Isu arak di Selangor selesai: Anwar

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu penjualan arak di Selangor sudah selesai kerana Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan anggota jawatakuasa DAP pusat, Ronnie Liu bersetuju mematuhi arahan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR).
 
 
Sambil mendakwa isu berkenaan diperbesarkan oleh media, Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, isu berkenaan boleh ditangani dengan baik dan tidak berlaku sebarang perselisihan faham.

“Masalah yang digembar-gemburkan oleh media mengenai isu arak di Selangor ini telah selesai dengan baik. Pendirian kita tetap sama, iaitu tidak menggalakan percambahan penjualan arak kepada orang Islam tetapi penjualan arak kepada orang bukan Islam kekal seperti sekarang. Tidak ada masalah berbangkit.   “Pada saya, isu arak ini sengaja dibangkitkan bagi menyorok isu mengenai PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang) dan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat di Tropicana Golf and Resort di sini hari ini.    Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang ketika mengulas perkara itu mendakwa, isu arak adalah isu lama dan diwarisi daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Pun begitu, kita dapat selesaikan dengan baik, tanpa menyentuh antara satu sama lain di mana Islam dapat dilaksanakan dan orang bukan Islam dijamin haknya. Yang penting kita (Pakatan Rakyat) bersatu walaupun kita berbeza pendapat dan ideologi. Apa guna kita bersama kalau tidak bersatu,” katanya.   Pada 7 Ogos lalu, kerajaan Selangor memutuskan bahawa penjualan minuman keras di negeri itu berpandukan kepada kesedaran penjual sendiri terhadap permintaan pembeli daripada kalangan orang Islam dan remaja.

Sebelum itu, wujud desakan daripada Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor supaya kerajaan negeri mengkaji balik portfolio Liu dalam barisan exco negeri itu.

Hasan yang turut hadir pada mesyuarat itu ketika ditanya mengenai hasratnya untuk meletak jawatan exco kerajaan negeri, berkata beliau akur dengan keputusan yang diputuskan Menteri Besar Selangor.

“Tiada apa lagi yang perlu dibangkitkan. Kita setuju dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim),” katanya.   Beliau kini senada dengan Liu, akur dengan keputusan pucuk pimpinan pakatan itu.

Ditanya sama ada keputusan berdamai itu dibuat bagi kepentingan politik Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 25 Ogos ini, beliau bagaimanapun menafikannya.

Kepada satu soalan, Liu yang ditanya sama ada permohonan maaf antara kedua-duanya telah dibuat, bagaimanapun enggan menjawab dan hanya bersalaman dengan Hasan.   Mesyuarat pakatan pembangkang itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – Bernama

Sumber : Berita Harian [Mutakhir]: 13/08/09

Nampaknya Islam Terus Dipinggirkan

Bagaimana Anwar boleh mengatakan isu arak sudah selesai? Kilang arak masih berdiri kukuh di negeri Selangor yang dikuasai oleh PR, mewarisi kemaksiatan yang ditinggalkan oleh pemerintah sekular BN dahulu. Ya, mungkin ia telah ‘selesai’ dari kacamata sekular-kapitalis melalui solusi jalan tengahnya. Namun begitu, apakah penyelesaian ini yang dituntut oleh Islam? Benar, Islam tidak memaksa mereka (kafir zimmi) untuk meninggalkan minuman keras namun hukum-hakam Islam berhubungan dengan minuman keras (syirbul khamr) akan tetap diterapkan ke atas mereka. Antara dalilnya, para shahabat ra ketika menaklukkan wilayah Yemen, mereka membiarkan orang-orang Kristian di wilayah itu minum minuman keras dan para sahabat tidak memaksa mereka untuk meninggalkan minuman keras. Namun, kebenaran meminum arak itu bukan bererti Islam membenarkan segala aktiviti yang berkaitan dengan arak, contohnya aktiviti pengilangan dan penjualan arak secara terbuka seperti mana yang kita saksikan hari ini.

Malahan yang menyedihkan, PR di Selangor tetap membiarkan kilang arak terus beroperasi dengan amannya. Nampaknya PAS sebagai sebuah parti Islam yang membentuk kerja sama dengan parti sekular PKR dan parti kufur DAP terpaksa berkompromi dengan penyelesaian sekular yang diambil. Isu arak ini adalah isu umat Islam. Ianya bukanlah isu mana-mana parti politik. Justeru itu sebagai muslim kita wajib menghapuskan kemaksiatan ini kerana inilah yang dituntut oleh Islam. Apabila Islam diterjemahkan secara syumul dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun Negara, sudah pasti isu arak ini akan selesai dari A hinggalah Z. Telah terbukti UMNO gagal untuk menghapuskan kemaksiatan arak ini malahan merekalah yang melahirkan dan meluluskan kilang-kilang arak yang ada di Malaysia saat ini. Maka apakah PR yang diketuai oleh seorang muslim dan salah satu parti yang ada di dalamnya juga adalah parti Islam, akan turut mengikuti jejak-jejak kemaksiatan yang telah dilakukan oleh UMNO?