Hukum Islam terpakai kepada semua warganegara baik Muslim mahupun non-Muslim

Ramai yang terkeliru dan salah memahami bahawa hukum Islam hanya terpakai kepada orang-orang Islam sahaja. Sedangkan hukum Islam merupakan hukum Allah (swt) ke atas manusia, bukan hanya ke atas Muslim. Dalam konteks bernegara, hukum Islam merupakan undang-undang negara yang terpakai ke atas semua warganegara baik Muslim mahu pun non-Muslim (Kafir Zimmi).

Hizbut Tahrir telah menjelaskan hal ini di dalam kitabnya Muqaddimah ad-Dustur au al-Asbab al-Mujibah Lahu (Pengantar Perlembagaan dan Sebab-Sebab yang Mewajibkannya) dalam Perkara 7 – sebuah perlembagaan yang mengandungi 191 Perkara yang semuanya diistinbath (gali) daripada Al-Quran dan As-Sunnah, yang Insya Allah akan menjadi perlembagaan negara Khilafah yang bakal berdiri nanti, sekiranya Allah (swt) memberikan kemenangan kepada Hizbut Tahrir. Berikut ialah terjemahan Perkara 7 berserta penerangannya:

Perkara 7

Negara melaksanakan hukum syarak ke atas semua orang yang memegang kewarganegaraan Islam, sama ada mereka Muslim atau bukan, sebagaimana berikut:

(A) Keseluruhan hukum Islam dilaksanakan ke atas orang-orang Islam tanpa kecuali.

(B) Non-Muslim dibenarkan mengamalkan keyakinan mereka dan menjalankan ibadah mereka dalam ruang lingkup peraturan umum.

(C) Orang-orang yang keluar (murtad) dari Islam, akan diterapkan ke atas mereka hukum bagi orang murtad jika mereka sendiri adalah pelakunya. Adapun jika mereka adalah anak-anak kepada orang murtad dan dilahirkan sebagai non-Muslim, maka mereka diperlakukan seperti orang non-Muslim berdasarkan status mereka, sama ada Musyrikin atau Ahli Kitab.

(D) Orang non-Muslim, dalam hal makanan dan pakaian, akan diperlakukan mengikut agama mereka, dalam batas yang dibenarkan oleh hukum-hukum syarak.

(E) Urusan pernikahan dan perceraian sesama non-Muslim akan diselesaikan mengikut agama mereka, manakala urusan antara mereka dan orang Islam akan diselesaikan mengikut hukum-hakam Islam.

(F) Daulah (negara) melaksanakan baki hukum-hakam syarak dan urusan syariat Islam yang lain – seperti muamalat, uqubat, baiyyinat (kesaksian), sistem pemerintahan, ekonomi dan sebagainya – ke atas semua orang. Pelaksanaannya ke atas Muslim dan non-Muslim adalah secara sama rata. Hukum-hakam tersebut juga dilaksanakan ke atas golongan Mu’ahidin (mereka yang ada perjanjian dengan Daulah), Musta’minin (mereka yang mencari perlindungan dengan Daulah), dan sesiapa sahaja yang berada di bawah kekuasaan Islam, sebagaimana ia dilaksanakan ke atas individu rakyat, kecuali para duta, utusan dan seumpamanya, kerana mereka mempunyai kekebalan diplomatik.

Sesungguhnya Islam datang untuk seluruh manusia. Allah (swt) berfirman:

﴿وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ﴾

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya” [Saba’ (34): 28].

Sebagaimana orang kafir itu merupakan orang yang dibebankan (Mukallaf) dengan Usul (akidah Islam), dia juga dibebankan dengan Furu’ (hukum-hakam cabang). Adapun fakta bahawa mereka dibebankan (taklif) dengan Usul, ia adalah jelas dalam ayat-ayat Al-Quran. Manakala pembebanan (taklif) mereka terhadap perkara-perkara Furu’, ini kerana Allah (swt) telah membebankan mereka secara jelas terhadap sebahagian hukum-hukum Furu’. Antaranya ialah ayat-ayat perintah ibadah yang (perintah tersebut) termasuk mereka, seperti firman Allah (swt):

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ﴾

“Wahai sekalian manusia! Sembahlah Tuhanmu” [Al-Baqarah (2): 21],

dan firman-Nya:

﴿وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ﴾

Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah” [Ali Imran (3): 97],

dan ayat-ayat lain seumpamanya.

