Indonesia-Malaysia Perlukan Khilafah Bukannya Kerjasama Ekonomi
JAKARTA 17 Ogos – Kerjasama ekonomi kawasan perbatasan perairan adalah perlu bagi membolehkan nelayan Malaysia dan Indonesia menangkap ikan di kedua-dua kawasan tanpa masalah di masa hadapan, kata Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Fadel Muhammad. Katanya, langkah itu dapat menyelesaikan masalah-masalah pencerobohan perairan yang dilaporkan sering dilakukan oleh nelayan. “Seperti arahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, kalau boleh ada kerjasama ekonomi sehingga pada masa yang tertentu kalau dia ingin memancing di daerah kita, kita kerjasama dengan mereka, demikian juga nelayan kita. “Kerjasama ekonomi inilah yang saya kira perlu kita buat sekarang dan akan datang,” katanya ketika diwawancara stesen TV swasta TV-One bagi mengulas pembebasan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia di Johor Baharu hari ini. – Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 17/08/10
Idea Karut! Indonesia-Malaysia Perlukan Khilafah Bukannya Kerjasama Ekonomi
Betapa rendah dan jauhnya pemikiran umat Islam hari ini dari fikrah Islam yang sebenarnya. Dahulu Rasulullah SAW telah mencontohkan kepada umatnya bahawa negara Islam itu hanyalah satu dan bukannya lebih daripada 50 buah negeri sepertimana yang kita dapat saksikan hari ini, dan di dalam negara itu telah terhimpun warganegara Daulah Islam dari pelbagai bangsa, warna kulit, wilayah geografi dan seumpamanya hatta orang kafir zimmi pun turut menjadi warganegara di dalam Daulah Islam. Kesemuanya itu telah disatukan oleh Rasulullah SAW dengan kesatuan aqidah dan sistem yang diterapkan oleh negara. Natijahnya Islam dan umat Islam di saat itu menjadi “superpower” yang senantiasa dihormati oleh kuasa-kuasa besar lain seperti Rom dan Parsi. Namun dengan makar dan rencana jahat yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam tanpa rasa lelah dan jemu, mereka akhirnya berjaya memecah-belahkan negeri umat Islam menjadi negara ashobiyyah yang kecil dan lemah sepertimana yang kita lihat hari ini. Akibat dari ini pelbagai masalah telah berlaku, antaranya ketegangan dan konflik yang berlaku antara Malaysia dan Indonesia mengenai isu sempadan perairan antara kedua-dua negara tersebut. Bukankah dengan wujudnya isu di atas telah membuktikan kepada kita bahawa fahaman ashobiyyah yang dipegang oleh kedua-dua negara ini merupakan suatu yang amat menijikkan? Kalau dahulu golongan jahiliyyah Aus dan Khazraj sebelum kedatangan Islam boleh bergaduh disebabkan seekor unta selama bertahun-tahun lamanya, kini umat Islam nampaknya telah mengikuti jejak langkah golongan tersebut. Dek kerana isu sempadan perairan kita boleh saling cabar mencabar dan saling bermusuhan. Apa yang malangnya lagi ialah kedua-dua pihak cuba mencari penyelesaian terhadap konflik itu mengikut acuan sekular Kapitalisme.
Wahai umat Islam! Ketahuilah selagi wujud sempadan ashobiyyah antara negeri-negeri umat Islam sepertimana hari ini maka selama itulah konflik ini akan terus muncul dan pasti akan terus muncul. Hanya dengan mendirikan Khilafah sahajalah persoalan sempadan ini akan dapat diselesaikan dengan tuntas. Pastinya, apabila Khilafah berdiri kelak, ia akan menyatukan seluruh dunia umat Islam yang terpecah-belah di saat ini di bawah payung kekuasaannya. Sempadan-sempadan negara bangsa ashobiyyah yang ada pada hari ini akan pasti digantikan dengan negara besar Khilafah yang disatukan atas dasar aqidah Islam.
Wahai umat Islam! Renungilah firman Allah SWT: “ dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”. [TMQ Ali- ‘Imraan (3) : 103].