Indahnya Sabar Tatkala Berdepan Dugaan dan Kezaliman

Sesungguhnya Allah (swt) menjadikan sabar itu sebagai senjata yang kuat, pasukan perang yang gagah perkasa, dan benteng yang kuat yang tidak akan pernah runtuh. Sabar dan kemenangan itu ibarat dua saudara kandung. Allah (swt) seringkali memuji orang-orang yang bersabar di dalam kitab-Nya:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” [Az-Zumar (39): 10].

Allah (swt) sentiasa bersama mereka dengan petunjuk dan pertolongan-Nya, sebagaimana firman-Nya:

وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar” [Al-Anfal (8): 46].

Dia (swt) juga memberi khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar dalam tiga hal yang kesemuanya lebih baik daripada apa yang dicemburui oleh penduduk dunia seperti mana firman-Nya:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156) أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ (157)

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Al-Baqarah (2):155-157].

Dia (swt) juga mengurniakan kemenangan dengan memperoleh syurga dan keselamatan daripada neraka yang diberikan kepada orang-orang yang sabar. Firman-Nya:

إِنِّي جَزَيْتُهُمُ الْيَوْمَ بِمَا صَبَرُوا أَنَّهُمْ هُمُ الْفَائِزُونَ

“Sesungguhnya Aku memberi balasan kepada mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya” [Al-Mu’minun (23):111].

Mendidik diri untuk bersabar itu bukanlah mudah. Apatah lagi dengan ujian yang menimpa tanpa diduga. Sebahagian orang mungkin akan berkata, “Saya masih baharu berhijrah kepada Islam. Saya khuatir tidak mampu menghadapi demikian banyaknya cubaan”, atau “saya terlalu banyak melakukan dosa, masih baru berhijrah, saya khuatir dosa saya masih banyak dan amal saya masih sedikit lalu diberikan cubaan dan menyebabkan saya tidak mampu bersabar dan kuat menghadapinya”.

Kepada insan-insan yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan sebegini, ada sebuah hadis sahih daripada Rasulullah (saw) yang menyatakan:

أَنَّ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ أَخْبَرَهُ أَنَّ أُنَاسًا مِنْ الْأَنْصَارِ سَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَسْأَلْهُ أَحَدٌ مِنْهُمْ إِلَّا أَعْطَاهُ حَتَّى نَفِدَ مَا عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُمْ حِينَ نَفِدَ كُلُّ شَيْءٍ أَنْفَقَ بِيَدَيْهِ مَا يَكُنْ عِنْدِي مِنْ خَيْرٍ لَا أَدَّخِرْهُ عَنْكُمْ وَإِنَّهُ مَنْ يَسْتَعِفَّ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ وَلَنْ تُعْطَوْا عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنْ الصَّبْرِ

Abu Sa’id Al Khudri telah mengkhabarkan kepada mereka bahawa beberapa orang dari kaum Ansar meminta (sedekah) kepada Rasulullah (saw), dan tidaklah salah seorang dari mereka meminta melainkan baginda akan memberinya, hingga habislah apa yang ada pada baginda. Ketika apa yang ada pada baginda telah habis (di-infaqkan), baginda bersabda kepada mereka: “Jika kami memiliki kebaikan, maka kami tidak akan menyimpannya dari kalian semua, namun barangsiapa merasa cukup maka Allah akan mencukupkan baginya, barangsiapa berusaha bersabar maka Allah akan menjadikannya sabar dan barangsiapa merasa (berusaha) kaya maka Allah akan menjadikannya kaya. Dan sungguh, tidaklah kalian diberi sesuatu yang lebih baik dan lebih lapang dari kesabaran” [HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasaie, Ahmad, Malik, ad-Darimi dan al-Baihaqi].

Tidak ada kelebihan yang lebih baik dikurniakan oleh Allah (swt) selain kesabaran. Maka bermohonlah kepada Allah (swt) untuk dikurniakan kesabaran seperti mafhum hadis tersebut, dan sungguh Allah (swt) akan menganugerahkannya. Apatah lagi andai kita diberikan dugaan di saat sedang berusaha mengembalikan kehidupan Islam dengan berusaha menegakkan Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj nubuwwah. Tidak sedikit aktivis Islam yang telah dipenjara, dibunuh, difitnah dan berhadapan dengan pelbagai lagi dugaan dan ujian dalam perjuangan mulia ini.