Tambahan lagi, sekiranya non-Muslim tidak terikat dengan hukum-hakam Furu’, tentunya Allah tidak akan mengancam mereka dengan azab atas sebab meninggalkannya. Terdapat banyak ayat mengenai hal ini, antaranya firman Allah (swt):

﴿وَوَيْلٌ لِلْمُشْرِكِينَ ۝ الَّذِينَ لَا يُؤْتُونَ الزَّكَاةَ﴾

“Dan kecelakaanlah bagi orang-orang musyrik * iaitu mereka yang tidak menunaikan zakat” [Fussilat (41): 6-7],

dan firman-Nya:

﴿وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا ۝﴾

“Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya)” [Al-Furqan (25): 68],

dan firman-Nya:

﴿مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ۝ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ۝﴾

“Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)? Mereka menjawab: ‘Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat’” [Al-Muddatsir (74): 42-43].

Hakikat bahawa orang-orang kafir dibebankan dengan sebahagian perintah dan larangan Allah (swt), ini menunjukkan bahawa mereka juga dibebankan dengan seluruh perintah dan larangan yang lain.

Selain itu, ayat-ayat yang membawa kepada kewajipan Furu’ datang dalam bentuk umum, dan lafaz umum itu berjalan mengikut keumumannya melainkan terdapat dalil pengkhususan (al-aam yajri ala umuumihi maa lam yuriid daliil at-takhsis), dan ternyata tidak ada dalil yang datang mengkhususkannya kepada orang Islam sahaja; maka ia kekal dalam keumumannya. Contohnya firman Allah (swt):

﴿وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا﴾

“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” [Al-Baqarah (2): 275],

dan firman-Nya:

﴿فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ﴾

“Kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upah mereka” [At-Talaq (65): 6],

dan firman-Nya:

﴿فَرِهَانٌ مَقْبُوضَةٌ﴾

“Maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang (oleh yang berpiutang)” [Al-Baqarah (2): 283],

dan sabda Nabi (saw):

«مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيِّتَةً فَهِيَ لَهُ»

“Siapa sahaja yang menghidupkan tanah mati, maka tanah itu miliknya” [Dikeluarkan oleh Ahmad dan Tirmizi dengan sanad sahih dari Jabir],

dan sabda baginda (saw):

«عَلَى الْيَدِ مَا أَخَذَتْ حَتَّى تُؤَدِّيَهُ»

“Tangan bertanggungjawab atas apa yang diambilnya sehinggalah ia memulangkannya” [Dikeluarkan oleh Ahmad dengan sanad sahih dari Samrah bin Jundub],

dan banyak lagi hukum-hukum lainnya dalam hal ini. Ini adalah dalil yang jelas bahawa orang-orang kafir dibebankan dengan hukum-hakam Furu’.

Tambahan lagi, perintah untuk berpegang kepada Usul, adalah dengan sendirinya bermaksud perintah untuk berpegang kepada Furu’, dan perintah untuk berpegang kepada keseluruhan (Kulli) adalah juga perintah untuk berpegang kepada sebahagian (Juz’i). Dengan yang demikian, perintah/kewajipan solat adalah juga bermaksud perintah/kewajipan menyempurnakan rakaat, bacaan, berdiri, dan sebagainya. Oleh kerana orang kafir dibebankan dengan Usul, maka dia juga dibebankan dengan Furu’.

Adapun mengenai ketidaksahan pelaksanaan sebahagian hukum Furu’ oleh orang-orang kafir, seperti solat dan puasa, ia adalah kerana syarat sahnya ibadat tersebut ialah “Islam”. Maka tidak sah ibadat tersebut dikerjakan oleh orang-orang kafir sehingga syarat “Islam” itu dipenuhi (yakni dia masuk Islam). Tetapi ini tidak bermakna yang ibadat-ibadat tersebut tidak wajib ke atas mereka.

Adapun mengenai kedudukan sebahagian hukum Furu’ yang tidak diperintahkan ke atas mereka, seperti hukum jihad, walaupun “Islam” bukanlah syarat untuk pelaksanaannya, tetapi kerana jihad itu bermaksud memerangi orang-orang kafir disebabkan oleh kekufuran mereka, dan Zimmi juga adalah kafir. Oleh itu, Zimmi terhalang daripada memerangi orang-orang kafir kerana jika demikian halnya, dia dibenarkan untuk memerangi dirinya sendiri. Atas dasar itulah, Zimmi tidak diperintahkan untuk berjihad. Namun, jika dia dengan sukarela ingin ikut memerangi orang-orang kafir,  hal ini dibenarkan, tetapi dia tidak dipaksa untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna yang dia tidak dibebankan dengan hukum tersebut oleh Allah (swt).

