bin ‘Amir (utusan Panglima Saad bin Abi Waqash).

Jeneral Rustum bertanya kepada Rab’iy bin ‘Amir, “Apa yang membawa kalian ke sini?” Rab’iy bin ‘Amir menjawab: “Allah telah mengutus kami. Demi Allah, Dia telah mengutus kami agar kami mengeluarkan manusia dari penghambaan kepada sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia menuju kelapangannya dan dari kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam.

Merdeka Dari Hukum Buatan Manusia

Misi kemerdekaan hakiki hanya dapat direalisasikan dengan Islam. Bangsa Arab yang awalnya menyembah berhala, hidup dalam beberapa kelas sosial terdiri dari bangsawan, rakyat jelata dan hamba, akhirnya berubah menjadi umat yang bertauhid dengan kesatuan akidah Islam, meninggalkan aturan-aturan jahiliah. Islam terus membebaskan manusia dengan kemerdekaan hakiki tanpa mengira wilayah, bangsa dan warna kulit termasuk wilayah kuasa besar dunia waktu itu iaitu Rom dan Parsi.

Pada masa jahiliah, peraturan dibuat oleh para pembesar, raja dan para rahib. Undang-undang yang mereka cipta sering membuatkan kehidupan manusia sengsara, seperti membunuh bayi perempuan, melacurkan hamba wanita, amalan riba, dan banyak lagi kezaliman lainnya. Para pembesar, raja dan para rahib itulah yang menentukan apa yang halal dan yang haram, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh umat manusia. Allah (swt) berfirman:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

 “Mereka menjadikan para pendeta mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” [At-Taubah (9): 31].

Ayat ini dijelaskan oleh Rasulullah (saw), ketika berhadapan dengan Adi bin Hatim, yang saat itu masih beragama Nasrani. Adi bin Hatim berkata, “Wahai Rasulullah, kami tidak menyembah mereka (rahib-rahib).” Rasulullah (saw) bersabda:

أَلَيْسَ يُحَرِّمُونَ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فَتُحَرِّمُونَهُ وَيُحِلُّونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ، فَتَسْتَحِلُّونَهُ؟

 “Bukankah mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan, lalu kalian pun mengikutinya; mereka juga menghalalkan apa yang Allah haramkan, lalu kalian pun mengikutinya?”

Adi bin Hatim berkata, “Benar.” Lalu Rasulullah (saw) bersabda:

فَتِلْكَ عِبَادَتُهُمْ

 “Itulah bentuk penyembahan kepada mereka.”

Hukum Buatan Manusia Hari Ini

Dalam sistem demokrasi, mereka yang berhak membuat hukum atau undang-undang adalah ahli Parlimen. Mereka boleh membuat apa sahaja undang-undang walaupun ia bertentangan dengan hukum Allah. Di negara ini, proses pembuatan undang-undang tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan di Britain, kerana sistemnya diwarisi dari negara penjajah tersebut. Walaupun penjajah telah tiada, namun sistem yang ditinggalkan penjajah masih dipakai dan dipertahankan. Rakyat dipaksa menerima apa sahaja undang-undang yang dibuat oleh ahli Parlimen walaupun udang-undang tersebut menghalalkan apa yang Alah haramkan, dan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Tidak kira siapa yang memerintah, siapa yang berada di dalam parlimen, mereka semua berada dalam acuan yang sama di bawah sistem demokrasi tinggalan penjajah.

Itulah bentuk perhambaan terhadap undang-undang yang datangnya dari hawa nafsu manusia yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Sedangkan hanya Allah (swt) yang berkuasa untuk membuat hukum. Setiap Muslim wajib mematuhi undang-undang Allah (swt), bukannya undang-undang yang berasal dari hawa nafsu dan akal-akal manusia. Allah (swt) berfirman:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak Allah izinkan?” [Asy-Syura (42): 21].

