Islamofobia akan berterusan selagi perisai umat Islam tidak kembali

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pembunuhan sekeluarga Muslim di Ontario, Kanada yang telah dilanggar oleh seorang pemandu remaja. Menurut polis, kejadian tersebut adalah sengaja dilakukan kerana mangsa adalah Muslim.

Jika sebelum ini kita selalu ditayangkan perhimpunan anti-Islam atau perbuatan membakar al-Quran secara terbuka, namun kali ini ia telah melibatkan pembunuhan yang disengajakan. Lebih dukacita ia dilakukan oleh seorang remaja yang berusia 20 tahun. Jika di usia seumpama itu sudah menunjukkan kebencian yang mendalam terhadap Muslim atau agama Islam sehingga sanggup melakukan pembunuhan tidak berperikemanusiaan seperti itu, bayangkan bagaimanakah dia dan generasi muda lainnya dibentuk di negara kafir itu?

Pembunuhan ini adalah bukti bahawa Barat yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan keamanan dunia, ternyata apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Islamofobia seperti ini pastinya tidak terhasil dengan sendirinya, melainkan ia dihidupkan dan sentiasa dibakar agar sentiasa panas dalam kehidupan mereka. Akhirnya memunculkan kebencian yang membuak-buak yang tidak dapat ditahan sehingga sanggup melakukan pembunuhan.

Bagi Barat, tidak ada hak asasi manusia apabila melibatkan Muslim dan Islam. Kaum Muslimin di sana sentiasa hidup dalam keadaan terancam, kegelisahan dan berhati-hati disebabkan berkembangnya Islamofobia yang ternyata tidak ditangani, malah dibiarkan sahaja oleh pemerintah Barat.

Kebencian terhadap umat Islam dan agama Islam atau Islamofobia di Barat sudah menjadi suatu yang normal. Mereka tidak akan berhenti sehinggalah kaum Muslimin mengikut cara hidup mereka yang rosak lagi merosakkan, atau sehingga kita masuk ke dalam agama mereka jika boleh. Mereka tidak lagi menyembunyikannya di dalam hati-hati mereka. Benarlah firman Allah (swt):

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti milah mereka” [Al-Baqarah (2): 120].

Apa yang berlaku di Kanada itu jelas merupakan sebuah pembunuhan yang disengaja, hanya semata-mata kerana agama. Kes pembunuhan seumpama ini di Barat bukanlah kali yang pertama, dan bukan juga kali yang kedua. Berdasarkan hukum Islam, si pembunuh wajib diqisas (bunuh balas) kecuali dimaafkan oleh keluarga mangsa. Pemimpin umat Islam tidak seharusnya berdiam diri dan menganggap isu tersebut sebagai kes jenayah yang berlaku di luar negara.

Di zaman Khilafah Abasiyyah, seorang Muslimah telah diperlecehkan maruahnya oleh orang Rom di Kota Amuriah, lalu dia menjerit memanggil Mu’tasim untuk menyelamatkanny. Jeritan itu akhirnya sampai ke telinga sang Khalifah, yang terus mengerahkan ribuan bala tentera untuk mengajar kebiadaban kaum kuffar. Akhirnya pasukan Rom berjaya dikalahkan dan Kota Amuriah jatuh ke tangan Khilafah. Begitulah keimanan dan kesungguhan seorang pemimpin Islam dalam membela maruah umat Islam, walau hanya seorang Muslimah. Benarlah sabda Rasulullah (saw):

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu laksana perisai, orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR al-Bukhari, Muslim, Ahmad & Abu Daud].

Lenyapnya Khilafah pada tahun 1924 sekali gus telah melenyapkan perisai ini sehingga menyebabkan orang-orang kafir berani melakukan apa sahaja sewenang-wenangnya ke atas umat Islam. Para pemimpin yang ada sekarang semuanya merupakan pengkhianat umat, yang tidak melakukan apa-apa walaupun pembunuhan ke atas umat Islam terjadi di hadapan mata mereka. Islamofobia nampaknya akan berterusan sehinggalah kekuasaan (Khilafah) kembali semula ke atas umat ini. Semoga dengan tegaknya Khilafah sedikit masa lagi, darah dan nyawa umat Islam akan terbela, dan orang-orang kafir akan dikalahkan Insya Allah.

Wallahu a’lam

Affan