Ini dari sudut status mereka sebagai pihak yang tertakluk kepada hukum Islam.

Adapun dari sudut kewajipan pemerintah menerapkan seluruh hukum Islam ke atas mereka, ia adalah kerana Allah (swt) berfirman mengenai Ahli Kitab:

﴿فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ﴾

“Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka” [Al-Ma’idah (5): 48],

dan Allah (swt) juga berfirman mengenai mereka:

﴿وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ﴾

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka” [Al-Ma’idah (5): 49],

dan Dia (swt) berfirman:

﴿إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ﴾

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” [An-Nisa (4): 105].

Ini adalah umum, mencakupi Muslim dan non-Muslim, kerana perkataan “manusia” (an-Nas) adalah umum.

Adapun mengenai firman-Nya:

﴿سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ ۚ فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ﴾

“Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), maka putuskanlah (perkara itu) diantara mereka, atau berpalinglah dari mereka” [Al-Ma’idah (5): 42],

apa yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah mereka (orang kafir) yang datang ke Negara Islam dari luar untuk berhakim dengan orang Islam dalam pertikaian sesama mereka (kafir yang sama agama) atau dengan kafir lainnya (kafir yang berbeza agama). Dalam kes sebegini, orang Islam (yang menjadi hakim itu) mempunyai pilihan sama ada untuk menghukum mereka (dengan hukum Islam) atau berpaling daripada mereka (tidak menghukum).

Ayat ini turun berkenaan orang kafir luar negara yang mempunyai perjanjian dengan Rasulullah (saw). Mereka terdiri daripada Yahudi Madinah, tetapi mereka mempunyai perjanjian dengan Rasulullah (saw), kerana mereka dianggap penduduk negara lain. Mereka tidak berada di bawah kekuasaan Islam, sebaliknya merupakan warga negara lain. Oleh sebab itulah terdapat perjanjian antara Rasulullah (saw) dengan mereka.

Namun, jika mereka berada di bawah kekuasaan Islam – sama ada mereka Zimmi atau orang kafir yang datang sebagai Musta’minin (pencari perlindungan) – maka dilarang memutuskan hukum ke atas mereka melainkan dengan Islam. Sesiapa dalam kalangan mereka yang enggan berhukum dengan hukum Islam, maka pemerintah akan memaksanya untuk tunduk kepada hukum Islam, dan dia akan dihukum kerana keengganannya itu. Ini kerana, akad Zimmah (perlindungan) tidak sah melainkan dengan dua syarat: Pertama, bahawa mereka komited membayar jizyah setiap tahun, dan kedua, komitmen mereka untuk berhukum dengan hukum-hakam Islam iaitu dengan menerima apa sahaja pelaksanaan hukum Islam ke atas mereka sama ada berupa perintah atau larangan, kerana Allah (swt) berfirman:

﴿حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ ۝﴾

“Sehingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [At-Taubah (9): 29],

bermaksud tunduk kepada hukum-hakam Islam.

Rasulullah (saw) sesungguhnya telah menerapkan hukum-hakam Islam ke atas Zimmi. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Umar:

«أَنَّ الْيَهُودَ جَاءُوا إِلَى النَّبِيِّ ﷺ بِرَجُلٍ مِنْهُمْ وَامْرَأَةٍ زَنَيَا فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجِمَا»

“Bahawa orang-orang Yahudi datang kepada Nabi (saw) dengan membawa seorang lelaki dari kalangan mereka dan seorang wanita yang telah berzina, lalu baginda memerintahkan kedua-duanya direjam.”

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas:

«أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَتَلَ يَهُودِيًّا بِجَارِيَةٍ قَتَلَهَا عَلَى أَوْضَاحٍ لَهَا»

“Bahawa Nabi (saw) membunuh (qisas) seorang Yahudi kerana dia telah membunuh seorang hamba perempuan demi merampas perhiasan peraknya.”

Mereka (Yahudi) dalam hadis ini adalah rakyat Daulah Islam.

