HTM berarak, serah memo bantah Charlie Hebdo

G3KUALA LUMPUR 23 Jan – Lebih kurang 200 ahli dan penyokong Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) berhimpun secara aman hari ini di hadapan Kedutaan Perancis di Jalan Ampang, bagi membantah penghinaan yang dilakukan oleh akhbar Charlie Hebdo ke atas Nabi Muhammad SAW.

Peserta mula berarak dari Masjid Tabung Haji yang terletak kira-kira 500 meter dari kedutaan, sambil melaungkan kalimah syahadah, “Hidup Islam” dan “Hancur Perancis”. Puluhan poster bertuliskan “Our Prophet, Our Honour” (Nabi Kami, Kemuliaan Kami) diusung oleh para peserta yang sekali gus menjadi moto kepada perhimpunan ini.

Dengan iringan pihak polis, memorandum bantahan tersebut berjaya diserahkan dan diterima oleh wakil kedutaan yang berjanji akan menyampaikannya kepada kerajaannya.

Dalam ucapannya selepas penyerahan memorandum tersebut, Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan yang tujuan perhimpunan, selain untuk menyatakan bantahan ke atas akhbar yang biadab itu, adalah untuk menunjukkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menyampaikan mesej kepada Perancis bahawa umat Islam tidak akan berdiam diri apabila Nabinya dihina.

Persoalan di sini bukanlah persoalan Charlie Hebdo semata-mata, tetapi persoalan Perancis sebagai sebuah negara yang terus-menerus membenarkan akhbar terbabit menerbitkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW atas alasan kebebasan bersuara yang diamalkan secara terpilih atau double standard oleh negara kafir itu, ujar Ustaz Hakim ketika disoal oleh wartawan.

Penghinaan ke atas Rasulullah SAW bermaksud penghinaan ke atas Islam dan penghinaan ke atas Islam bermaksud penghinaan ke atas kita selaku umat Islam, ujar beliau lagi.

Penghinaan yang telah berulang kali dilakukan oleh akhbar berkenaan dan juga pihak Barat ke atas Rasulullah dan juga Islam, tidak akan berakhir selagi tidak ada pemimpin yang mengambil tindakan tegas seperti memutuskan segala hubungan diplomatik, politik, perdagangan dan lain-lain, termasuk menghalau keluar duta Perancis dari negara, tegas Abdul Hakim, yang juga Jurucakap HTM.

Beliau seterusnya menjelaskan, apa yang lebih penting ialah mengancam Perancis dengan jihad dan jika mereka berdegil dengan meneruskan penghinaan ke atas Rasulullah dan Islam, maka tidak ada lagi pilihan lain selain jihad, yang wajib dilakukan oleh seluruh pemimpin dunia Islam. Beliau melahirkan keyakinan sekiranya jihad dilancarkan, walaupun sekali sahaja, maka Perancis atau mana-mana kuasa Barat akan berfikir seribu kali untuk melakukan atau membenarkan penghinaan ke atas Rasulullah SAW, di lakukan pada masa depan.

Kita mengharapkan yang perhimpunan ini menjadi bukti akan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan mengharapkan yang ia akan menjadi salah satu saham kepada kita untuk mendapatkan syafaat baginda di Akhirat kelak, kata Hakim sebelum menutup ucapannya.

Perhimpunan berakhir dengan bacaan doa setelah berlangsung lebih kurang setengah jam.

{gallery}/aktiviti-htm/HTM_BANTAH_CHARLIE_HEBDO{/gallery}