Jemima Khan terima ugutan bunuh

LONDON: Golongan ekstremis Islam didakwa mengeluarkan ancaman maut kepada Jemima Khan kerana menyokong kumpulan pemikir Islam yang mengamalkan toleransi dalam beragama.

Jemima adalah penaung Yayasan Quilliam, yang diwujudkan baru-baru ini oleh dua bekas anggota pertubuhan


ekstrem yang diharamkan, Hizb ut Tahrir.

Kumpulan berkenaan turut menerima ancaman maut menerusi telefon dan e-mel bagi semua yang terbabit dan satu daripadanya merujuk jelas nama Jemima.

Sementara itu, kenyataan dalam sebuah laman web mengutuk keputusan Jemima terbabit dengan kumpulan berkenaan.

Pada perasmian kumpulan pemikir itu kelmarin, Jemima mengaku sejak menerima ancaman maut beliau ‘agak bimbang’ untuk menyuarakan sokongannya kepada yayasan berkenaan.

Ia ditubuhkan oleh Maajid Nawaz, 30, bekas ekstremis yang menghabiskan masa empat tahun sebagai tahanan polis di Mesir.

Ia dinamakan sempena William Quilliam, tokoh abad ke-19 yang memeluk Islam, dan berkata tujuannya adalah untuk mencerminkan pandangan perdana dan sederhana penduduk Islam Britain.

Satu laman web melabelkan Jemima sebagai ‘fujiar’ perkataan bahasa Arab yang bermaksud seseorang yang tidak malu dan secara terbuka melakukan dosa.

Sambil menyiarkan gambar Jemima memakai bikini dan mencium model Kate Moss di sebuah kelab malam, laman web berkenaan menulis: “Ini adalah Jemima sama yang kerap diambil gambar memakai skirt pendek dan baju mendedahkan yang selalu mengunjungi kelab malam – dan dia mahu memberi ceramah kepada kita mengenai Islam yang sebenar?

“Tidak berkahwin, fujiar, suka memakai skirt pendek dan bikini, untuk berceramah kepada kita mengenai Islam, apa hendak jadi dengan dunia ini?”

Laman itu turut mengkritik Nawaz kerana terbabit dalam tindak tanduk ‘tidak Islam’ seperti mengunjungi kelab malam dan masih berhubungan dengan teman wanitanya. – Agensi

Sumber: Berita Harian 24/04/08

Ulasan:

Tiba-tiba sahaja nama Jemima Khan dipopularkan oleh media kerana dia dikatakan menerima ugutan bunuh hasil dari pendiriannya yang menyokong toleransi dalam beragama. Wallahu a’lam kita tidak tahu sama ada berita ini benar atau ia sengaja direka untuk mempopularkan seorang yang bergelar Muslim yang menyokong pemikiran sekular. Terdapat kemungkinan bahawa berita ini tidak benar di mana London sebenarnya cuba menyebarkan propaganda atau cuba ‘mengesahkan’ bahawa umat Islam benar-benar ‘pengganas’. Apa tidaknya, sanggup membunuh sesama Muslim yang hanya berpendapat agama perlu di toleransikan.  

Seperkara lagi yang jelas bohong adalah apabila berita melaporkan bahawa Hizb ut-Tahrir adalah pertubuhan extremis yang diharamkan, walhal Hizb ut Tahrir tidak pernah diharamkan di London, walaupun sebenarnya terdapat banyak percubaan dilakukan oleh kerajaan Britain untuk mengharamkannya. Hizb ut Tahrir juga bukanlah pertubuhan ekstremis sebagaimana didakwa, malahan beberapa orang ahli politik Britain sendiri mengakui akan hakikat ini. (Sila klik di sini untuk mengetahui berita/perkembangan Hizb ut Tahrir Britain)

Inilah sebenarnya kejahatan kuffar ke atas umat Islam. Mereka cuba menyebarkan berita bohong dan cuba mempropagandakan bahawa setiap gerakan Islam adalah ekstrem, kecuali gerakan yang menjilat mereka sahaja yang tidak ekstrem. Allah swt telah lama mengingatkan kita terhadap berita dari orang-orang kafir ini. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” [TQM al-Hujuurat (49):6]

Mafhum muwafaqah dari ayat ini membawa maksud bahawa, jika berita dari orang-orang fasik sahaja kita sudah diminta menyelidiki kebenarannya, apatah lagi berita dari orang-orang kafir, dan apatah lagi di dalam kes ini ia merupakan berita dari negara kafir yang merupakan musuh Allah.