Rasulullah (saw) pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani (Kristian):

«أَنَّ مَنْ بَايَعَ مِنْكُمْ بِالرِّبَا فَلاَ ذِمَّةَ لَهُ»

“Bahawa sesiapa daripada kamu yang memakan riba, maka tiada lagi perlindungan (Zimmah) untuknya” [Dikeluarkan oleh Ibn Abi Shaybah daripada Al-Sha’bi secara Mursal].

Ini semua adalah dalil tentang kewajipan penerapan hukum-hakam Islam ke atas semua rakyat; tidak ada beza antara orang Islam dan bukan Islam. Berdasarkan inilah, Fasal (A) daripada Perkara 7 ini dirangka.

Adapun berkenaan Fasal (B), perintah umum berhubung penerapan hukum Islam disebut dalam firman-Nya:

﴿فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ﴾

“Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka” [Al-Ma’idah (5): 48].

Perintah umum ini telah dikhususkan oleh syarak dengan mengecualikan akidah yang mereka (orang-orang kafir) yakini; dan juga upacara-upacara yang mereka anggap sebagai sebahagian daripada akidah; dan juga hal-hal yang dibenarkan oleh Rasulullah (saw) ke atas mereka untuk mereka lakukan. Persoalan akidah dan upacara-upacara tersebut telah dikecualikan oleh Islam ke atas mereka melalui firman-Nya:

﴿لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ﴾

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)” [Al-Baqarah (2): 256].

Rasulullah (saw) bersabda:

«إِنَّهُ مَنْ كَانَ عَلَى يَهُودِيَّتِهِ أَوْ نَصْرَانِيَّتِهِ فَإِنَّهُ لاَ يُفْتَنُ عَنْهَا، وَعَلَيْهِ الجِزْيَةُ»

“Sesiapa yang berada dalam agama Yahudi atau Nasrani, dia tidak boleh dipalingkan (dipaksa untuk tukar) agamanya, dan ke atasnya kewajipan jizyah” [Dikeluarkan oleh Abu Ubaid dalam al-Amwal melalui jalur Urwah].

Maka, apa-apa perbuatan yang termasuk dalam bab akidah bagi mereka, walaupun bagi kita ia bukan dari bab akidah, kita tidak mengganggu mereka di dalamnya, dan kita membiarkan mereka dengan apa yang mereka yakini.

Begitu juga dengan apa-apa perbuatan yang diperakui oleh Rasulullah (saw) untuk mereka lakukan seperti meminum arak, dan perkahwinan mereka, maka kita tidak mengganggu mereka di dalamnya selagi ia dipatuhi dalam lingkungan sistem (peraturan) umum. Dengan kata lain, mereka dibolehkan meminum arak dalam kehidupan khusus (peribadi) mereka semata-mata, dan bukan dalam kehidupan umum yang terdapat orang Islam di dalamnya seperti di pasar-pasar awam dan seumpamanya.

Adapun mengenai Fasal (C) dari Perkara 7 ini, sesungguhnya Islam telah menetapkan hukuman bagi orang murtad, iaitu dibunuh jika tidak kembali (bertaubat), berdasarkan sabda Rasulullah (saw):

«مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْـتُلُوهُ»

“Barang siapa yang menukar agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Abbas].

Dari Anas, beliau berkata:

“فَقَدِمْتُ عَلَى عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ فَقَالَ: يَا أَنَسُ، مَا فَعَلَ السِّتَّةُ الرَّهْطُ مِنْ بَكْرِ بْنِ وَائِلٍ الَّذِينَ ارْتَدُّوا عَنِ الْإِسْلَامِ فَلَحِقُوا بِالْمُشْرِكِينَ؟ قَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، قُتِلُوا بِالْمَعْرَكَةِ، فَاسْتَرْجَعَ عُمَرُ، قُلْتُ: وَهَلْ كَانَ سَبِيلُهُمْ إِلَّا الْقَتْلَ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: كُنْتُ أَعْرِضُ عَلَيْهِمُ الْإِسْلَامَ، فَإِنْ أَبَوْا أَوْدَعْتُهُمُ السِّجْنَ”

