Jika menang nak buat apa?

Sudah menjadi “kewajipan” dalam mana-mana pilihan raya pun, tempoh berkempen merupakan tempoh bertanam janji, sama ada janji yang datangnya daripada calon itu sendiri atau daripada parti yang mereka wakili.

Walaupun ada parti yang mengatakan bahawa mereka tidak akan menjanjikan bulan dan bintang dalam PRU15 kali ini, namun janji tetap perlu ditabur sebanyak mungkin dalam rangka meraih undi.

Kita telah pun mendengar janji yang sejuta peluang pekerjaan akan disediakan kepada rakyat jika parti-parti tertentu menang. Kita juga mendengar yang setiap guru akan mendapat sebuah komputer riba. Selain itu, ada yang berjanji akan membina jambatan untuk penduduk kampung, janji yang telah lama diucapkan sejak PRU yang lepas lagi, yang tidak pernah dilaksanakan pun semasa berkuasa.

Terdapat juga janji untuk memberikan jawatan Menteri Besar kepada calon itu dan ini, dan yang tidak kurang menariknya walaupun tidaklah penting mana, terdapat janji yang rakyat Malaysia akan diberi cuti dua hari sebaik sahaja parti mereka diisytiharkan menang PRU.

Itu semua belum mengambil kira segala janji yang terdapat dalam manifesto parti masing-masing yang boleh dikatakan sebagai “janji rasmi” daripada setiap parti yang bertanding.

Inilah hidangan tetap kepada rakyat Malaysia setiap kali pilihan raya. Soal berjaya ditunaikan atau tidak, itu soal kedua, kerana yang penting ialah menanam sebanyak mungkin janji dahulu.

Rakyat telah menyaksikan khususnya pada PRU14 bagaimana parti-parti yang menang gagal untuk menunaikan manifesto atau janji mereka. Parti-parti tersebut memberi alasan bahawa semasa menaburkan janji, mereka tidak ada maklumat yang lengkap mengenai kewangan Malaysia. Apabila rakyat menuntut sebahagian besar janji mereka yang gagal dilaksanakan itu, mereka kemudian menyatakan bahawa manifesto bukanlah kitab suci yang mereka perlu penuhi.

Begitulah realiti parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya sistem demokrasi.

Apa pun janji yang mereka taburkan, yang paling malang ialah apabila tidak ada satu parti pun yang berjanji atau memasukkan dalam manifesto mereka bahawa mereka akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya jika mereka menang nanti.

Padahal inilah kewajipan setiap orang apabila berada di tampuk pemerintahan, yakni menerapkan hukum Allah secara kaffah, yang sekali gus bermaksud menggantikan sistem dan undang-undang penjajah yang telah mendominasi kita selama lebih 60 tahun.

Wallahu a’lam.