HTM bantah kehadiran Kerry

02KUALA LUMPUR 11 Okt – Walaupun sudah banyak siri bantahan yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bagi mendesak kerajaan membatalkan lawatan presiden Amerika Syarikat (AS) ataupun wakilnya ke Malaysia, namun kerajaan pimpinan Najib tetap menutup mata dan memekakkan telinga berhubung isu ini.

Setiausaha Negara AS, John Kerry, akhirnya tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) ke-4, mewakili Barack Obama yang tidak jadi datang kerana masalah dalaman negara Uncle Sam itu. Perasmian sidang kemuncak dua hari itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri.

Dalam ucapannya pada persidangan tersebut, Kerry menyatakan bahawa negaranya akan mewujudkan jawatankuasa keusahawanan global yang berperanan memberi bimbingan ke arah mewujudkan kejayaan dalam kalangan usahawan generasi baharu dan jawatankuasa tersebut akan menghubungkan usahawan baharu dengan mentor yang boleh membimbing mereka.

Kerry turut mengumumkan hasrat kerajaan AS untuk mewujudkan Pusat Kegiatan Keusahawanan dengan matlamat membantu dan melatih sehingga 500,000 usahawan di 1,000 bandar di seluruh dunia termasuk Kuala Lumpur. “Rangkaian penyelidikan baharu akan diwujudkan untuk membantu penggubal dasar dalam menggalakkan pertumbuhan keusahawanan,” ujarnya. Menurut Kerry lagi, Obama akan bergabung tenaga dengan organisasi berkaitan seperti Bank Dunia dan Yayasan Kauffman bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Di saat Kerry sedang berucap pada persidangan tersebut, HTM terus melakukan bantahan di Masjid Al-Syakirin KLCC dengan kawalan ketat pihak polis. Rancangan asal HTM untuk berarak menuju ke KLCC telah dihalang oleh pihak polis atas alasan perhimpunan tidak mempunyai permit, walaupun sebenarnya HTM telah pun memaklumkan akan perhimpunan tersebut kepada pegawai polis Dang Wangi dan juga IPK Kuala Lumpur lebih awal.

Oleh sebab pihak polis langsung tidak membenarkan peserta demonstrasi berarak, maka perhimpunan dan laungan bantahan terhadap kedatangan Kerry, yang mewakili Obama ke Malaysia itu, hanya dilakukan di hadapan masjid, dengan pengawasan pihak polis.

HTM membantah sekeras-kerasnya kedatangan Obama mahupun Kerry ke Malaysia kerana pemimpin AS itu adalah seorang yang memusuhi Islam dan umat Islam. Mereka adalah kafir harbi muharibah fi’lan yang haram untuk disambut oleh umat Islam.

HTM sungguh kesal dengan sikap Perdana Menteri Malaysia yang berbaik dengan musuh Allah ini dan sanggup menyambut pengganas dunia ini dengan permaidani merah, walhal tangan-tangan mereka masih penuh dengan darah umat Islam yang dibunuh oleh mereka melalui operasi militernya di Iraq, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain.

HTM juga ingin mengingatkan umat Islam agar menolak kehadiran musuh Allah ini dan jangan menyebelahi pemimpin yang menerima kehadirannya. Sabda Rasulullah SAW,

Akan ada para pemimpin, lalu kalian (ada yang) mengakui perbuatan (salah)nya dan (ada yang) mengingkarinya. Siapa sahaja yang mengingkari (kejahatan)nya maka dia tidak akan diminta pertanggungjawaban (tidak dihisab) dan dia akan selamat (dari azab). Tetapi siapa sahaja yang redha dan mengikuti (perbuatan salah)nya (maka dia akan celaka). Para sahabat bertanya, ‘Tidakkah kita perangi sahaja mereka?’ Baginda bersabda, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam)” [HR Muslim].

Empat hari sebelumnya iaitu pada 8 Oktober 2013, HTM telah menghantar memorandum bantahan kepada Jabatan Perdana Menteri berserta lebih 50 ribu tandatangan rakyat Malaysia yang menolak kehadiran pemimpin AS itu ke negara ini. Namun ternyata, kerajaan pimpinan Najib dengan slogan “rakyat didahulukan” tidak pernah mendengar suara rakyat. “Rakyat didahulukan” ternyata hanyalah slogan semata-mata.

HTM yakin bahawa kedatangan pemimpin negara penjajah itu ke Malaysia sudah pasti membawa agenda imperialismenya yang penuh kejahatan, baik secara politik, ekonomi mahupun pemikiran. Sebagai ketua imperialis dunia dan penganut serta pengembang ideologi Kapitalis, AS tidak akan datang ke Malaysia tanpa tujuan atau tanpa apa-apa kepentingan imperialismenya. Inilah antara inti pati ucapan aktivis HTM di sepanjang demonstrasi tersebut.

Demonstrasi aman tersebut bersurai lebih kurang jam 10.00 pagi setelah ditutup dengan bacaan doa oleh Ust Umar Hussein, yang juga AJK Pusat HTM.