Jawapan Islam Untuk Tarif Dan Perdagangan Antarabangsa

Pada 2 April 2025, Donald Trump telah membuat dunia kecoh dengan pengumuman tarif baru yang dikenakannya ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia. Trump menggelarkan hari tersebut sebagai the Liberation Day (Hari Pembebasan) dan menyifatkannya sebagai hari yang bersejarah untuk Amerika.

Umum mengetahui bahawa sasaran utama Presiden Amerika itu ialah China sehingga terjadinya perang tarif antara kedua-dua kuasa besar tersebut sebagaimana yang kita telah saksikan. Manakala antara negara Asis yang lain yang turut terkena tarif baru Trump ialah Malaysia (24%), Vietnam (46%), Indonesia (32%), dan Thailand (36%). Sebagai sebuah negara yang kecil dan lemah, Malaysia tentunya bakal terjejas dengan kenaikan tarif tersebut sehingga Malaysia terpaksa menghantar wakil ke Amerika bagi melakukan rundingan berkenaan kenaikan tersebut.

Pengenaan tarif atau cukai import oleh mana-mana negara dalam hubungan perdagangan antarabangsa sebenarnya merupakan suatu yang lumrah, dan ia telah berlaku sejak sekian lama. Namun, di era moden ini tatkala ekonomi dunia dikuasai oleh kuasa besar, dengan banyak negara bergantung kepada barangan daripada kuasa besar tersebut, maka kenaikan tarif yang dikenakannya sudah pasti akan menjejaskan negara-negara yang lemah.

Walaupun banyak langkah boleh diambil oleh negara-negara yang terjejas dalam menghadapi kenaikan tarif ini berdasarkan ilmu ekonomi yang ada pada masing-masing, namun sebagai Muslim, kita seharusnya bertanya apakah jawapan Islam terhadap isu ini?

Perdagangan Antarabangsa Menurut Islam

Perdagangan antarabangsa bermaksud muamalat yang berlaku antara dua negara iaitu Negara Islam dan negara kufur. Tidak wujud istilah perdagangan antarabangsa sekiranya ia dilakukan sesama negara kaum Muslimin, kerana negara kaum Muslimin merupakan negara yang sama/satu, yang tidak ada batas sempadan atau keperluan untuk izin masuk (pasport/visa) antara satu sama lain.

Selain muamalat yang dilakukan antara negara dengan negara (kerajaan dengan kerajaan), perdagangan antarabangsa juga berlaku dalam konteks individu apabila individu/syarikat daripada Negara Islam bermuamalat dengan individu/syarikat daripada negara kufur.

Jika muamalat dalam negara sesama warganegara lebih mudah dilakukan kerana masing-masing hanya perlu mematuhi hukum syarak dan tidak perlu ada campur tangan daripada negara, tetapi muamalat antarabangsa agak kompleks kerana negara mesti campur tangan sesuai dengan kehendak syarak. Perlu ada pengaturan atau polisi daripada negara terhadap komoditi yang boleh dibawa masuk-keluar oleh pedagang, dan juga penetapan status orang-orang kafir yang berurusan di sempadan iaitu sama ada mereka termasuk kafir Mu’ahid atau kafir Harbi.

Berbeza dengan Kapitalisme, Islam menetapkan hukum perdagangan antarabangsa berdasarkan status para pedagangnya, bukan berdasarkan jenis komoditinya. Ini kerana hukum komoditi akan mengikut hukum pemilik komoditi (pedagang) tersebut. Dalam konteks ini, para pedagang yang keluar-masuk wilayah Negara Islam terdiri daripada tiga kelompok dan Islam memperlakukan mereka seperti berikut:

  • Pedagang Muslim: Pedagang Muslim tidak boleh dikenakan apa-apa tarif atau cukai. Ini kerana cukai merupakan sebuah keharaman yang sangat jelas berdasarkan hadis. Berdasarkan Ijma’ as-Sahabat, juga sanat jelas bahawa cukai tidak pernah dipungut oleh para pedagang Muslim mahu pun Kafir Dzimmi.

Daripada ad-Darimy, Ahmad dan Abu Ubaidah, daripada Uqbah Bin Amir, bahawa beliau mendengar Rasulullah (saw) bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ

“Tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai”

Abu Muhammad mengatakan: “Yang dimaksud adalah usyaar.” Usyaar atau Aasyir adalah orang yang memungut 1/10 daripada nilai komoditi yang dibawa dari luar negeri.

Daripada Muslim Bin Musbih: Bahawa dia bertanya kepada Ibnu Umar:

“Apakah engkau pernah mengetahui bahawa Umar pernah mengambil usyur dari kaum Muslimin?” Ibnu Umar menjawab: “Tidak, aku tidak pernah mengetahuinya.”