Wahai pemikul dakwah! Hendaklah kita sentiasa berdoa memohon dikurniakan kesabaran, dan berusaha untuk meningkatkan kesabaran pada diri kita. Tidak ada jalan lain selain dari terus berusaha menyiapkan jiwa untuk bersabar dan kekal bersabar. Dengan kesabaran yang dididik inilah yang akan mewujudkan jiwa yang redha terhadap segala dugaan-Nya.

Belajarlah dari Imam Baqi’ bin Makhlad yang sanggup menjadi pengemis setelah menempuh perjalanan dari Cordoba (Andalus) menuju ke Baghdad demi menimba ilmu dari Imam Ahmad bin Hanbal. Kesabaran beliau dalam mencari ilmu ini dimaktubkan di dalam kitab Safahat Min Sabr Al-Ulama seperti berikut:

Imam Baqi’ Ibn Makhlad bergerak menuju ke kediaman Imam Ahmad Ibn Hanbal dan menemuinya. Imam Baqi’ mengetuk pintu, dan Imam Ahmad membuka lantas bertanya, “Siapa kamu? Nampak asing (bukan dari Baghdad), dari mana?”

“Saya datang jauh, dari tempat yang jauh di Barat (Maghrib),” jawab Imam Baqi’.

“Dari Maghrib? Dari Maghrib al-Aqsa? (Barat yang jauh), Dari negara Andalus?” tanya Imam Ahmad.

Imam Baqi’ menjawab, “Ya, saya datang dari Andalus”.

“Apa yang kamu mahu dariku?” balas Imam Ahmad.

“Aku ingin menuntut, meriwayatkan hadis daripadamu” jelas Imam Baqi.

“Tidakkah kau tahu, aku tidak dibenarkan untuk menyampaikan hadis?” soal Imam Ahmad, lantas Imam Baqi membalas. “Ya, tahu”. Imam Ahmad mengulangi kembali, “Aku tidak boleh menyampaikannya”.

Lalu Imam Baqi’ berkata, “Aku boleh datang setiap hari ke rumahmu dengan berpakaian (menyamar) sebagai seorang pengemis, dan memintamu sesuatu untuk diberikan demi mendapat ganjaran dari Allah, maka kau bukalah pintumu untukku menadah satu, dua hadis darimu”.

Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah, menerima keikhlasan Imam Baqi’. Dan setiap hari, beliau menyamar berpakaian sebagai pengemis dan menuntut hadis sepanjang tempoh Imam Ahmad Ibn Hanbal belum dibebaskan dari tuduhan dan bersih dari segala fitnah pada zaman Khalifah al-Mutawakkil billah Abbasi, sehinggalah beliau diterima untuk menyampaikan kuliahnya di masjid semula.

Kisah ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada para thalabul ilmi (penuntut ilmu). Mana tidaknya, perjalanan jauh yang menelan masa yang lama itu pasti akan menjadi sia-sia seandainya hilangnya sebuah benteng kesabaran pada diri Imam Baqi’ setelah mengetahui Imam Ahmad bin Hanbal menjadi orang yang dilarang dari melakukan sebarang aktiviti penyampaian ilmu oleh penguasa pada waktu itu.

Namun kesabaran Imam Baqi’ yang sangat tinggi hingga sanggup menjadi pengemis semata-mata demi menuntut ilmu telah menjadikan beliau seorang yang mulia sepertimana digambarkan oleh Imam Al-Hafidz adz-Dzahabi yang berkata “Imam Baqi’ adalah seorang imam, mujtahid, soleh, robbani, sentiasa benar, mukhlis, sangat alim pada zamannya dan tidak ada seseorang yang menyerupainya, beliau sendiri memberikan fatwa-fatwa hadis dan tidak bertaklid kepada sesiapapun”.

Dalam pada itu, kisah kesabaran Imam Ahmad yang menjadi mangsa peristiwa Ayyam al-Mihnah sehingga tidak dibenarkan untuk mengikuti, menyampaikan, atau menghadiri kelas-kelas pengajian di khalayak umum itu sewajarnya diteladani dalam menghadapi penindasan dan kezaliman penguasa. Selain Imam Ahmad, terdapat ramai lagi para ilmuan Islam yang turut menjadi mangsa kerakusan penguasa, antaranya Imam Sa’id Bin Jubair, Imam Sufyan ats-Tsauri, Imam al-Bukhari, Imam Hanafi, Ibnu al-Jauzi, Ibnu Taimiyah dan lain-lain.

