Kapitalisme Melahirkan Masyarakat Yang Kosong Daripada Nilai Spiritual.

alt17 main judi sebelah mayat

BUTTERWORTH: Akibat gila judi, sekumpulan 17 kaki judi, termasuk dua wanita sanggup melakukan kegiatan itu di sebelah mayat di Rumah Pangsa Seri Tanjung, Jalan Raja Uda di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, kumpulan terbabit berusia antara 27 hingga 60 tahun bermain judi belangkas di bawah khemah yang menempatkan keranda tanpa menghiraukan tetamu memberi penghormatan kepada si mati.  Meja judi hanya dipisahkan dengan keranda oleh kain tabir.  Tanpa menghiraukan waris si mati, mereka leka berjudi hinggalah sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, menyerbu tempat itu, kata Pegawai Turus D7 IPK Pulau Pinang, Asisten Superintendan Sayuti Harun.

Sumber : Berita Harian: 24/04/11

Rentung bakar rumah sendiri

SITIAWAN: Gara-gara gagal memujuk isterinya memberikan wang RM8,000 untuk berjudi, seorang kaki botol bertindak bodoh membakar rumahnya sebelum dia sendiri mati akibat kebakaran itu. Kejadian berlaku selepas mangsa bertengkar dengan isterinya di rumah mereka di Kampung Baru, Ayer Tawar, dekat sini, kira-kira jam 6.20 petang kelmarin. Pasangan itu dikatakan sudah bertengkar sejak beberapa hari lalu.

Lelaki terbabit yang hanya dikenali sebagai Ah Hock, berusia 50-an, ditemui dalam keadaan hampir 100 peratus badannya terbakar dalam sebuah bilik rumah separuh papan yang musnah dalam kebakaran itu. Seorang waris mangsa enggan dikenali berkata, lelaki itu pernah beberapa kali mengugut untuk membakar rumah pusaka didiaminya bersama isteri jika gagal mendapatkan wang RM8,000 daripada wanita itu yang hanya bekerja sebagai penoreh getah.  “Saya difahamkan, isteri mangsa enggan melayan kerenah suaminya itu dan bertindak melarikan diri ke Kuala Lumpur sejak seminggu lalu. Sejak kejadian itu, mangsa sering menyuarakan hasrat untuk membakar rumahnya kerana marah dengan tindakan isterinya.

“Saya tidak sangka dia benar-benar berbuat demikian. Lebih malang apabila dia sendiri yang mati dalam kebakaran itu,” katanya. Waris itu berkata, dia memang menyedari tabiat buruk mangsa suka berjudi dan kaki botol, tetapi tidak menduga ia akan membawa kepada bencana seburuk itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, ketika kejadian mangsa tinggal bersendirian di rumahnya dan gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.  “Dua rumah itu, termasuk satu rumah mangsa yang terletak bersebelahan hangus dalam kebakaran terbabit. Mangsa dipercayai maut selepas gagal menyelamatkan diri. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sumber : Harian Metro: 24/04/11


Kapitalisme Melahirkan Masyarakat Yang Kosong Daripada Nilai Spiritual.
Inilah hasil dan natijah yang dilahirkan oleh sistem kufur kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular pada hari ini, progresif dalam melahirkan masyarakat yang rosak dan berpenyakit. Masyarakat yang hidup dalam sistem kapitalisme sentiasa menghidap penyakit dalaman yang begitu kronik. Ia adalah sesuatu yang mempunyai fakta dan tidak dapat dinafikan. Kita dapat melihat sendiri bagaimana sudah terbukti bahawa sistem kapitalisme yang ada pada hari ini adalah merupakan sistem yang melahirkan manusia yang mempunyai sifat yang lebih teruk daripada binatang. Masyarakat sudah menjadi tidak waras dan sentiasa menuruti hawa nafsunya. Bagi golongan manusia yang bertingkah laku seperti bintang ini, apa yang penting bagi mereka adalah untuk mencari kenikmatan material yang semaksimun yang mungkin tanpa sebarang pertimbangan halal dan haram. Hawa nafsu masyarakat kapitalisme ini ternyata tidak terkawal. Sehinggakan Allah SWT mengumpamakan mereka ini seperti binatang ternak, bahkan lebih teruk daripada itu. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam itu kebanyakannya terdiri daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”
. [TMQ Al A’raaf (7) : 179].

Secara umumnya, masyarakat kapitalisme beranggapan bahawa kebahagiaan dalam hidup ini hanya dapat dicapai apabila segala bentuk keinginan hawa nafsu buas yang tidak terkendali itu dipenuhi sepenuhnya. Akibatnya, mereka bertindak di luar pertimbangan yang waras sebagai seorang manusia. Adalah sesuatu yang benar bahawa hakikatnya kapitalisme adalah suatu sistem yang kosong daripada aspek spiritual sehinggakan ia hanya mempertimbangkan aspek material semata-mata untuk menentukan kebahagiaan kehidupan seseorang itu. Sedangkan secara faktanya, dengan material yang melimpah ruah belum tentu dan tidak boleh menjamin kebahagiaan seseorang. Kisah kematian anak pengarah perindustrian kereta Opel (Jerman) wajar untuk diperhatikan. Kehidupannya dipenuhi dan diwarnai dengan kesenangan yang bersifat material semata-mata. Si anak itu mendapat limpahan harta yang tidak terbatas. Sarapan paginya di Berlin, makan tengah harinya di Paris dan makan malamnya di London. Menggunakan pakaian dan kereta yang terbaik. Teman wanitanya bersilih ganti. Akan tetapi, dia tetap merasa hampa dan akhirnya dia ditemui mati membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri. Dia sempat menulis surat dengan kata-kata, “Aku menyangka kebahagiaan ada pada perjalanan dan kehidupan berpestaku ke sana ke mari, tetapi aku tidak menemuinya. Aku menyangka kebahagiaan ada pada teman wanita, tetapi aku tidak mendapatkannya. Aku menyangka kebahagiaan ada pada makanan dan minuman, tetapi aku juga tidak merasainya. Mungkin aku dapat menemui kebahagiaan itu di alam lain…”.

Inilah secebis kisah-kisah kehidupan masyarakat kapitalisme yang membarah dan berakar umbi di dunia hari ini, termasuklah di negeri-negeri umat Islam. Kehidupan yang penuh dengan kerosakan, kehampaan dan kekosongan. Ini adalah berbeza sama sekali dengan kehidupan Islam di mana keredhaan Allah SWT itu diletakkan sebagai kayu ukur dan ia merupakan  kebahagiaan hakiki yang diimpikan oleh setiap orang yang beriman kepadaNya. Hanya Islam sahajalah satu-satunya ideologi yang telah memberikan jawapan yang paling benar tentang apakah tujuan dan maksud sebenar kehidupan ini. Firman Allah SWT:

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mengabdikan diri (beribadat) kepadaKu”. [TMQ Adz Dzariyaat (51) :56]. Sudah tiba masanya kehidupan dan sistem buruk kapitalisme itu digantikan dengan syariah dan Khilafah. FirrmanNya: “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al Anbiyaa’ (51) : 107].