Kanzul mal haram, harta ghulul wajib dikembalikan – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh sebahagian pemimpin, ahli politik dan penjawat awam perlu dipersoalkan bukan sekadar berdasarkan jumlah harta yang dimiliki, tetapi juga dari mana harta tersebut diperoleh dan bagaimana ia disimpan.
Demikian permulaan persoalan yang dibangkitkan oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam program mingguan Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Kanzul Mal & Harta Ghulul: Dari Mana Datangnya Kekayaan Pemimpin?” pada Jumaat (04/09/2026). Beliau turut menyentuh beberapa kes melibatkan ahli politik dan bekas pemimpin yang didakwa atas kesalahan berkaitan wang seperti rasuah, penyelewengan dan kegagalan mengisytiharkan harta, yang nilainya boleh mencecah puluhan atau ratusan juta ringgit.
Menurut Abdul Hakim, dalam sistem ekonomi kapitalis, individu dibenarkan memiliki sebanyak mungkin harta, manakala mereka yang mempunyai kuasa, modal dan pengaruh berpeluang mengembangkan kekayaan dengan lebih besar. Keadaan ini akhirnya menyumbang kepada jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. Walaupun Islam tidak mengharamkan kekayaan, persoalan bagaimana harta itu diperoleh dan bagaimana ia diuruskan mesti diperhatikan.
Beliau menjelaskan bahawa Islam membezakan antara idkhar (menabung / menyimpan) dengan kanzul mal (menimbun harta). Menyimpan wang untuk tujuan tertentu seperti berkahwin, membeli rumah atau kenderaan, menunaikan haji atau menghadapi kecemasan adalah dibenarkan kerana wang itu memang akan digunakan apabila sampai waktunya. Sebaliknya, kanzul mal merujuk kepada perbuatan menimbun wang, emas atau perak tanpa keperluan untuk menggunakannya. “Menyimpan boleh, kanzul mal haram,” tegasnya.
Selepas menjelaskan nas mengenai keharaman kanzul mal, Abdul Hakim turut menjelaskan pandangan yang kanzul mal asalkan dikeluarkan zakatnya. Menurutnya, zakat dan kanzul mal merupakan dua hukum yang berbeza. Seseorang tetap wajib mengeluarkan zakat apabila memenuhi syarat, namun pembayaran zakat tidak menghalalkan perbuatan menimbun harta..
Jurucakap HTM itu kemudian menyentuh harta ghulul. Jika kanzul mal berkaitan menyimpan harta dengan cara haram, ghulul pula berkaitan memperoleh harta dengan cara haram, ujarnya. Antara contoh yang dibincangkan ialah rasuah, hadiah kepada penjawat awam kerana kedudukannya, harta yang diambil menggunakan kuasa atau pengaruh, serta segala bentuk pengambilan harta secara tidak sah.
Menurut beliau, seseorang penjawat awam yang telah menerima gaji kerana menjalankan tugasnya tidak boleh menerima bayaran lain semata-mata kerana jawatan atau kuasa yang dimilikinya. Hadiah yang diberikan kerana kedudukan tersebut juga termasuk dalam kategori harta ghulul.
Beliau menjelaskan bahawa seseorang boleh melakukan dua kesalahan yang berbeza dalam satu masa. Jika harta diperoleh melalui rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kedudukan, maka masalahnya ialah ghulul. Jika harta tersebut kemudian ditimbun tanpa keperluan untuk digunakan, maka timbul pula persoalan kanzul mal. Justeru, kekayaan pemimpin tidak boleh dinilai hanya berdasarkan berapa banyak yang dimiliki, tetapi mesti dilihat daripada sumber dan cara harta tersebut digunakan atau disimpan, katanya.
Berhubung harta ghulul, Abdul Hakim menjelaskan bahawa harta itu bukan milik sah orang yang mengambilnya. Sekiranya pemilik asal diketahui, ia wajib dikembalikan kepadanya. Jika pemiliknya tidak dapat dikenal pasti, harta tersebut diserahkan kepada Baitulmal, manakala pelaku mesti dikenakan hukuman ta‘zir. Beliau turut menegaskan bahawa Islam bukan sahaja menghukum individu yang bersalah, tetapi mempunyai sistem yang memastikan kekayaan terus beredar dalam masyarakat melalui pengurusan pemilikan umum, zakat, I’tha’ ad-Daulah (pemberian negara) serta pengharaman riba, monopoli dan kanzul mal.
Di akhir kupasan, Jurucakap HTM itu menegaskan bahawa perbahasan kanzul mal dan harta ghulul bukan sekadar perbincangan bersifat teori, tetapi hukum syarak yang mempunyai implikasi halal, haram dan hukuman. Menurut beliau, hukum-hukum ini hanya dapat diterapkan secara menyeluruh apabila Islam diterapkan sebagai sebuah sistem kehidupan dalam sebuah Negara Islam (Khilafah).