HTM protes dan serah memo di Kedutaan Russia

KUALA LUMPUR 23 November – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah melakukan protes dan serahan memorandum bantahan di Kedutaan Russia hari ini. Para syabab (pemuda) dan juga Muslimah HTM yang mula berarak dari kawasan letak kereta lebih kurang 50 meter dari kedutaan telah dihalang oleh sepasukan polis (PDRM) dari terus menghampiri pintu pagar kedutaan. Bagaimana pun, dua orang wakil HTM dibenar untuk menyerahkan surat bantahan tersebut.

Ust Abdul Hakim, dengan diiringi oleh Sdr. Firdaus telah menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil dari kerajaan Russia yang telah sedia menunggu di pintu pagar. Abdul Hakim yang juga presiden HTM menjelaskan tentang tujuan protes tersebut diadakan dan kandungan surat bantahan serta menegaskan kepada wakil kedutaan Russia agar menyampaikan surat bantahan tersebut kepada pemerintah Russia. HTM menggesa kerajaan Russia agar menghentikan tindakan menangkap anggota HizbutTahrir dan kaum Muslimin di Russia serta membebaskan serta-merta semua tahanan yang ditahan secara zalim oleh rejim Russia. Wakil kedutaan tersebut berjanji akan menyampaikan surat tersebut kepada kerajaannya.

Walaupun dihalang oleh lebih kurang 20 anggota PDRM yang bertugas, delegasi dari HTM sempat melaungkan dan mengutuk tindakan kejam rejim Russia yang menangkap syababHizbutTahrir tanpa alasan yang sah. Sesungguhnya segala tindakan kejam pemerintah Russia ke atas umat Islam di Russia akan pasti dibalas oleh Negara Khilafah yang akan berdiri tidak lama lagi, laung delegasi HTM disambut dengan takbir dari para peserta demonstrasi.

Demonstrasi aman itu berakhir dengan baik di mana HTM mengucapkan terima kasih kepada pasukan PDRM yang walaupun menghalang peserta dari bergerak menghampiri kedutaan, tetapi membenarkan dan membantu penyerahan memorandum bantahan berkenaan.

[youtube:http://www.youtube.com/watch?v=xp_TfFA5ehg&list=UUHGLY37rm-mlLkN696TmTgQ&index=2&feature=plcp]