Kashmir: 150 Tahun Dalam Kezaliman Dan Penindasan

Pada 05 Ogos 2019, kaum Muslimin di tanah Kashmir terpaksa menanggung penderitaan sekali lagi akibat daripada perintah yang dikeluarkan oleh Presiden India, Ram Nath Kovind. Perintah Presiden tersebut terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama mengatakan bahawa Perkara 370 tidak lagi berfungsi, walaupun tidak digubal secara perlembagaan dan perintah kedua adalah dengan menerima Rang Undang-Undang Penyusunan Semula Jammu dan Kashmir (J&K) 2019 yang membahagikan J&K kepada dua wilayah kesatuan setelah dikurangkan daripada status kesatuan.

Sebelum perintah tersebut, angkatan tentera diperkuatkan dan ramai pemimpin politik telah ditahan di bawah tahanan rumah, semua bentuk sistem perhubungan diputuskan dan pergerakan rakyat disekat. Dengan kata lain ia telah mengubah J&K kepada sebuah penjara terbuka yang besar. Arkitek langkah ini ialah Amit Shah, yang merupakan Menteri Dalam Negeri India dan Presiden BJP, sebuah parti nasionalis Hindu. Pembatalan Perkara 370 yang memberikan status istimewa kepada J&K sejak 65 tahun yang lalu ketika kemerdekaan India pada tahun 1947 merupakan manifesto pilihan raya BJP.

Kashmir merupakan sebuah kawasan berkeluasan 217,935 km persegi yang dikelilingi oleh Pakistan, India, China dan Afghanistan. Kashmir merupakan tanah Islam, yang ditakluki umat Islam, dan Islam memasukinya pada akhir abad pertama Hijriah. Ini berlaku ketika penaklukan Sind dan Hind di tangan pemimpin kaum Muslimin, Muhammad al-Qasim, yang bermula pada 94 H (712 M). Kuasa Islam kemudiannya berkembang di benua Asia pada zaman Khilafah Abbasiyyah, al-Mu’tasim, 218-225 H (833-839 M). Kuasa Islam terus berkembang di kebanyakan sub-benua Asia, yang kini dikenali sebagai India, Pakistan, Kashmir dan Bangladesh dan menjadi tanah di bawah Khilafah Islam selama lebih 10 abad lamanya. Hari ini 67% penduduk J&K ialah umat Islam, serta yang berada di lembah Kashmir melebihi 95%.

Pencerobohan British bermula pada akhir abad ke-18 yang pada awalnya menjadi pedagang dan kemudiannya merampas kuasa daripada pemerintah Islam dengan sokongan daripada beberapa pemberontak Muslim, Hindu, Sikh, Buddha dan lain-lain. Selepas konflik selama hampir 4 dekad, sub-benua Asia ini berada di bawah kuasa British pada tahun 1858.

Selain daripada pemerintahan British secara langsung di kawasan ini yang meliputi lebih daripada 55% sub-benua Asia dengan majoriti umat Islam, British juga memerintah melalui para gabenor autonomi yang berjumlah 565 orang dan wilayah bebas. Kashmir (dengan majoriti Muslim) telah dipajak kepada seorang raja Hindu selama 100 tahun. Ini merupakan detik bermulanya kezaliman di Kashmir selama lebih daripada 15 dekad dengan pelbagai jenayah dilakukan ke atas umat Islam bagi mengukuhkan kedudukan kaum kuffar di Kashmir. Umat ​​Islam di Kashmir terkenal kerana kesungguhan dan ini membolehkan mereka bertahan terhadap kezaliman yang berlaku. Dalam sebuah kejadian yang mengejutkan pada 13 Jul 1931, yang boleh dianggap setanding dengan pertempuran Mut’ah semasa zaman Nabi SAW, 22 orang Islam telah mati syahid secara berturut-turut semata-mata untuk menyelesaikan azan Zuhur. Bantahan itu sebagai tindak balas terhadap pegawai keselamatan India yang mencemarkan kemuliaan al-Quran di Kashmir.

Walaupun berada di bawah pemerintahan British, kaum Muslimin di sub-benua Asia memberikan kesetiaan kepada Khilafah Uthmaniyyah di Istanbul. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pergerakan kemerdekaan bagi melepaskan diri dari British mempunyai perwakilan Islam yang besar. Apabila British akhirnya memutuskan untuk keluar dari sub-benua Asia atau British Raj, ia dibahagikan kepada dua negeri terkemuka, India dan Pakistan. Dalam memorandum menteri bertarikh 12 Mei 1946, Britain mengarahkan 565 orang gabenor autonomi untuk mematuhi kehendak rakyat mereka mengenai penyatuan dengan India atau Pakistan. Terdapat 3 pengecualian yang menghalang peraturan ini iaitu Hyderabad, Jonagra dan Kashmir. Hyderabad dan Jonagra memiliki gabenor Muslim dengan majoriti penduduk Hindu sehingga mereka dimasukkan ke India.