Tidak ada penawar yang lebih berharga dalam mendidik jiwa saat diuji sedemikian melainkan dengan terus bersabar. Namun, tidak dinafikan ada kalanya kelelahan menguasai diri, ditambah dengan bisikan syaitan yang ingin kita berpaling dari Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw), yang sentiasa menghasut kita untuk lebih memilih dunia yang fana berbanding akhirat yang kekal. Maka, teguhkanlah kembali diri kita dengan terus bersabar, tenangkanlah jiwa yang sedang kacau dengan menyatakan kepada dirimu sendiri;

“Tidakkah engkau melihat banyak penduduk bumi yang ditimpa pelbagai musibah dan bencana yang dahsyat berbanding dirimu, namun mereka tidak diberi pahala dan dikurnia kesabaran oleh Allah (swt)? Apakah engkau tidak pernah mendengar hadis-hadis dari Rasulullah (saw) ini:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ ؛ وَلَا نَصَبٍ ؛ وَلَا هَمٍّ ؛ وَلَا حَزَنٍ ؛ وَلَا غَمٍّ ؛ وَلَا أَذًى – حَتَّى الشَّوْكَةُ يَشَاكُهَا – إلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Tidaklah menimpa seorang Mukmin berupa rasa sakit (yang terus-menerus), rasa penat, kekhuatiran (pada fikiran), sedih (kerana kehilangan sesuatu), kesusahan hati atau sesuatu yang menyakiti, bahkan duri yang menusuknya melainkan akan dihapuskan dosa-dosanya” [HR Bukhari dan Muslim].

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ صَلَابَةً وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ خُفِّفَ عَنْهُ وَلَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَمْشِيَ عَلَى الْأَرْضِ مَا لَهُ خَطِيئَةٌ

Nabi (saw) pernah ditanya; “Siapakah orang yang paling berat dugaannya?” Beliau menjawab: “Para Nabi, kemudian orang-orang sesudahnya (darjat keimanannya setingkat di bawahnya), dan orang-orang sesudahnya (darjat keimanannya setingkat di bawahnya). Seseorang akan diuji sesuai dengan tingkat agamanya. Jika agamanya teguh, maka ia akan bertambah teguh, namun jika agamanya lemah maka ia pun bertambah lemah. Musibah akan terus menimpa seorang hamba hingga ia berjalan di muka bumi ini tanpa ada satu dosa pada dirinya” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad, ad Darimi dinilai hasan sahih oleh al Albani].

Oleh yang demikian kalian harus berbangga dan bergembira, kerana diuji dalam ketaatanmu kepada Allah ‘Azza wa Jalla, di saat orang lain dipenjara, diuji dengan penindasan kerana kemaksiatannya kepada Allah (swt). Begitulah erti sebuah kesabaran yang merupakan ‘saudara’ bagi orang Mukmin. Sabarlah yang menuntun keimanannya, kerana tidak ada keimanan bagi seorang yang tidak bersabar. Sebaik-baik kehidupan yang diraih oleh orang yang beruntung ialah berkat daripada kesabaran mereka. Mereka naik menuju tingkatan tertinggi dengan kesyukuran mereka. Lalu mereka menuju syurga yang penuh dengan kenikmatan dengan ditemani kesabaran dan kesyukuran yang ada pada diri mereka. Demikianlah anugerah Allah yang diberikan kepada siapa sahaja hamba-Nya yang bersabar seperti mana yang dikehendaki-Nya. Sungguh Allah (swt) adalah Dzat pemilik anugerah yang besar. Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinaan (ra), beliau mengatakan;

 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ‏ “‏عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله له خير، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن ‏:‏ إن أصابته سراء شكر فكان خيراً له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيراً له‏”‏

“Rasulullah (saw) pernah bersabda, “Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman, semua urusannya adalah baik. Tidaklah hal itu didapatkan kecuali pada diri seorang Mukmin. Apabila dia tertimpa kesenangan maka dia bersyukur. Maka itu baik baginya. Dan apabila dia tertimpa kesulitan maka dia pun bersabar. Maka itu pun baik baginya” [HR Muslim].

Dan Firman Allah (swt);

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (22) جَنّٰتُ عَدْنٍ يَّدْخُلُوْنَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ اٰبَاۤىِٕهِمْ وَاَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيّٰتِهِمْ وَالْمَلٰۤىِٕكَةُ يَدْخُلُوْنَ عَلَيْهِمْ مِّنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلٰمٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ(24)

“Dan orang-orang yang sabar karena mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik), (iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): “Sejahtera ke atas kamu dengan kesabaranmu”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” [Ar-Ra’d (13): 22-24].

Wallahu a’lam bi as-sawab.

Al-Faqiir, Abu Khaled El Fateh