Hukum melarang solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid ketika wabak

[Berikut ialah sebahagian daripada terjemahan Soal Jawab daripada Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu Ar-Rasytah berhubung isu Covid-19]

Sesungguhnya meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat dalam keadaan tersebarnya wabak penyakit menular tidak dilakukan secara umum. Tetapi (apa yang dilakukan ialah) orang yang sakit itu diasingkan dan tidak boleh masuk ke masjid untuk solat berjemaah dan solat Jumaat. Diambil semua langkah berupa menjaga kebersihan, memakai topeng muka dan jika perlu, menggunakan apa jua alat pelindung diri dan sebagainya…Kemudian orang-orang yang sihat terus melaksanakan solat Jumaat dan solat berjemaah tanpa dilarang. Jika perlu, boleh disediakan sekumpulan petugas perubatan di masjid-masjid untuk memeriksa orang yang diduga sakit dalam kalangan mereka yang hadir untuk solat, sehingga boleh diambil langkah-langkah terhadapnya, tanpa orang-orang yang sihat dari kaum Muslimin meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah. Ini kerana, dalil-dalil yang ada tentang solat berjemaah dan solat Jumaat tidak mengandungi kebolehan untuk meninggalkan solat secara berterusan. Malah, solat berkenaan tidak menuntut bilangan yang besar untuk menunaikannya sebagaimana yang akan kami jelaskan…dan diberikan keuzuran untuk sebahagian kaum Muslimin daripada menghadirinya atas sebab-sebab yang khusus sebagaimana berikut:

 

1- Berkaitan dengan solat berjemaah, maka itu adalah fardhu kifayah:

Solat berjemaah merupakan fardhu kifayah yang wajib ditampakkan bagi masyarakat. Abu Darda’ telah meriwayatkan bahawa Nabi (saw) bersabda:

»مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمْ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدْ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمْ الشَّيْطَانُ، عَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْخُذُ الذِّئْبُ مِنَ الْغَنَمِ الْقَاصِيَةَ» رواه أبو داود بإسناد حسن

“Tidaklah ada tiga orang di satu kampung atau pedalaman, di mana tidak didirikan di tengah-tengah mereka solat (berjemaah), kecuali syaitan telah menguasai mereka. Kalian hendaklah berjemaah. Sesungguhnya serigala memakan domba yang menyendiri” [HR Abu Daud dengan sanad hasan].

Hadis ini tentang solat berjemaah. Dan solat berjemaah itu fardhu kifayah.

Sebahagian daripada kaum Muslimin terlambat untuk solat berjemaah bersama Rasulullah (saw), maka Rasulullah (saw) membiarkan mereka setelah mengancam akan membakar mereka. Imam al-Bukhari telah mengeluarkan daripada Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

»وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ فَيُحْطَبَ ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَهَا ثُمَّ آمُرَ رَجُلاً فَيَؤُمَّ النَّاسَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهُمْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ أَنَّهُ يَجِدُ عَرْقاً سَمِيناً أَوْ مِرْمَاتَيْنِ حَسَنَتَيْنِ لَشَهِدَ الْعِشَاءَ»

“Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sungguh aku ingin memerintahkan tukang pencari kayu lalu dikumpulkan kayu bakar, kemudian aku perintahkan solat lalu dikumandangkan azan kemudian aku perintahkan seorang lelaki untuk mengimami orang-orang kemudian aku pergi kepada kaum lelaki (yang tidak keluar untuk solat berjemaah) dan aku bakar rumah mereka. Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, seandainya salah seorang daripada kalian mengetahui, bahawa dia mendapati kuah berlemak atau daging kambing yang baik nescaya dia akan tetap ikut (solat) Isyak berjemaah”.

Seandainya solat berjemaah itu fardhu ain atas setiap Muslim, nescaya baginda (saw) tidak akan membiarkan mereka begitu sahaja (tanpa solat berjemaah). Hadis itu tentang solat berjemaah kerana disebutkan solat Isyak…dan paling sedikit solat berjemaah itu adalah dua orang, iaitu seorang Imam dan seorang Makmum. Ini sesuai dengan hadis Malik bin al-Huwairis, dia berkata:

»أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَنَا وَصَاحِبٌ لِي فَلَمَّا أَرَدْنَا الْإِقْفَالَ مِنْ عِنْدِهِ قَالَ لَنَا إِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَأَذِّنَا ثُمَّ أَقِيمَا وَلْيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَا»، أخرجه مسلم

“Aku datang kepada Nabi (saw), aku dan temanku, ketika kami ingin pergi dari hadapan baginda, baginda bersabda, ‘Kita, jika telah tiba waktu solat, maka kita tunaikannya. Maka tunaikanlah oleh kalian berdua solat dan hendaknya yang menjadi Imam yang lebih tua dari kalian berdua” [HR Muslim].