Walau bagaimanapun, Kashmir dengan gabenor Hindunya tetapi penduduknya yang majoriti Muslim juga dimasukkan ke India. Antara aspek utama mengapa hal ini berlaku pada tahun 1947 adalah disebabkan oleh autonomi yang diberikan kepada Kashmir yang akan direalisasikan sebagai fasal 370 dalam Perlembagaan India nanti. Oleh itu, sejak tahun 1947 pelbagai konflik dan peperangan tercetus antara India dengan penduduk Hindunya di satu pihak dan Pakistan dan Kashmir dengan penduduk Islamnya di pihak yang lain. Akibatnya, India menduduki 65% daripada Kashmir sementara Pakistan dan China masing-masing menduduki 30% dan 5%.

Penglibatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 13 Ogos 1948 melalui satu resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk gencatan senjata di Kashmir dan penempatan Angkatan Pemerhatian Antarabangsa. Ini diikuti dengan resolusi lain yang kemudiannya mengarahkan India dan Pakistan agar menarik balik tentera mereka supaya referendum boleh dilakukan untuk membolehkan orang Kashmir menentukan masa depan mereka. Arahan referendum dikeluarkan semula sebagai resolusi UNSC yang lain pada 14 Feb 1957 setelah Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru menetapkan pendudukan India di Kashmir pada tahun 1956 – ketika perlembagaan India secara rasmi diadopsi yang mengesahkan autonomi Kashmir seperti Pasal 370.

Artikel ini memberi mandat bahawa kerajaan negeri J&K mempunyai hak untuk memilih sama ada untuk menerapkan undang-undang yang digubal oleh Parlimen India atau tidak. Perkara 370 membawa klausa lain iaitu Presiden India boleh mengaplikasikan undang-undang negara sebagai klausa yang lebih tinggi daripada pendirian kerajaan negeri J&K. Perintah Presiden pada Ogos 2019 baru-baru ini telah memanfaatkan klausa tersebut untuk mengaplikasikan undang-undang negara ke atas J&K ketika kerajaan negeri J&K telah dihapuskan dan berada di bawah pemerintahan Presiden melalui Gabenor untuk J&K. Sejak tahun 1957, referendum Kashmir telah ditolak berulang kali oleh India kerana bimbang akan hasil daripada referendum tersebut. Selain itu, penggunaan klausa bahawa kuasa Presiden mengatasi segalanya dalam Perkara 370 dari semasa ke semasa telah menjadi sumber perselisihan yang serius sejak tahun 1956. Ia menyebabkan berlakunya protes dan pemberontakan bersenjata yang tidak berkesudahan di Kashmir. Majoriti Muslim di Kashmir hakikatnya mahukan sama ada sebuah negara bebas atau penyatuan dengan Pakistan. Kurang daripada 5% mewakili aspirasi untuk kekal bersama dengan India. Akibatnya, Kashmir telah menjadi masalah tidak menentu yang mengakibatkan kehilangan nyawa, harta benda, kestabilan dan perpindahan yang besar akibat keterpaksaan dalam kalangan kaum Muslimin di Kashmir sejak tahun 1858.

Pakistan, walaupun secara prinsipnya berdiri bagi pihak orang Islam di Kashmir, sebenarnya telah gagal untuk menjamin atau membebaskannya kerana kedudukannya yang bersekutu dengan dasar luar Amerika Syarikat (AS) meskipun ia memiliki kemampuan ketenteraan untuk melakukan sesuatu. Terdapat beberapa konflik utama antara India dan Pakistan iaitu ketika Pakistan menyerahkan konsesi mengenai isu Kashmir. Ini dapat dilihat seperti berikut; Pada tahun 1948, ketika Mohamed Ali Jinnah menerima gencatan senjata UNSC. Kemudian pada tahun 1965 ketika Ayyub Khan menyerahkan tiga sungai yang merupakan sebahagian dari Pakistan dan pada tahun 1999 ketika Nawaz Sheriff menyerahkan Kargil. Pengkhianatan terkini berlaku semasa Presiden Pervaiz Musharaf pada tahun 2004 apabila dia bersetuju bahawa isu Kashmir akan ditangani sebagai isu bilateral antara Pakistan dan India serta ditimbang oleh AS. Pendirian pro AS Pakistan dan pendirian pro Soviet India telah membawa kepada peningkatan campur tangan pelbagai kuasa di Kashmir. AS menggunakan suasana pemberontakan di Kashmir untuk kelebihannya apabila ia membenarkan Pakistan menyokong pergerakan tersebut di Kashmir supaya ia boleh bergerak ke rantau ini, terutamanya selepas runtuhnya Kesatuan Soviet. Pemberontakan terbesar di Kashmir sejak kemerdekaan adalah dari 1988 hingga 1999 malah ia juga disebut sebagai Intifada Kashmir, yang muncul akibat daripada pilihan raya negeri yang dipertikaikan.

