Hilang keyakinan terhadap demokrasi, mahu beralih ke mana?
Senario politik Malaysia kini terus melondehkan kebobrokan demokrasi. Sepak terajang para politikus demokrasi yang memualkan terus dipersoalkan oleh banyak pihak. Senario politik Malaysia turut menyerlahkan bagaimana formula politik Machiavelli iaitu “matlamat menghalalkan cara” dan “tidak ada lawan dan kawan yang sejati melainkan hanyalah manfaat semata-mata” benar-benar telah zahir sama ada di blok pemerintah mahupun blok pembangkang.
Perkembangan yang berlaku sejak lebih kurang setahun lepas hingga kini jelas mempamerkan betapa kepentingan rakyat bukanlah keutamaan bagi mereka yang berada di koridor kekuasaan, meskipun tatkala berhadapan dengan rakyat mereka bersungguh-sungguh menampilkan imej prihatin dan cakna kepada masalah dan keperitan hidup rakyat. Semuanya tidak lebih daripada sebuah lakonan.
Justeru, tidak hairanlah semakin ramai yang mula hilang keyakinan terhadap demokrasi. Bahkan trend ini turut diperhatikan dalam kajian yang dibuat oleh Pusat Masa Hadapan Demokrasi, Universiti Cambridge. Kajian tersebut mendapati generasi milenium yang berusia dari 18 hingga 24 tahun menunjukkan penurunan yang ketara dalam minat dan kepercayaan terhadap sistem tersebut.
Pastinya keadaan ini tidak baik bagi Barat, kerana hakikatnya demokrasi adalah senjata paling ampuh yang digunakan oleh mereka untuk mencengkam dunia terutamanya dunia Islam.
Namun, penting untuk difahami bahawa kemarahan mahupun hilangnya keyakinan golongan ini sewajarnya disandarkan kepada asas yang benar, bukan kerana emosi dan sandaran yang batil. Jika mereka menolak demokrasi dengan asas yang betul, maka persoalan berikutnya ialah, apakah alternatif kepada sistem yang bobrok ini dan apakah usaha yang perlu dilakukan ke arah mendapatkan sistem yang lebih baik?
Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menolak demokrasi kerana ia adalah sistem kufur. Demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang meletakkan posisi manusia sebagai musyari’ (pembuat hukum). Inilah antara fakta paling ketara yang menjadikannya bertentangan dengan Islam. Demokrasi bukannya datang dari Islam dan tidak ada kaitannya sama sekali dengan Islam. Islam telah pun memiliki sistem pemerintahannya yang tersendiri, iaitu sistem Khilafah.
Dalam pada itu, sudah tidak terhitung keburukan dan kepincangan yang diakibatkan oleh sistem demokrasi buatan manusia ini. Namun disebabkan pemerintah dengan segala kekuatan yang dimiliknya terus mempertahankan sistem yang busuk ini, dan lebih buruk adanya sebahagian “ulama” yang tidak putus-putus mempertahankan sistem yang batil ini dengan menyadurkan pelbagai hujah agama demi meyakinkan pengikutnya, maka masih ramai umat Islam yang terus mempertahankan sistem yang bobrok ini.
Manakala bagi mereka yang mempunyai sedikit kesedaran, mereka masih terus mengharapkan bahawa satu hari nanti demokrasi ini akan pulih dan membawa kebaikan kepada manusia, sebuah harapan yang tidak akan muncul sampai kiamat! Manakala yang lain pula mengikat diri dengan alasan mengambil pendekatan tadarruj (berperingkat) dalam melakukan perubahan dari sistem demokrasi kepada sistem Islam, atas pelbagai alasan. Sedangkan hakikatnya pendekatan mereka hanyalah akan memanjangkan usia sistem kufur ini dan mengundang dosa (kerana terus berpegang kepada sistem kufur), selain melambatkan umat daripada menuju kebangkitan yang hakiki.
Jika orang-orang kafir di Barat sendiri kini sudah tidak yakin dengan sistem demokrasi yang diciptakan oleh nenek moyang mereka, yang mereka agung-agungkan selama ini, persoalannya, apakah kita ingin terus yakin dan berpegang dengan sistem kufur yang semakin berkubur ini?
Umar Hussein
Pimpinan Pusat HTM