Jihad: Rakyat Dipantau, Sedangkan Tentera yang Terlatih Hanya Disimpan Untuk Mempertahankan Sempadan Palsu Nasionalisme

Pihak berkuasa Malaysia akan terus memantau sebarang kegiatan jihad yang dilakukan oleh rakyat Malaysia di luar negara bagi membendung kegiatan pelampau daripada menular ke negara ini. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan jihad yang berlangsung di luar negara seperti di Syria merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan pemantauan yang berterusan oleh pihak berkuasa.
“Kalau tidak dipantau, inilah kumpulan-kumpulan yang boleh memberi masalah dan mempunyai hubung kait dengan keganasan dan sebagainya,” kata beliau kepada pemberita di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh pada 27 Jun yang lalu.

Sesungguhnya tindakan sebilangan umat Islam di Malaysia yang menyertai perjuangan menentang penindasan di Syria itu lahir atas dasar keimanan dan juga atas kesedaran ikatan aqidah yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia. Mereka telah bertindak sedemikian sebagai salah satu  usaha untuk menamatkan kezaliman yang berleluasa di bawah rejim Basyar al-Assad.

Pada hakikatnya, tanggungjawab tersebut sebenarnya lebih layak untuk dipikul oleh pasukan tentera kaum Muslimin yang sememangnya dilatih untuk berperang. Tatkala umat Islam di Syria dizalimi oleh rejim Basyar, maka adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam lain khasnya tentera kaum Muslimin untuk bangkit melakukan pembelaan sehinggalah kezaliman tersebut ditamatkan.

Malangnya pada hari ini, seluruh tentera negara-negara kaum Muslimin tidak sedikitpun dikerahkan untuk menghentikan kezaliman tersebut. Sebaliknya, mereka hanya disimpan rapi di berek-berek tentera. Mereka sekadar berperanan untuk mengawal dan mempertahankan sempadan nasionalisme ciptaan penjajah yang memecah-belahkan kesatuan umat Islam disamping sebagai perhiasan perarakan pada hari-hari kebangsaan. Jika adapun sebarang tindakan yang diambil, ia tidak lebih sekadar sebagai ‘pasukan pengaman’ yang berkhidmat di bawah panji kufur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Itupun setelah kemelut berlarutan dan menelan korban yang tinggi.

Di samping itu, tindakan mengaitkan jihad dengan keganasan merupakan natijah daripada persepsi yang cuba memburuk-burukkan kewajipan tersebut. Malah, tidak kurang juga ada pihak yang cuba mengalihkan pengertian jihad yang sebenar menurut istilah syarak (perang) kepada sekadar memahami pengertian dari sudut bahasa semata-mata (yang bererti bersungguh-sungguh). Jihad al-qital (berperang) merupakan salah satu tunjang dalam Islam meskipun di saat ketiadaan Khilafah Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“Jihad terus berlangsung sejak Allah mengutuskan aku sehinggalah umatku yang terakhir memerangi Dajjal. Jihad itu tidak dibatalkan oleh kejahatan orang yang jahat dan keadilan orang yang adil”.[HR al-Baihaqi dalam As-Sunan al-Kubra daripada Anas bin Malik]

Sungguhpun demikian, perlu dijelaskan di sini bahawa jihad bukanlah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menegakkan sebuah negara Islam. Sebaliknya, jihad dan menegakkan negara Islam merupakan dua kewajipan yang berasingan yang diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam dan kedua-dua kewajipan ini perlu dipenuhi dengan jalan yang benar mengikut sunnah Rasulullah.

Justeru, dalam meneladani thariqah dakwah Rasulullah SAW, Hizbut Tahrir selaku sebuah parti politik Islam sentiasa konsisten dalam berjuang secara intelektual tanpa melibatkan sebarang aktiviti fizikal yang bersifat kekerasan atau keganasan untuk mengembalikan semula Khilafah Islamiyah atas manhaj kenabian.

Dengan kembali tertegaknya Khilafah kelak, maka jihad akbar akan dapat dilaksanakan oleh tentera kaum Muslimin secara tersusun bagi membebaskan umat Islam daripada penindasan dan penjajahan serta menghapuskan sebarang bentuk halangan fizikal yang menyekat perkembangan dakwah Islam di seluruh pelusuk dunia.
Wallahua’lam.

Sumber: “Jihad di kalangan rakyat M’sia di luar negara perlu dipantau” – Muhyiddin; Astro Awani; 27 Jun 2014