Jangan perlekeh perjuangan UMNO: Dr M

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan pihak tertentu yang memperlekehkan perjuangan UMNO dan orang Melayu dalam usaha mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, berdasarkan kesedaran dan kepercayaan orang Melayu, UMNO telah ditubuhkan untuk menentang penjajahan British.

“Sebelum Parti Komunis Malaya (PKM) sudah ada Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bergerak sebelum Perang Dunia II. Mereka tidak mendapat sokongan penuh kerana mereka cenderung ke kiri.


“Begitu juga Parti Kebangsaan Melayu, Angkatan Belia Insaf dan Putera adalah di antara pertubuhan yang meneruskan perjuangan KMM tetapi mereka juga tidak mendapat sokongan daripada majoriti orang Melayu kerana disyaki dipengaruhi oleh komunis,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kononnya orang yang pertama memperjuangkan kemerdekaan ialah Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya dalam blognya.

Dr Mahathir berkata, orang Melayu sebenarnya tidak percaya pemberontakan bersenjata akan berkesan kerana sekiranya menang sekali pun negara sudah rosak teruk kerana peperangan.


“Pendekatan orang Melayu dan UMNO mengambil kira kemampuan mereka, mungkin perjuangan UMNO tidak gah seperti perjuangan kemerdekaan bersenjata di negara-negara lain, tetapi kemerdekaan yang dicapai oleh UMNO lebih bermakna kerana Malaysia dapat menegak pendirian sendiri dan mengecam kuasa besar di dunia apabila mereka membuat kesalahan,” katanya.


Menurutnya, UMNO sebenarnya sebuah parti yang memperjuangkan kemerdekaan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


“Chin Peng berjuang untuk mendirikan pemerintahan diktator komunis dan bukan membawa kemerdekaan tetapi mengganti penjajahan British.


“Komunis pimpinan Chin Peng terdiri daripada kaum Cina dan Melayu, yang akan ada dalam pemerintahan komunis ini hanyalah hiasan, seperti juga kita lihat keadaan di Singapura sekarang,” katanya.


Beliau berkata, jika ini berlaku tidak mustahil bangsa dan bahasa Melayu lambat laun akan terhapus.

 

Sumber : Sinar Harian: 06/06/09

 

Kenapa UMNO Boleh Diperlekehkan?

 

Setelah pernah dipecat dari UMNO, keluar dari UMNO dan kemudian masuk kembali ke dalam UMNO nampaknya Mahathir terus menunjukkan kesetiaannya kepada parti yang telah banyak menguntungkan dan berjasa kepada dirinya dan juga kepada kroni-kroninya. Beliau dengan bangganya membidas golongan yang memperlekehkan  perjuangan UMNO sedangkan semasa beliau berada di luar UMNO samada sedar ataupun tidak beliau sendiri turut memperlekehkan parti UMNO. Tetapi kini, nampaknya beliau seolah-olah cuba untuk menebus dosa-dosa silamnya kepada UMNO dengan menyatakan  bahawa pendekatan yang dilakukan oleh UMNO adalah yang paling baik  di dalam  mewujudkan mengekalkan kemerdekaan. Ini ada kebenarannya kerana beliau hanya membandingkan perjuangan yang dilakukan oleh UMNO dengan Komunis dan KMM ataupun yang seangkatan dengannya. Malangnya Mahathir tidak membandingkannya dengan Islam. Inilah suatu kesalahan yang paling mendasar dan ianya berpunca daripada pemikiran sekular Mahathir yang masih terus kekal dalam dirinya sejak dari dulu, kini dan mungkin selamanya. Namun, suatu perkara yang perlu dilihat di sini ialah walaupun UMNO berjaya mendapatkan kemerdekaan dari British dengan jalan “aman” dan berjaya mengeluarkan pegawai-pegawai British dari Malaysia, malangnya sistem yang dibawa oleh British sampai kehari ini terus dikekalkan dan dipertahankan. Apakah ini yang dibanggakan oleh Mahathir dan sekutu-sekutunya? Hakikatnya inilah yang telah dilakukan oleh para pemimpin negara sejak dari Perdana Menteri pertama sehinggalah kepada Perdana Menteri yang keeanam hari ini.  Ini sebenarnya adalah suatu bentuk penyimpangan dari Islam. Sekiranya Mahathir tidak ingin melihat UMNO diperlekehkan sedemikian rupa maka sudah sampai masanya UMNO yang mendakwa perjuangannya selari dengan Islam membuang perjuangan ashobiyyah yang dibawanya selama ini dan merangkul Islam. JIka UMNO masih terus sombong dengan perjuangan sekular ashobiyyahnya maka bukan hanya manusia yang ada pada hari ini sahaja yang akan merperlekehkannya tetapi lebih malang lagi apabila Allah SWT dan RasulNya turut merperlekehkan mereka sehingga ke hari kiamat. Apakah mereka masih belum sedar?