Dari Ibrahim bin Muhajir, ia berkata:

“Aku mendengarkan Ziyad bin Hudair berkata: ‘Akulah orang yang pertama kali memungut usyur dalam Islam.’ Lalu aku (Ibrahim bin Mujir) bertanya: “Siapakah yang kalian kenakan usyur tersebut?’ Dia (Ziyad bin Hudair) menjawab: ‘Kami tidak pernah mengenakan usyur atas seorang Muslim dan Mu’ahid. Kami biasanya mengenakan usyur tersebut atas orang Nasrani Bani Tughlab.’”

Daripada Abdurrahman bin Ma’qal, ia berkata:

“Aku bertanya kepada Ziyad bin Hudair: ‘Siapa yang engkau kenakan usyur?’ Dia (Ziyad) menjawab: ‘Aku tidak pernah mengenakan usyur atas seorang Muslim dan Mu’ahid. ‘Aku bertanya lagi: ‘Lalu siapa yang engkau kenakan usyur?’ Dia (Ziyad) menjawab: ‘Pedagang-pedagang musuh, sebagaimana mereka kenakan usyur ke atas kita apabila kita membawa masuk (barang) kepada mereka.’”

Dari Ya’qub bin Abdurrahman al-Qariyyi dari bapanya, ia berkata:

“Hilangkan dari manusia beban fidyah, hilangkan dari manusia beban hidangan dan hilangkan dari manusia beban cukai, kerana ia bukan sahaja cukai tetapi merupakan bukhsi (pengurangan) sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah,

وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

“Dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan” [Hud (11): 85].

  • Pedagang kafir Mu’ahid: Tarif dipungut berdasarkan naskah perjanjian antara Negara Islam (Khilafah) dengan negara Mu’ahid tersebut (negara kufur yang memiliki perjanjian dengan Khilafah). Jika dalam naskah perjanjian tidak mengenakan apa-apa tarif, maka tidak ada tarif yang akan dikenakan. Jika naskah perjanjian menyatakan pengenaan tarif sebanyak 10%, maka tarif sebanyak 10% akan dikenakan dalam perdagangan di antara kedua-dua negara, dan begitulah seterusnya
  • Pedagang kafir Harbi: Tarif dipungut daripada mereka mengikut kadar yang mereka kenakan kepada pedagang kita apabila memasuki negara mereka. Dari Abi Mujliz Lahiq Bin Humaid, ia menyatakan:

 

“Mereka (Sahabat) bertanya kepada Umar: ‘Bagaimana kita harus memungut (tarif) daripada warga negara kufur, apabila mereka memasuki (wilayah) kita?’ Umar bertanya kembali: ‘Bagaimanakah mereka memungut (tarif) dari kalian, apabila kalian memasuki wilayah mereka?’ Mereka (Sahabat) menjawab: ‘Sebanyak 1/10.’ Umar berkata: ‘Begitu jugalah kalian ambil dari mereka (yakni 1/10).”

Hadis ini diketengahkan oleh Ibnu Qudamah di dalam kitab al-Mughni.

Dari Ziyad Bin Hudair, ia berkata:

“Kami tidak pernah memungut (tarif)  1/10 dari seorang Muslim dan Mu’ahid.” Mereka bertanya: “Lalu dari siapakah kalian memungut (tarif) 1/10 tersebut?” Dia (Ziyad) menjawab: “Para pedagang warga negara kufur, sebagaimana mereka memungut 1/10 (tarif) daripada kami, apabila kami mendatangi (masuk ke wilayah) mereka.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ubaid dalam kitab al-Amwal.

Umar telah melakukan tindakan tersebut dalam keadaan didengar dan dilihat oleh para Sahabat, dan ternyata tak seorang pun yang mengingkarinya dan hanya mendiamkannya, sehingga hal ini menjadi Ijma’ Sahabat (Ijma’ Sukuti).

Cumanya perlu difahami bahawa ‘tarif sepadan’ (kadar yang sama) yang dikenakan ke atas pedagang kafir harbi tersebut, hukumnya mubah (harus) sahaja untuk dikenakan oleh Khilafah, bukannya wajib. Ertinya Khilafah boleh sahaja memungut kadar yang sama, dan boleh sahaja membebaskan komoditi orang kafir harbi tersebut daripada sebarang tarif, dan boleh juga untuk Khilafah memungut tarif yang lebih rendah daripada tarif yang mereka kenakan terhadap kita. Namun, tidak diperbolehkan untuk mengenakan tarif yang lebih tinggi.

