HTM serah memo bantah “KL Headline Season 2026”: Wakil kementerian beri jaminan sampaikan kepada menteri

BULETIN HTM 16 Jun – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menyerahkan satu Memorandum Bantahan berhubung penganjuran “KL Headline Season 2026” kepada Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.

Langkah ini diambil bagi mendesak pihak kerajaan untuk membatalkan segera acara tersebut yang dilihat membawa banyak kemudaratan, selain melanggar hukum syarak secara terang-terangan.

Memorandum tersebut telah diterima oleh Puan Wan Saidatul Shafina Binti Mohd Amin, Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik Dan Korporat, yang mewakili Kementerian. Beliau telah meluangkan masa mendengar keseluruhan penjelasan serta butiran bantahan yang dibawakan oleh pihak HTM.

Di dalam memorandum berkenaan, HTM mengemukakan lima faktor utama mengapa penganjuran konsert-konsert mega ini wajib dibatalkan segera oleh kementerian – merupakan budaya hedonisme dan cara hidup Barat; mengundang murka dan azab Allah; menjana pendapatan yang haram untuk negara; pengkhianatan terhadap amanah pemerintahan; dan hilangnya sensitiviti serta empati terhadap Gaza.

Syafina dalam responsnya memberi jaminan untuk menyampaikan Memorandum Bantahan ini kepada Menteri secara langsung, dan turut menyatakan yang pihak kementerian akan meneliti bantahan tersebut dan akan memberi respons sewajarnya.

Delegasi HTM yang diketuai oleh Jurucakapnya, Ustaz Abdul Hakim Othman, diiringi oleh tiga yang lain, kemudian mengadakan Sidang Media sejurus selepas serahan tersebut bagi menjelaskan apa yang berlaku.

Ustaz Hakim menjelaskan yang HTM merancang untuk menggerakkan beberapa siri aktiviti lain bagi terus mendesak pihak berwajib agar membatalkan konsert-konsert mega tersebut, kerana menurut beliau, acara ini bukan suatu perkara yang remeh, tetapi merupakan kemungkaran dan kemaksiatan serta pelanggaran hukum syarak secara terang-terangan yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Tonton laporan di:
https://www.facebook.com/share/v/1HLWYSZGcf/