Kapitalisme Punca Dunia Semakin Tidak Aman

Berita Harian melaporkan, keamanan di seluruh dunia sejak setahun lalu semakin teruk disebabkan konflik global yang gagal diselesaikan manakala kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat menghadapi ketidakstabilan politik, menurut kajian ‘Indeks Keamanan Global’ ke-12 oleh Institut bagi Ekonomi dan Keamanan, Australia.

Berasaskan kepada tahap keamanan masing-masing, kajian membabitkan 163 negara dan wilayah berdaulat itu mendapati dunia semakin kurang aman sebanyak 0.27 peratus berbanding 2016.

Ini berikutan keamanan di 92 negara semakin terjejas dan hanya 71 negara bertambah baik, menurut kajian yang disiarkan kelmarin, lapor portal usnews. (Sumber berita: bharian.com.my)

Indeks Keamanan Global (IGP) 2018 yang baru sahaja dikeluarkan oleh Institusi Ekonomi dan Keamanan (IEP) mengesahkan apa yang sudah diketahui masyarakat dunia bahawa dunia semakin bergolak dan hura hara akibat perang.

Sungguhpun demikian, hakikat ini bukanlah suatu yang mengejutkan kerana saban masa kita menyaksikan konflik ketenteraan yang berlarutan di segenap penjuru dunia. Sejak keruntuhan Kesatuan Soviet, dominasi Amerika Syarikat (AS) selaku kuasa adidaya semakin bermaharajalela dalam mencorak percaturan politik dunia. Baik secara langsung mahupun tidak, sebenarnya AS terlibat dalam kebanyakan pergolakan-pergolakan yang berlaku semenjak beberapa dekad kebelakangan ini. Semua ini dilakukan atas nama demokrasi dan kebebasan, sedangkan hakikatnya dilaksanakan demi meluaskan pengaruh AS dan menguasai sumber-sumber ekonomi bagi memenuhi desakan dan kepentingan kelompok pemodal (kapitalis). Kelompok-kelompok inilah yang menjadi pelobi dalam mencorak polisi luar AS, bahkan merekalah yang meraih keuntungan besar apabila AS menyerang dan menjajah sesebuah negara luar.

Negara-negara seperti Yaman menderita sejak dari tahun 2002 akibat program senjata drone CIA dalam Perang Anti-Keganasan yang diisytiharkan oleh George W. Bush pada 2001. Kini, negara itu menjadi medan perang proksi antara Saudi dan Iran dalam percaturan geopolitik serantau. Di samping itu, kesan daripada pencerobohan Amerika Syarikat di Iraq pada 2003 masih dirasai hingga sekarang.

Selain itu, semenjak tercetusnya kebangkitan Arab Spring, Syria telah mengalami konflik berpanjangan sehingga menjadikan negara tersebut sebuah negara yang paling rendah skor indeks keamanannya. Sepertimana konflik-konflik yang tercetus di pelbagai belahan dunia, pastinya kita akan mendapati wujudnya campur tangan kotor AS yang cuba mengambil kesempatan demi mengekalkan hegemoninya. Perkara yang sama dapat diperhatikan dalam polisi licik AS ke atas Syria. Walaupun AS menyokong pihak penentang Bashar al-Assad, tetapi hingga kini serangan AS hanya tertumpu kepada ISIS dan kelompok bersenjata Islam.

Rusia pula dipergunakan AS untuk campur tangan demi menjaga kepentingan-kepentingan Rusia di Syria yang selari dengan kepentingan AS. AS-Rusia mengkoordinasi serangan udara di Syria dan telah banyak kali mengebom dan membunuh penduduk awam yang tidak berdosa. Dengan berbuat demikian, AS bukan sahaja cuba mengekang aspirasi kebangkitan Islam, bahkan dengan menyokong penentang Bashar dan dalam masa yang sama membiarkan Rusia menyerang mereka, secara tidak langsung ini telah menyebabkan konflik ini berlarutan.

Keadaan ini akan berterusan, sehinggalah AS berjaya menemui calon yang sesuai bagi menggantikan Bashar. Akibatnya, umat Islam di Syria menanggung penderitaan serta malapetaka yang menimpa akibat percaturan AS dan kuasa-kuasa kuffar lain.

Umat Islam perlu sedar bahawa AS dan sekutunya tidak akan pernah lelah berusaha memadam kebangkitan Islam kerana kebangkitan ini pasti akan mengancam hegemoninya. Justeru pertembungan ini pasti akan tetap berlaku sehingga Allah SWT memenangkan kebenaran di atas kebatilan dengan sebuah kekuatan Khilafah seperti suatu ketika dahulu.

Dalam pada itu, dunia pasti akan terus menjadi semakin tidak aman selagi mana sistem kapitalisme mendominasi dan disebarluaskan oleh kuasa-kuasa kuffar demi memenuhi kepentingan mereka.

Wallahua’lam.

Abu Ammar
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia