Inilah Dunia Kapitalisme! Hanya Melahirkan Muslim Ramadhan
Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti berkata, program itu adalah antara sebahagian daripada aktiviti kerohanian Bakti untuk ahli-ahlinya sempena bulan Ramadan.
“Ia bukan sekadar aktiviti kerohanian semata-mata tetapi ia juga mampu mengukuhkan hubungan antara ahli Bakti serta jemputan yang hadir,” katanya. Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Majlis yang berlangsung kira-kira tiga jam itu disertai kira-kira 300 jemputan terdiri daripada ahli Bakti, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pada majlis sama, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyampaikan 500 kotak kuih tart nanas kepada Bakti untuk disumbangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Sumbangan disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar kepada Rosmah sambil disaksikan Pengerusi LPNM, Datuk Hasni Mohamad.
Sumber : Berita Harian, 01/09/09
Inilah Dunia Kapitalisme. Hanya Melahirkan Muslim Ramadhan
Kedatangan Ramadhan seperti biasa akan melahirkan dua golongan, pertama, apa yang kita katakan sebagai “Muslim Ramadhan”. Bagi golongan kedua pula, insyaAllah akan terbentuk golongan yang bertakwa kepada Allah SWT dengan makna yang sebenar- benarnya. Nampaknya Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) tidak mahu ketinggalkan dalam meraih kebaikan – kebaikan yang dibentangkan disepanjang bulan Ramadhan ini. Ini dapat dilihat dengan penganjuran majlis solat sunat tasbih dan hajat yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Satria Putrajaya semalam.
Apa yang ingin kita ingatkan kepada golongan di atas ialah, janganlah kita hanya berlumba-lumba melaksanakan amalan-amalan sunat sehingga gemparnya tersebar di seluruh negara dengan laporan akhbar arus perdana namun kita lupa dan melupakan, perkara-perkara yang wajib dilaksanakan. Menutup aurat sebagai contoh. Bukankah ia merupakan satu kewajiban ke atas kita? Janganlahlah kita membeza-bezakan antara satu perintah Allah SWT dengan yang lain. Amat malang bagi umat Islam yang hanya berlumba-lumba melakukan perkara-perkara sunat tetapi dalam masa yang sama begitu mudah meninggalkan perkara-perkara yang menjadi kewajiban keatas mereka. Keadaan yang sebegini sebenarnya menunjukkan kepada kita betapa jauh dan berkaratnya pemikiran umat Islam. Apa yang boleh kita lakukan saat ini ialah untuk terus melakukan muhasabah dan dakwah kepada golongan-golongan ini agar mereka mengubah kehidupan mereka secara keseluruhan dan menjadikan diri mereka muslim yang sejati.
Wahai ahli-ahli Bakti! Wahai seluruh umat Islam! Apa yang dituntut oleh Islam ialah agar setiap individu dari umatnya menjadi muslim yang sejati bukan hanya sekadar muslim di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan hanyalah 1 bulan dari jumlah keseluruhan bulan dalam setahun. Bagaimana dengan 11 bulan yang lain? Firman Allah SWT:
“Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin”. [Al-Hijr (15) : 99].
Kita dituntut untuk tunduk dan patut kepada perintah dan larangan Allah SWT setiap saat sehinggalah kita bertemu denganNya. Ya, bulan Ramadhan adalah bulan barakah di mana Allah menawarkan pahala yang berlipat kali ganda. Namun ini bukan bererti hanya itulah bulan untuk kita mentaati Allah SWT!