HTM Anjur Himpunan 111 Solidariti Muslim Uighur
Kuala Lumpur, 11 Januari – Sebagai tanda solidariti terhadap Muslim Uighur yang sedang berhadapan dengan penindasan di bawah cengkaman rejim Komunis China, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan “Himpunan 111 Solidariti Muslim Uighur” yang diadakan sejurus sesudah solat Jumaat tadi.
Para demonstran berhimpun di Masjid Lembaga Tabung Haji sebelum berarak bersama-sama sebahagian umat Islam menuju ke Kedutaan Besar China. Para demonstran berarak di sepanjang perjalanan daripada Masjid Lembaga Tabung Haji menuju ke Kedutaan Besar China dengan laungan takbir dan alunan selawat.
Himpunan tersebut dianjurkan untuk menyedarkan umat Islam di negara ini mengenai penderitaan yang dihadapi oleh Muslim Uighur di Xinjiang, di samping mendesak agar kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap rejim Komunis China atas kezaliman yang diperlakukan terhadap Muslim Uighur. Dalam pada itu, delegasi HTM turut dihantar untuk bertemu dengan Duta Besar China ke Malaysia bagi menyampaikan mesej tegas agar menamatkan penindasan terhadap Muslim Uighur serta mengembalikan semula hak mereka yang telah dinafikan oleh rejim Komunis China. Namun, tiada wakil daripada Kedutaan Besar China yang hadir bertemu dengan delegasi HTM.
Muslim Uighur telah berhadapan dengan penindasan oleh rejim Komunis China semenjak tanah air mereka dijajah pada tahun 1949. Hak-hak mereka dinafikan dan berhadapan dengan kezaliman oleh rejim. Atas alasan untuk memerangi ekstremisme, dilaporkan sejumlah 1 juta orang Muslim Uighur ditahan di kem-kem ‘pendidikan semula’ yang hakikatnya bertujuan untuk mendoktrinkan mereka agar tunduk kepada cengkaman rejim. Malangnya dunia seolah-olah memandang sepi kemelut yang melanda Muslim Uighur.
Lebih malang lagi, para penguasa Muslim ternyata gagal bertindak melakukan pembelaan, sebaliknya lebih mengutamakan keuntungan yang diraih melalui kerjasama perdagangan dengan rejim Komunis China.