“Aku datang kepada Umar, lalu Umar berkata: Wahai Anas, apakah yang telah terjadi kepada enam orang dari Bani Bakr bin Wa’il yang murtad dari Islam dan menyertai Musyrikin? Aku berkata: Wahai Amirul Mukminin, mereka terbunuh dalam peperangan. Lalu Umar mengucapkan ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’. Aku (Anas) berkata: Adakah jalan lain bagi mereka selain dibunuh? Umar berkata: Ya. Aku akan tawarkan Islam kepada mereka (untuk kembali). Jika mereka enggan, aku akan masukkan mereka ke dalam penjara” [Dikeluarkan oleh al-Baihaqi],

iaitu (maksudnya) dipenjarakan sehingga mereka bertaubat, dan jika mereka enggan bertaubat, mereka akan dibunuh. Ini kerana orang yang murtad akan diminta untuk bertaubat, jika dia enggan, maka dia akan dibunuh. Orang yang murtad tidak serta-merta dibunuh kerana telah murtad, sebagaimana diriwayatkan daripada Jabir:

«أَنَّ امْرَأَةً هِيَ أُمُّ مَرْوَانَ ارْتَدَّتْ، فَأَمَرَ النَّبِيُّ ﷺ بِأَنْ يُعْرَضَ عَلَيْهَا الإِسْلاَمُ، فَإِنْ تَابَتْ، وَإِلاَّ قُتِلَتْ»

“Bahawa seorang wanita bernama Ummu Marwan telah murtad. Maka Nabi (saw) memerintahkan agar ditawarkan kepadanya Islam (untuk kembali). Jika dia bertaubat (diterima), jika enggan, dia dibunuh” [Dikeluarkan oleh ad-Daraqutni dan al-Baihaqi].

Hadis ini digunakan oleh ramai Fuqaha’ dan dijadikan dalil oleh Ibn Qudamah dalam al-Mughni, al-Mawardi dalam al-Hawi al-Kabir dan al-Ahkam as-Sultaniyyah, Abu Ishaq ash-Shirazi dalam al-Muhazzab, ar-Rafi’i dalam asy-Syarh al-Kabir, al-Baghawi dalam at-Tahzib, dan Ibn al-Jawzi dalam at-Tahqiq. Ia dianggap hasan dan diamalkan, iaitu orang murtad diminta bertaubat sebelum dibunuh.

Ini adalah kedudukan bagi orang murtad itu sendiri. Adapun bagi anak-anak mereka yang dilahirkan bukan dalam keadaan Islam, iaitu keadaan di mana seorang Muslim telah murtad (dan terlepas dari dibunuh atas sebab-sebab tertentu) serta kekal dalam agama yang dia murtad itu – sama ada Nasrani, Yahudi atau Musyrik kemudian dia mendapat anak yang lahir atas agamanya tadi – persoalannya adakah anak-anaknya dianggap murtad, sehingga akan diperlakukan seperti orang-orang murtad, atau adakah anak-anak itu dianggap sebagai penganut agama yang mana mereka dilahirkan atasnya?

Jawapannya ialah – anak-anak orang murtad yang dilahirkan sebelum bapanya murtad, mereka (anak-anak itu) tanpa ragu dianggap sebagai Muslim. Bagaimana pun, jika mereka (anak-anak itu) kemudiannya ikut murtad bersama bapa mereka, maka mereka diperlakukan sebagai orang murtad. Tetapi jika mereka dilahirkan selepas bapa mereka murtad daripada isteri yang kafir atau isteri yang juga murtad, maka mereka dianggap kafir, dan tidak dianggap murtad; dan mereka diperlakukan sebagai penganut agama yang mana mereka dilahirkan atasnya.

Oleh itu, setiap anak yang lahir dari si murtad selepas kemurtadannya, sama ada daripada isteri yang kafir atau yang juga murtad, maka anak itu dihukumi sebagai kafir, kerana dia lahir daripada dua ibu bapa yang kafir. Jika kedua ibu bapanya murtad menjadi Yahudi atau Nasrani, dia diperlakukan sebagai Ahli Kitab; dan jika kedua ibu bapanya murtad menjadi Musyrikin, dia diperlakukan sebagai Musyrikin.

Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud:

«أَنَّ ﷺ لَمَّا أَرَادَ قَتْلَ أَبِيكَ (عقبة بن أبي معيط) قَالَ مَنْ لِلصِّبْيَةِ قَالَ النَّارُ»

“Ketika Nabi (saw) hendak membunuh bapamu (Uqbah Bin Abi Mu’ith), dia bertanya, ‘Bagaimana dengan anak-anak?’ Baginda (saw) menjawab, ‘Neraka.'” [Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Hakim dan disahihkannya, dan disepakati oleh az-Zahabi].