Kewajipan solat berjemaah tidak gugur kecuali dengan adanya uzur syarie, yang tentangnya mesti ada nas yang menjelaskan seperti pada malam yang dingin atau hujan lebat, sebagaimana hadis Imam al-Bukhari bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

«كَانَ يَأْمُرُ مُؤَذِّناً يُؤَذِّنُ ثُمَّ يَقُولُ عَلَى إِثْرِهِ أَلَا صَلُّوا فِي الرِّحَالِ فِي اللَّيْلَةِ الْبَارِدَةِ أَوْ الْمَطِيرَةِ فِي السَّفَرِ»

“Baginda memerintahkan mu’azzin mengumandangkan azan kemudian baginda bersabda, ‘Ingatlah solatlah kalian di rumah pada malam yang dingin atau hujan lebat dalam perjalanan”.

 

2- Adapun mengenai solat Jumaat, maka ia adalah fardhu ain, dan kewajipannya tidak gugur kecuali dengan uzur syarie. Dalil-dalil berkenaan hal itu cukup banyak, di antaranya:

Firman Allah (swt):

﴿إِذَا نُودِي لِلصَّلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ﴾

“Apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli” [Al-Jumaah (62):9].

Perintah wajib dalam ayat ini ditunjukkan dengan dalil qarinah iaitu larangan daripada melakukan perkara yang mubah (larangan berjualbeli ketika diseru solat), yang menunjukkan bahawa thalab (tuntutan) itu adalah jazim (tegas). Al-Hakim telah mengeluarkan dalam al-Mustadrak ‘ala as-Sohihain dari jalur Thariq bin Syihab dari Abu Musa dari Nabi (saw), baginda bersabda:

«الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةٌ: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ»

“(Solat) Jumaat merupakan hak yang wajib ke atas setiap Muslim dalam berjemaah kecuali empat orang: hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit”.

Al-Hakim berkata: hadis ini sahih menurut syarat syaikhain (al-Bukhari dan Muslim)”.

Solat Jumaat tidak wajib atas orang yang takut berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) bahawa Nabi (saw) bersabda:

«مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ» أخرجه البيهقي في السنن الكبرى

“Siapa sahaja yang mendengar seruan (azan) dan tidak menjawabnya (tidak pergi menunaikan solat Jumaat) maka tidak ada solat untuknya kecuali kerana uzur”. Mereka (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah apakah uzurnya?’ Baginda menjawab: ‘takut atau sakit’” [HR al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra].

Demikianlah kewajipan solat Jumaat ke atas setiap Muslim, kecuali ke atas orang yang dikecualikan oleh nas yang syarie…selain mereka yang dikecualikan berdasarkan nas itu, maka solat Jumaat adalah fardhu ain ke atasnya. Ini adalah uzur syarie (berdasarkan nas) dan tidak boleh diqiyaskan ke atasnya. Uzur syarie adalah apa yang dinyatakan oleh nas syarie, dan qiyas tidak boleh dilakukan dalam hal ibadah. Ini kerana di dalamnya tidak dinyatakan nas yang disertai ‘illat untuk membolehkan dilakukan qiyas ke atasnya…

Solat Jumaat disyaratkan mengandungi sebilangan orang daripada kaum Muslimin. Para sahabat telah bersepakat (Ijma’) bahawa mesti ada sejumlah orang untuk solat Jumaat. Oleh itu, solat Jumaat itu hendaklah dilakukan dalam sejumlah manusia (orang Islam). Tidak disyaratkan adanya bilangan tertentu. Berapa pun bilangannya yang boleh disebut sebagai jemaah, maka ia dinilai sebagai bilangan yang dengannya solat Jumaat itu absah, selama bilangan tersebut dinilai sebagai jemaah. Ini kerana keberadaannya sebagai jemaah ditetapkan dengan hadis Thariq di atas.

«الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ»

“Jumaat merupakan hak wajib atas tiap Muslim di dalam jemaah”.

dan juga (ditetapkan) berdasarkan Ijma’ as-Sahabat, serta tidak ada hadis yang boleh dijadikan sandaran yang menunjukkan bilangan tertentu dalam solat Jumaat. Bagaimana pun, oleh kerana mesti ada jemaah dan sejumlah bilangan, dan hal itu tidak akan terpenuhi kecuali dengan tiga orang atau lebih – kerana dua orang tidak disebut sebagai jemaah – atas dasar itu maka hendaklah ada tiga orang yang padanya wajib Jumaat sehingga sah solat Jumaat itu. Jika kurang daripada bilangan tersebut (tiga orang), maka tidak sah disebut Jumaat kerana tidak cukup bilangan untuk dikatakan sebagai jemaah. Telah disepakati oleh Ijma’ as-Sahabat bahawa mesti ada sejumlah orang untuk solat Jumaat.

Demikianlah di dalam Daulah al-Khilafah, solat Jumaat dan berjemaah tidak diabaikan. Hanya mereka yang mempunyai uzur syarie tidak menghadirinya, manakala mereka yang lain hadir.

Adapun pendapat bahawa telah menjadi ghalabah azh-zhan (dugaan kuat) bahawa semua orang berisiko tertular dan tidak mungkin untuk mencegah penularannya walau langkah-langkah dan sikap hati-hati telah diambil, ini adalah kemungkinan yang lemah, khususnya bahawa jumlah minimum untuk solat berjemaah adalah dua orang dan untuk solat Jumaat adalah tiga orang. Ini menurut pendapat yang lebih rajih (kuat). Jika kita andaikan adanya kemungkinan ini (semua orang berisiko tertular) maka hal itu diambil di tempatnya sahaja. Perkara seperti ini wajib ditetapkan (dipastikan – verify) dengan sangat rinci dan amanah. Jika angka (mereka yang berisiko tertular) telah terpenuhi menurut ghalabah azh-zhan, maka solat Jumaat dan solat berjemaah (tetap) tidak boleh ditiadakan, tetapi diambil semua langkah dan tindakan hati-hati (untuk mencegah penularan). Jadi, tindakan pencegahan itu tidak bererti meninggalkan kewajipan, namun kewajipan itu ditunaikan dan disertai mengambil tindakan berhati-hati dan langkah-langkah untuk mencegah penularan.

Ini adalah hukum yang rajih dalam masalah ini. Jika negara menutup masjid-masjid tanpa mengerahkan segenap usaha dalam memastikan ghalabah azh-zhan sebagaimana yang kami jelaskan di atas, lalu kemudian melarang orang ramai mendatangi masjid untuk solat Jumaat dan solat berjemaah, maka negara berdosa dengan dosa besar kerana membiarkan (meniadakan) solat Jumaat dan berjemaah.

Sebagai penutup, sungguh sangat menyedihkan di mana para penguasa di negeri kaum Muslimin mengikuti langkah-langkah kaum kafir penjajah sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta. Jika negara-negara kafir penjajah itu bermasalah dalam mengatasi penyakit tertentu, para penguasa itu pun tetap mengikuti mereka. Jika mereka menyodorkan penyelesaian, meskipun keadaannya berbeza, para penguasa negeri kaum Muslimin pun bertepuk tangan dan mengangap telah sihat dan pulih (dari penyakit)!

Sungguh menyakitkan, wabak Corona ini telah menambah kejumudan terhadap negeri kaum Muslimin dan penduduknya hingga hampir-hampir kehidupan umum telah terhenti. Padahal (dari segi sejarahnya) negeri kaum Muslimin telah berlalu atasnya banyak perkara di mana ia telah diuji dengan tha’un, sedangkan pada waktu itu ia sedang mengharungi peperangan sengit dengan Rom di Syam pada tahun 18 H…Demikian juga, kaum Muslimin pernah diuji pada pertengahan abad ke-6 H dengan wabak asy-syaqfah yang sekarang disebut sebagai cacar yang menular dari Syam hingga Maghribi. Sekarang dianggap sebagai sebahagian daripada luka kulit yang disebabkan oleh sejenis bakteria…Demikian juga kaum Muslimin telah diuji pada pertengahan abad ke-8 H (749 H) dengan apa yang disebut sebagai tha’un al-a’zham di Damaskus. Dalam semua keadaan itu, masjid-masjid tidak pernah ditutup, dan solat Jumaat serta solat berjemaah tidak pernah dihentikan. Orang ramai juga tidak dikurung di rumah-rumah mereka. Bagaimana pun, orang yang sakit diasingkan, manakala orang yang sihat tetap menjalankan aktiviti mereka dengan jihad dan memakmurkan bumi…Mereka pergi ke masjid, solat dan berdoa kepada Allah agar melindungi mereka daripada penyakit yang melanda. Semua itu dilakukan di samping mereka melakukan rawatan (perubatan) dengan cara yang mereka ambil (pada waktu itu) dalam merawat orang-orang yang sakit…Inilah yang benar.

﴿فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ﴾

“Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan” [Yunus (10):32].

2 Sya’ban 1441 H
26 Mac 2020 M

[Soaljawab asal yang penuh sila klik https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/photos/a.1705088409737176/2593156944263647/?type=3&theater]