Ini kerana, pungutan tarif oleh Khilafah bukanlah bertujuan untuk mengumpulkan kekayaan, melainkan sekadar politik dalam muamalah dengan membalas perlakuan yang sama ke atas kafir harbi.

Muamalah Dengan Darul Kufur Muharibah Hukman

Selain hukum ‘tarif sepadan’ ke atas pedagang kafir harbi sebagaimana disebut di atas, terdapat beberapa hukum lain apabila kita bermuamalah dengan negara/pedagang kafir harbi. Antaranya ialah warganegara Khilafah tidak dibenarkan membawa keluar (eksport) komoditi persenjataan dan apa sahaja yang terkait dengan peralatan ketenteraan, ke Darul Kufur.

Pedagang warganegara Khilafah juga diharamkan untuk membawa keluar (eksport) apa sahaja barang yang bersifat strategik ke negara kafir harbi. Ini kerana, tindakan seumpama ini boleh memperkuatkan musuh, serta membantu mereka untuk memerangi umat Islam. Tindakan seperti ini termasuk dalam tolong-menolong dalam perkara dosa, yang diharamkan oleh Allah (swt). Firman-Nya:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya” [Al-Ma’idah (5): 2]

Untuk komoditi selain barang-barang strategik seperti pakaian, perabot, perkakas kegunaan harian dan sebagainya, maka komoditi ini hukumnya mubah sahaja untuk dieksport. Ini kerana, Rasulullah (saw) pernah memerintahkan Tsumamah untuk mengeksport bahan makanan kepada penduduk Makkah, padahal penduduk Mekah (kafir Quraisy) pada ketika itu adalah musuh Islam.

Berdasarkan Ijma’ Sahabat juga, komoditi-komoditi yang non-strategik tersebut dibenarkan untuk dieksport, kerana para Sahabat sudah terbiasa berdagang dengan negara kufur dengan komoditi-komoditi seperti itu, dan tidak ada dalam kalangan mereka yang menghalang masing-masing daripada berbuat demikian (Ijma’ Sukuti).

Cumanya, perlu diperhatikan dalam keadaan di mana jumlah barang-barang yang diperlukan oleh rakyat dalam negara adalah terbatas, atau mengalami kekurangan, maka barang-barang tersebut tidak diperbolehkan untuk dieksport, kerana ia akan menimbulkan kemudaratan dalam negara.

Muamalah Dengan Darul Kufur Muharibah Fi’lan

Adapun untuk negara yang secara de facto sedang berperang dengan umat Islam (Darul Kufur Muharibah Fi’lan) seperti entiti Yahudi saat ini, maka melakukan apa jua perdagangan dengan mereka hukumnya adalah haram, baik memperdagangkan senjata, makanan, pakaian, barang-barang elektronik, perabot atau lain-lainnya. Ini kerana, ia dapat memperkuatkan mereka untuk melakukan perlawanan dengan kaum Muslimin, dan hal ini termasuk dalam tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan sebagaimana ayat yang telah disebutkan di atas.

Dalam konteks ini, Amerika Syarikat adalah termasuk negara kafir harbi yang sedang berperang dengan umat Islam, walau pun ia tidak secara langsung melakukannya, tetapi melalui bantuan ketenteraan secara nyata yang ia berikan kepada entiti Yahudi untuk memerangi umat Islam, menjadikannya sebagai Darul Kufur Muharibah Fi’lan.

Jadi, isu di sini bukan lagi soal mengenakan ‘tarif sepadan’ ke atas Amerika, atau tarif yang lebih rendah atau mengecualikan tarif, kerana itu semua hanya boleh dilakukan ke atas negara kafir harbi muharibah hukman sahaja, sedangkan Amerika adalah negara kafir harbi muharibah fi’lan. Maka, apa yang seharusnya dilakukan oleh Malaysia dan juga keseluruhan negara kaum Muslimin ialah memutuskan segala hubungan dagang dan juga diplomatik dengan Amerika.

Namun demikian, kita semua tahu bahawa tidak akan ada negara kaum Muslimin yang berani melakukannya, kerana realitinya saat ini, kesemua penguasa Muslim bukan sahaja takut dan tunduk kepada Amerika, malah sebahagian besar mereka merupakan ejen Amerika.

Keperluan Mendesak Kepada Khilafah

Segala masalah yang melanda dunia Islam pada hari ini boleh dikembalikan kepada dua hal iaitu penguasa yang buruk dan juga sistem yang buruk. Di samping diperintah oleh penguasa yang menjaga kepentingan Barat, umat Islam dibelenggu oleh sistem sekular yang datangnya dari Barat. Kedua-dua keburukan ini menimpa umat Islam secara serentak sejak jatuhnya Khilafah pada 1924.