Ketika menafsirkan ayat ini, Ibn Katsir berkata, “Maksudnya mereka tidak mengikuti apa yang Allah tetapkan kepadamu (Nabi Muhammad) berupa agama yang lurus, tetapi mereka mengikuti apa yang ditentukan oleh syaitan-syaitan mereka dari kalangan jin dan manusia”.

Pada hari ini, kita dibelenggu dengan segala keburukan undang-undang hasil ciptaan manusia. Mereka memaksakan undang-undang ke atas rakyat, yang mana mereka sendiri sering terlepas daripada undang-undang tersebut. Inilah kebusukan sistem demokrasi yang ada pada hari ini, tidak ubah seperti zaman kegelapan yang dialami oleh umat Kristian dahulu.

Sedangkan dalam Islam, siapa sahaja yang melanggar hukum Allah, maka ia wajib dihukum walaupun daripada kalangan pemerintah atau keluarga mereka. Sabda Rasulullah (saw):

إنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمِ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمِ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ، وَايْمُ اللهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

“Wahai manusia, sesungguhnya apa yang menghancurkan orang-orang sebelum kamu adalah jika ada seseorang yang mempunyai kedudukan di antara mereka mencuri, mereka membiarkan (tidak dihukum). Namun, jika orang yang lemah (orang biasa) mencuri, mereka menguatkuasakan undang-undang ke atas orang tersebut. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, aku akan memotong tangannya” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Hijrah yang sejati dan kemerdekaan yang hakiki

Sirah Rasulullah (saw) telah menunjukkan kepada kita betapa hebatnya perjuangan baginda untuk menerapkan hukum Allah bagi menggantikan hukum jahiliah. Namun demikian, perjuangan baginda selama 13 tahun di Mekah tidak membuahkan hasil dek kejahatan kafir Quraisy dan betapa kerasnya hati-hati mereka. Pertolongan Allah tiba melalui tangan kaum Ansar dari Madinah, yang membaiah Rasulullah (saw) sehingga terjadilah peristiwa hijrah yang agung. Dengan hijrah, Islam dapat diterapkan secara kaffah di dalam bingkai sebuah negara, iaitu Daulah Islam. Apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa hijrah bukanlah sekadar perpindahan dari kota Makkah ke Madinah, melainkan terbinanya sebuah Negara yang menerapkan Islam, mempertahankan dan menyebarkan Islam ke seluruh alam. Inilah hijrah yang sejati.

Seterusnya, Islam terus disebarkan oleh para Khalifah yang mewarisi pemerintahan daripada Rasulullah (saw), dalam rangka membebaskan manusia dari penghambaan sesama manusia menuju penghambaan hanya kepada Allah (swt). Dengan Islam,  manusia telah terbebas daripada kezaliman dan keburukan agama-agama, ideologi dan ajaran selain Islam, dan semuanya berada di bawah keadilan Islam dan rahmat Allah. Dengan kata lain manusia mencapai kemerdekaannya yang hakiki bersama Islam.

Inilah konsep hijrah dan kemerdekaan yang mesti difahami dan diraih oleh umat Islam. Ia wajib diusahakan oleh setiap Muslim yakni setiap Muslim wajib berusaha untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah dalam bingkai sebuah Negara Islam. Tiada ertinya sambutan hijrah dan kemerdekaan saban tahun jika sistem dan undang-undang kufur penjajah masih terus dipertahankan. Rasulullah (saw) telah berjuang agar sampainya Islam ke seluruh penjuru dunia, untuk diamalkan segala hukum-hakamnya dan diterapkan keseluruhan hukum Islam tersebut dalam negara. Malangnya sejak tahun 1342 H, hukum Islam telah lenyap dari pemerintahan negara seiring dengan lenyapnya Khilafah. Justeru, tidak ada jalan lain untuk umat Islam mencapai kemerdekaan yang hakiki kecuali dengan berusaha menegakkan kembali Khilafah dan menerapkan hukum Allah secara kaffah. Firman-Nya:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Jika penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi” [Al-A’raf (7): 96].