Dan dalam riwayat ad-Daraqutni:

«النَّارُ لَهُمْ وَلأَبِيهِمْ»

“Neraka bagi mereka dan bagi bapa mereka”.

Berdasarkan apa yang disebut dalam Sahih al-Bukhari dalam bab Ahl ad-Dar dari Kitab al-Jihad: Dari Ibn Abbas dari as-Sa’b bin Jatsamah, beliau berkata:

«مَرَّ بِيَ النَّبِيُّ ﷺ بِالأَبْوَاءِ – أَوْ بِوَدَّانَ – وَسُئِلَ عَنْ أَهْلِ الدَّارِ، يُبَيَّتُونَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ فَيُصَابُ مِنْ نِسَائِهِمْ وَذَرَارِيِّهِمْ، قَالَ ﷺ: هُمْ مِنْهُمْ»

“Nabi (saw) melewatiku di suatu tempat bernama al-Abwa atau Waddan, dan baginda (saw) ditanya apakah diperbolehkan menyerang pasukan kafir di malam hari dengan kemungkinan membahayakan wanita dan anak-anak mereka. Nabi (saw) menjawab, “Mereka (wanita dan anak-anak) termasuk golongan mereka (sama-sama kafir).”

Atas dasar itu, setiap anak yang lahir dari kedua ibubapa yang kafir dianggap sebagai kafir dan hukum yang berlaku ke atas orang-orang kafir juga berlaku ke atasnya.

Oleh yang demikian, mereka yang  murtad dari Islam dan menjadi kumpulan-kumpulan bukan Islam seperti Druze, Baha’i dan Qadiani, tidak diperlakukan sebagai orang murtad, kerana mereka bukan orang yang murtad (secara langsung), sebaliknya nenek moyang merekalah yang murtad. Mereka ini dilahirkan daripada ibu bapa yang murtad (kafir), maka mereka dihukumi sebagai kafir, dan diperlakukan seperti orang kafir.

Memandangkan mereka ini bukannya murtad ke agama Ahli Kitab (Nasrani atau Yahudi), maka mereka diperlakukan sebagai kaum Musyrikin. Jadi, sembelihan mereka tidak boleh dimakan, dan wanita mereka tidak boleh dinikahi. Ini kerana, golongan kafir itu hanya terbahagi kepada dua kategori iaitu sama ada Ahli Kitab atau Musyrikin, dan tidak ada kategori ketiga.

Rasulullah (saw) bersabda mengenai Majusi Hajar, melalui riwayat al-Hasan Bin Muhammad Bin al-Hanafiyyah:

«فَمَنْ أَسْلَمَ قُبِلَ مِنْهُ، وَمَنْ لَمْ يُسْلِمْ ضُرِبَتْ عَلَيْهِ الجِزْيَةُ، غَيْرَ نَاكِحِي نِسَائِهِمْ وِلاَ آكِلِي ذَبَائِحِهِمْ»

“Siapa sahaja yang memeluk Islam, maka terimalah, dan siapa sahaja yang tidak, maka kenakan ke atas mereka jizyah, jangan menikahi wanita mereka dan jangan memakan sembelihan mereka.”

Al-Hafiz berkata dalam ad-Dirayah: Hadis ini dikeluarkan oleh Abd ar-Razaq dan Ibn Abi Shaibah, dan ia adalah Mursal Jayyid al-Isnad (mursal dengan sanad yang baik).

Adapun keturunan mereka yang murtad dari Islam dan menjadi Nasrani  (Kristian) sebagaimana halnya di Lubnan seperti keluarga Shihab; nenek-moyang mereka murtad ke agama Kristian, dan dengan itu anak-cucu mereka lahir sebagai Kristian, jadi mereka ini dan siapa sahaja yang kesnya sama seperti mereka, dianggap dan diperlakukan seperti Ahli Kitab.

Adapun mengenai Fasal (D) dan (E): Dalil kedua-duanya adalah bahawa Rasulullah (saw) telah memperakui orang Yahudi dan Nasrani dalam hal meminum arak, dan memperakui perkahwinan dan perceraian mereka. Maka perakuan baginda (saw) itu merupakan pengkhususan kepada dalil umum (takhsisan li ad-dalil al-am).