Dalam bidang ekonomi, rata-rata negara umat Islam saat ini menerapkan sistem ekonomi kapitalis yang bertentangan dengan Islam, dan ini merupakan penyebab kepada masalah ekonomi yang melanda umat dan negara. Kebanyakan negara kaum Muslimin tidak mempunyai keupayaan untuk mandiri walaupun memiliki sumber alam yang melimpah ruah. Semuanya angkara diperintah oleh penguasa yang khianat dengan sebuah sistem yang bertentangan dengan Islam.

Di sinilah perlunya umat Islam kepada Khilafah, sebagai sebuah negara yang kuat dan mandiri, yang tidak akan terjejas dengan apa-apa tekanan daripada negara lain. Berdasarkan nas dan telah pun terbukti dari segi sejarah, penerapan sistem ekonomi Islam telah menjadikan Khilafah sebagai sebuah negara adi daya yang dilimpahi kesejahteraan, tanpa pernah bergantung kepada negara-negara lain, apatah lagi negara musuh.

Setidaknya ada dua hal yang menjamin kestabilan ekonomi dalam negara Khilafah. Pertama, Sistem mata wang dinar dan dirham yang diguna pakai dalam negara, termasuk dalam perdagangan antarabangsa, menjadikan ekonomi negara stabil, berbanding penggunaan wang kertas fiat pada hari ini, yang tidak pernah stabil dan sangat terdedah kepada banyak risiko termasuk spekulasi dan manipulasi.

Kedua, al-Milkiyyah al-Ammah (kepemilikan umum) yang terdiri daripada minyak, gas asli dan semua barang-barang galian yang ada di perut bumi, yang mana sumber ini melimpah ruah di bumi umat Islam, yang pengelolaannya berada di tangan negara tetapi hasilnya wajib dikembalikan kepada rakyat atau diguna untuk kemaslahatan rakyat. Malangnya pada hari ini, kesemua kekayaan milik rakyat tersebut masuk ke dalam poket para penguasa kapitalis dan kroni-kroni mereka. Kita boleh bayangkan tatkala Khilafah berdiri, sebuah entiti politik yang tidak mempunyai batas sempadan antara negara, dengan sumber alam dari kawasan mana sekali pun merupakan hak rakyat yang akan diagihkan kepada rakyat secara sama rata, sudah pasti ekonominya amat stabil, serta langsung tidak perlu bergantung kepada negara-negara musuh.

Inilah negara Khilafah, yang bukan sahaja dari segi ekonominya amat kukuh, tetapi dari segi ketenteraan, teknologi, pendidikan dan lain-lain, terbukti hebat di sepanjang sejarahnya.

Inilah yang telah berlaku dan inilah yang akan berlaku Insya Allah apabila kita ada Khilafah. Khalifah akan membangun sebuah negara yang mandiri bukan sahaja kerana keperluan praktikal untuk survive, tetapi kerana perintah Allah (swt) yang kita semua tidak boleh bergantung, apatah lagi tunduk, kepada orang-orang kafir dalam apa jua perkara. Firman-Nya:

وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada kaum kafir untuk menguasai kaum Mukmin [An-Nisa’ (4): 141].

Di dalam kenyataannya semasa mengisytiharkan perubahan kadar tarif ke atas beberapa negara, Trump antara lain menyatakan bahawa dia ingin membina Amerika yang tidak bergantung kepada negara luar. Jika Trump baru sedar perkara ini, umat Islam seharusnya lebih awal sedar, kerana sesungguhnya Islam telah lama, iaitu lebih 1400 tahun yang lalu, memberikan jawapan bagaimana sesebuah Negara Islam itu harus berdiri, tanpa bergantung kepada negara-negara luar.

Kesimpulan

Selagi umat Islam tidak memiliki negara Khilafah, maka selagi itulah umat Islam akan terus berada dalam keadaan lemah, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan negara besar seperti Amerika. Persoalan perdagangan antarabangsa mahu pun tarif yang sudah pun terdapat jawapannya dalam Islam, itu pun gagal ditangani oleh penguasa umat Islam pada hari ini kerana keengganan mereka untuk berhukum dengan Islam. Maka, umat Islam sudah tidak ada pilihan lain kecuali berusaha untuk menegakkan Khilafah, sebuah institusi politik yang akan menaungi umat Islam dengan rahmat dan keberkatan daripada Allah (swt):

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ

“Andai sahaja penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi” [Al-A’raf (7): 96].

Wallahu a’lam.