HTM Gesa Tangani Isu Arak Mengikut Ketetapan Syarak
28 SEPT – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan seruan secara serentak sejurus selepas selesai solat Jumaat di beberapa lokasi di seluruh negara berhubung isu arak yang muncul setelah berlakunya kes keracunan metanol baru-baru ini.
Dalam seruan tersebut, HTM mengingatkan umat Islam mengenai pandangan syarak berhubung arak, termasuklah melibatkan soal pengeluaran arak pada skala industri dan juga hak orang bukan Islam dalam meminum arak.
Keharaman arak tertakluk ke atas seluruh umat Islam, dan mereka yang melanggarnya akan dikenakan hukuman had setelah disabitkan kesalahan. Manakala orang bukan Islam tidak disekat daripada meminumnya, tetapi terhad kepada kehidupan peribadi mereka dan mereka dilarang untuk meminumnya secara terbuka dalam kehidupan umum.
Penghasilan arak pada skala industri dalam negara Islam juga jelas bertentangan dengan dalil yang melaknat sepuluh golongan berhubung arak iaitu yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membeli, dan yang dibelikan untuknya.
Demikianlah ketetapan Islam berhubung isu arak, namun ketetapan tersebut tidak diterapkan dalam realiti di negara ini yang diperintah dengan undang-undang sekular.
Seruan diakhiri dengan mengajak umat Islam bergabung bersama-sama Hizbut Tahrir dalam memperjuangkan tertegaknya semula Khilafah agar hukum-hakam Allah dapat diterapkan dengan sempurna.