Bagaimana pun, perakuan Rasulullah (saw) mengenai perkahwinan dan perceraian itu adalah untuk situasi di mana kedua-dua suami-isteri itu adalah kafir. Ada pun jika si suami adalah Muslim dan isterinya adalah Ahli Kitab (Nasrani atau Yahudi), maka diterapkan ke atas kedua-dua mereka hukum syarak. Dan tidak mungkin wujud situasi di mana si isteri adalah Muslimah dan suaminya kafir. Ini adalah batil berdasarkan firman Allah (swt):

﴿فَلَا تَرْجِعُوهُنَّ إِلَى الْكُفَّارِ ۖ لَا هُنَّ حِلٌّ لَهُمْ وَلَا هُمْ يَحِلُّونَ لَهُنَّ﴾

“Maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada (suami-suami mereka) orang-orang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tidak halal pula bagi mereka” [Al-Mumtahanah (60): 10].

Maka tidak halal bagi wanita Muslimah berkahwin dengan lelaki non-Muslim secara mutlak, dan jika dia berkahwin, perkahwinannya adalah batil.

Adapun mengenai Fasal (F): Berkenaan pelaksanaan seluruh hukum Islam (ke atas orang kafir), dalilnya adalah sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, bahawa orang kafir dibebankan dengan Usul dan juga dibebankan dengan Furu’, dan dituntut untuk mematuhi seluruh hukum Islam. Ini adalah umum merangkumi Zimmi dan bukan Zimmi daripada mereka yang hidup di bawah kekuasaan Islam.

Maka semua orang kafir yang memasuki Darul Islam (Negara Islam), sama ada mereka Zimmi, Mu’ahidin atau Musta’minin, wajib diterapkan ke atas mereka hukum-hakam Islam, kecuali persoalan akidah, dan apa sahaja upacara yang dianggap oleh mereka sebagai sebahagian dari akidah, dan setiap perbuatan yang diperakui oleh Rasulullah (saw) untuk mereka lakukan.

Dikecualikan daripada semua hal ini adalah para duta, dan mereka yang seumpamanya, kerana uqubat (hukuman) tidak diterapkan ke atas mereka. Ini kerana mereka diberikan apa yang dinamakan sebagai kekebalan diplomatik. Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada Ibn Mas’ud, beliau berkata:

«جَاءَ ابْنُ النَّوَّاحَةِ وَابْنُ أُثَالٍ، رَسُولاَ مُسَيْلِمَةَ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَقَالَ لَهُمَا: أَتَشْهَدَانِ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ؟ قَالاَ: نَشْهَدُ أَنَّ مُسَيْلِمَةَ رَسُولُ اللَّهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: آمَنْتُ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ، لَوْ كُنْتُ قَاتِلاً رَسُولاً لَقَتَلْتُكُمَا، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: قَالَ: فَمَضَتِ السُّنَّةُ أَنَّ الرُّسُلَ لاَ تُقْتَلُ»

“Ibnu an-Nawwahah dan Ibnu Utsal datang sebagai utusan daripada Musailimah kepada Nabi (saw). Baginda (saw) bersabda kepada mereka berdua: ‘Adakah kamu bersaksi bahawa aku adalah Rasulullah?’ Mereka menjawab: ‘Kami bersaksi bahawa Musailimah adalah Rasul Allah.’ Lalu Nabi (saw) bersabda: ‘Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya aku (dibenarkan) membunuh utusan, nescaya aku telah membunuh kamu berdua.'” Abdullah (Ibnu Mas’ud) berkata: ‘Maka berlakulah Sunnah bahawa para utusan tidak dibunuh’” [Dikeluarkan oleh Ahmad dan dihasankan oleh al-Haitsami].

Hadis ini menunjukkan pengharaman membunuh utusan yang diutus oleh orang kafir, sekali gus (larangan) mengenakan segala uqubat yang lain. Namun, ini terpakai bagi mereka yang mana sifat “utusan” itu ada padanya seperti duta, Kuasa Usaha (Chargé d’Affaires) dan sesiapa yang setaraf dengan mereka. Adapun sesiapa yang tidak terpakai ke atasnya sifat “utusan” seperti Konsul, Wakil Perdagangan dan seumpamanya, maka mereka tidak mempunyai kekebalan seperti para duta. Rujukan dalam hal ini kembali kepada adat antarabangsa kerana ia adalah persoalan terminologi yang mana realitinya mesti difahami dengan melihat kepada adat antarabangsa. Ini adalah dari bab tahqiq al-manath (pengesahan realiti) dalam menentukan adakah seseorang itu dianggap sebagai “utusan” atau tidak.