IJN hak rakyat secara percuma, bukan untuk diniagakan
“Sekiranya IJN diserahkan kepada Sime Darby, sumbangan kerajaan untuk pembedahan akan terus dilakukan, dalam erti kata tanggungjawab sosial akan disumbangkan oleh kerajaan. Maknanya kerajaan tidak mengabaikan atau tidak akan mengorbankan tanggungjawab sosialnya sama sekali” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini. Laporan akhbar hari ini menyebut konglomerat Sime Darby mengesahkan hasratnya mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN dan memberikan jaminan untuk mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas isu tersebut turut mahukan jaminan daripada Sime Darby bahawa ia akan meneruskan khidmat kepada golongan berpendapatan rendah jika mengambil alih kepentingan dalam IJN.
Inilah hakikatnya hidup di dalam sebuah pemerintahan Kapitalis. Dalam dunia kapitalisme, apa sahaja pun adalah boleh dilakukan asalkan membuahkan faedah/untung. Menggadaikan hak milik umum menjadi sumber pendapatan negara merupakan antara alasan negara terhadap penswastaan. Soal emosi atau bantahan rakyat bukanlah penghalang kepada usaha itu, selagi mana ada ruang untuk membuncitkan perut sendiri, selagi itulah kerajaan akan tetap bertindak. Cumanya, tatkala menjelang pilihanraya kecil di Terengganu ini, negara nampak agak ‘bertimbang rasa’ untuk menangguhkan keputusan penswastaan tersebut.
Pemerintah yang Kapitalis tidak pernah mahu belajar dan memahami Islam. Mereka hidup hanya untuk mendapatkan habuan dunia sebanyak-banyaknya dengan menghisap darah rakyat. Mereka tidak pernah mahu mengkaji atau menerima hakikat bahawa di dalam Islam, menyediakan pusat-pusat kesihatan dan memberikan perkhidamatan percuma kepada rakyat adalah tanggungjawab pemerintah. Menurut Islam, IJN sebagai sebuah pusat rawatan dan kesihatan, seperti hospital-hospital lainnya, ini semua adalah wajib disediakan oleh pemerintah secara percuma kepada rakyat, tidak kira samada rakyat kaya atau miskin, muslim, kafir dan sebagainya. Pusat rawatan dan kesihatan merupakan tanggungjawab negara yang wajib disediakan secara percuma dan bukan menjadi bahan tolak-tendang untuk diniagakan atau dieksploitasi menjadi sumber pendapatan negara. Ia merupakan “hak” rakyat yang wajib ke atas negara menyediakannya.
Oleh itu, isu menswastakan IJN bukanlah isu baru yang kontroversi. Ia hanyalah rentetan dari dasar penswastaan yang berlangsung dalam sebuah negara Kapitalisme seperti Malaysia. Penswastaan bekalan air, elektrik, minyak dan sebagainya yang merupakan hak umum menandakan negara Kapitalis seperti Malaysia tidak pernah menitikberatkan kemaslahatan rakyat seperti yang diuar-uarkan oleh lidah para pemimpinnya. Islam langsung tidak dipandang oleh mereka, namun kepentingan kepada diri sendiri dan kronilah yang sentiasa menjadi ukuran di dalam melakukan sesuatu perbuatan.
Umat Islam perlu sedara bahawa mereka selama ini ditipu dan ditindas melalui dasar-dasar penswastaan yang terbit dari pengamalan sistem Kapitalisme. Jalan keluar dari masalah yang tak berkunjung reda ini adalah kembali kepada sistem Islam yang mampu membuang jauh segenap ketidakadilan dan menjana keharmonian hidup. Jika pemerintah yang ada tidak mahu kembali kepada Islam, maka kita wajib melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan hukum Islam ke atas kita semua.