Hutang dijadikan perniagaan dalam sistem kapitalisme

Berita:

Rakyat Malaysia suka berhutang. Ini bukan auta! Fakta menunjukkan rakyat Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara dengan jumlah hutang keseluruhan sebanyak RM 1.144 trilion. Fakta juga menyebut, 50 peratus daripadanya terlibat dengan hutang pinjaman perumahan, manakala selebihnya adalah pinjaman peribadi, kereta dan lain-lain [Sumber berita: Sinar Harian, 23 September 2018 (Khamis) bertajuk: Terjerat dengan beban hutang?]

Komentar:

Dalam sistem kapitalisme, hutang merupakan salah satu ‘alat’ yang digunakan oleh para kapitalis untuk meningkatkan kekayaan mereka. Melalui hutang, kapitalis menjana keuntungan dengan mengenakan riba kepada si penghutang. Pendek kata, hutang merupakan satu bentuk perniagaan yang hidup subur di dalam sistem ekonomi kapitalisme. Antara entiti yang penting dalam perniagaan hutang ini ialah bank-bank yang berfungsi menyediakan pinjaman-pinjaman dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan lain-lain. Oleh sebab manusia secara fitrahnya mempunyai kehendak yang tidak terbatas, para kapitalis bank ini telah melihat bahawa ini merupakan peluang yang baik bagi mereka untuk mendapatkan keuntungan melalui pinjaman ribawi. Hal ini bertambah rancak apabila pinjaman ribawi itu sendiri lebih mudah untuk diluluskan berbanding 50 tahun yang lepas. Jadi tidak hairanlah semakin ramai penduduk di Malaysia mempunyai hutang yang pelbagai.

Dalam Islam, hutang bagi individu bersifat mubah, selagi mana hutang tersebut tidak melibatkan perkara yang haram. Hutang dalam Islam mempunyai konsep yang sangat berbeza berbanding hutang dalam sistem kapitalisme. Hutang dalam Islam disifatkan sebagai satu bentuk pertolongan kepada golongan yang tidak mampu (qard al-hassan). Terdapat dalam hadis menyebutkan pemberi hutang mempunyai kemuliaannya yang tersendiri di sisi Allah SWT, begitu juga si penghutang sekiranya ia melunaskan hutangnya dengan cara yang baik. Namun, terdapat juga anjuran Rasulullah SAW untuk mengelakkan hutang agar hidup lebih aman dan tenteram. Sebaliknya dalam sistem kapitalisme, hutang merupakan satu bentuk penindasan kepada golongan yang tidak mampu dengan cara memaksa si penghutang untuk membayar lebih daripada apa yang dipinjamnya (interest/bunga/riba). Hutang seperti ini diharamkan Islam malahan terdapat pelbagai nas al-Quran dan as-Sunnah yang menegah dan melaknat amalan ribawi ini.

Melihat kepada pengamalan sistem ekonomi kapitalisme yang subur di negara ini, gaya hidup berhutang dalam pelbagai perkara akan terus menjadi trend semasa kerana di mana ada tuntutan untuk memuaskan kehendak malahan mungkin keperluan, di situ akan ada ruang kepada para kapitalis untuk menyediakan hutang ribawi ini. Perkara ini tidak mungkin ada noktahnya selagi mana sistem ekonomi kapitalisme ini tidak digantikan dengan sistem ekonomi Islam. Wallahu a’lam.

Shah Sinan

Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia