Jenayah Babitkan Para Pelajar Meningkat!
Selain peningkatan dalam kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Musa berkata, sepanjang 2007, 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan, manakala tahun lalu, jumlah kes jenayah meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan. “Ini satu perkembangan yang merisaukan dan perlukan tindakan segera bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara ini. Gejala ini boleh dibendung jika pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas mengenai kesan dan akibatnya jika terjerumus dalam kegiatan jenayah,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-39 Pasukan Kor Kadet Polis di sini, semalam.
Perutusan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat. Musa berkata, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia turut menunjukkan pelajar cenderung untuk terbabit dalam aktiviti kurang sihat seperti mat rempit dan gengsterisme. “Hasil kajian itu menunjukkan 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan. Jadi di sinilah peranan penting boleh dimainkan ahli keluarga dan anggota masyarakat untuk mengelakkan golongan ini tidak terus dibiarkan tanpa diberikan panduan yang betul dalam kehidupan mereka.
“Masalah gengsterisme yang dilaporkan semakin menular ke peringkat sekolah juga tidak boleh dipandang remeh.
“Unsur negatif semakin mudah menyelinap masuk ke sekolah, justeru saya meminta anggota Kor Kadet Polis yang kini sudah mencecah 89,110 ahli ini menjadi mata dan telinga polis,” katanya. Beliau berkata, Kor Kadet Polis yang dilantik perlu menyalurkan maklumat agar tindakan segera boleh diambil.
Sumber : Berita Harian:01/04/09
Apakah analisis yang kita boleh tawarkan berkaitan data stastistik di atas? Jelas sekali statistik peningkatan jenayah di kalangan pelajar sekolah seperti yang tersebut di dalam laporan di atas memberikan gambaran kepada kita bahawa masyarakat, terutamanya generasi muda kini semakin rosak. Bukan hanya golongan individu pelajar sahaja yang rosak bahkan masyarakat dan sistem yang diterapkan oleh pemerintah itu sendiri nampaknya juga rosak dan bermasalah. Di manakah peranan masyarakat dan negara dalam menangani persoalan di atas? Yang jelas, kedua-duanya telah gagal dan terus gagal. Islam telah menjelaskan bahawa ketiga-tiga elemen di dalam masyarakat, iaitu individu, masyarakat dan negara perlu berperanan untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera dan harmoni.
Untuk memperbaiki masyarakat, kita perlu memahami takrif masyarakat itu sendiri. Menurut Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, sekelompok manusia itu dapat dikatakan sebagai sebuah masyarakat apabila ia memiliki pemikiran, perasaan, serta sistem/aturan tertentu. Sebuah masyarakat yang berideologi merupakan masyarakat yang mendasari ketiga-tiga elemen di atas dengan suatu asas yang serupa. Dengan kesamaan ini, manusia kemudian berinteraksi sesama mereka berdasarkan prinsip dan kemaslahatan yang digariskan oleh asas tersebut. Oleh kerana itu bagi mereka yang ingin memperbaiki masyarakat maka mahu tidak mahu mereka perlu memperbetulkan elemen-elemen yang membentuk masyarakat itu sendiri – pemikiran, perasaan dan sistem yang diguna pakai. Persoalannya adalah, apakah ini yang sedang diubah dalam masyarakat hari ini dalam mencapai kemuliaan dan akhlak yang tinggi? Bagi seorang Muslim, hanya Islamlah yang dilihat sebagai satu-satunya penyelesaian yang terbaik untuk manusia. Asas yang menjadi penyokong bagi ketiga-tiga elemen masyarakat tadi haruslah asas yang didasari oleh akidah Islam.
Masyarakat Barat, yang kononnya merupakan masyarakat yang bertamadun dengan segala kehebatan yang diagung-agungkan, telah gagal dan akan terus gagal untuk selama-lamanya dalam membina masyarakat yang mulia dan berakhlak. Apa yang menyedihkan adalah kita sendiri telah mengadopsi asas pemikiran, perasaan dan sistem yang diwarisi oleh Barat ini dan akibatnya, kita juga tersungkur dalam membina masyarakat yang mulia dan berakhlak. Apakah bagi kita saat ini tidak cukup lagi ayat-ayat al-Quran untuk menjadi peringatan kepada kita semua?
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaahaa(20):124]