India menempatkan sebahagian besar peralatan perangnya di Kashmir yang terdiri daripada para tentera keselamatan sempadan dan rizab pusat berjumlah hampir 750,000 orang. Bagi memadamkan pemberontakan, India mengenakan AFSPA (Akta Kuasa Khas Angkatan Tentera) pada September 1990. Ini memberi kuasa bersenjata bagi tentera untuk membunuh dan menangkap tanpa waran yang bertujuan mengekalkan ketenteraman awam. Pasukan tentera telah dituduh bertanggungjawab terhadap banyak pelanggaran kemanusiaan dan terlibat dalam pembunuhan, penindasan, rogol dan penderaan seksual secara besar-besaran. Sehingga kini, dianggarkan lebih 100,000 nyawa telah terkorban. Bilangan yang sama hilang atau ditahan tanpa tuduhan. Beribu-ribu menjadi janda serta yatim piatu dan pelbagai kejahatan jenayah dilakukan terhadap wanita muda dan tua. Sejak tahun 2004 banyak para pemimpin penentang telah hilang melalui rangkaian militia yang disokong oleh India di lembah Kashmir bagi memadamkan pemberontakan. Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pada tahun 2011 mengesahkan bahawa terdapat beribu-ribu mayat dengan kesan peluru yang terkubur di perkuburan yang tidak bertanda di Jammu dan Kashmir. Daripada 2730 mayat yang dijumpai di 4 daripada 14 daerah, 574 mayat dikenal pasti sebagai penduduk tempatan yang hilang. Hal ini bertentangan dengan dakwaan desakan kerajaan India bahawa semua kubur tersebut ialah milik orang asing. Orang Islam di Kashmir telah merasai kekejaman dan penindasan selama lebih 150 tahun –bermula di tangan British dan kemudian di tangan India dan AS.

Pengumuman 5 Ogos 2019 menandakan satu lagi tahap kezaliman baru. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai kuasa atas semua perkara. India menafikan aspirasi rakyat Kashmir tidak kiralah sama ada ia diselubungi dengan ‘Perkara 370’ atau tidak. Pada masa ini, penting bagi umat Islam untuk memiliki pandangan yang benar mengenai peristiwa-peristiwa ini.

  1. Dilarang bagi umat Islam untuk tidak melaksanakan Islam di atas tanah yang berada di bawah kuasa Islam. Perkara ini bukanlah dari perspektif kehormatan kaum Muslimin, namun merupakan satu keperluan untuk melaksanakan hukum Allah SWT; iaitu, pelaksanaan Syariah. Oleh itu, tidak dibenarkan bagi umat Islam untuk meninggalkan perjuangan bagi menegakkan agama Allah SWT. Allah SWT berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al Maaidah (5): 50].

  1. Masalah Kashmir melibatkan India yang mengaku sebagai negara demokrasi terbesar di dunia, telah berulang kali membuktikan bahawa demokrasi hanyalah suatu alat kemudahan. Britain berbangga mengenai institusi demokrasinya ketika ia menciptakan isu Kashmir yang hakikatnya tidak mewakili aspirasi rakyat di Kashmir sepenuhnya. India mengagumi institusi demokratiknya apabila ia berulang kali menghancurkan aspirasi rakyat di Kashmir dengan kekerasan. India mempunyai kehadiran tentera terbesar di dunia dalam wilayah tertentu untuk jangka masa yang panjang tanpa berada dalam keadaan perang dan ini belum lagi bercakap mengenai kezaliman dan penindasan yang mereka lakukan terhadap rakyat Kashmir. PBB hakikatnya hanyalah pelayan kepentingan Amerika dalam pendekatan selektifnya serta begitu konsisten dalam tindakannya mengenepikan dan menganak-tirikan wilayah-wilayah Islam. Ia akan terus sentiasa menjadi alat yang digunakan oleh orang yang berkuasa demi mencapai kepentingan pihak yang membiayai mereka untuk mendapatkan kuasa.

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَن يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

“Tidakkah kamu melihat orang-orang yang mendustakan apa yang diwahyukan kepadamu wahai Muhammad, dan apa yang diturunkan sebelumnya? Mereka ingin merujuk kepada undang-undang taghut, sementara mereka diperintahkan untuk menolaknya; dan syaitan ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh” [TMQ an-Nisa’ (4):60].

  1. Campur tangan kuasa asing sama ada AS, Britain, Rusia, Eropah atau China akan hanya memberikan manfaat nasional atau serantau bagi kuasa-kuasa tersebut semata-mata tanpa sedikit pun mengambil kira aspirasi umat Islam atau kepentingan agama Islam. Perkara ini sangat jelas jika kita melihat peranan Britain dalam mewujudkan isu Kashmir, atau AS melalui alat PBB atau tanpa menggunakan PBB sejak tahun 1947, atau kuasa-kuasa lain yang menjaga kepentingan mereka dalam isu Kashmir. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَتُرِيدُونَ أَن تَجْعَلُوا لِلَّهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا مُّبِينًا

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir sebagai sekutu selain daripada orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?” [TMQ an-Nisa’ (4):60].

  1. Kashmir dan Palestin memiliki sifat yang hampir sama. Kedua-duanya projek British yang membenarkan kuasa untuk ditarik daripada umat Islam apabila Palestin diberikan kepada orang Yahudi dan Kashmir diberikan kepada India. Kedua-dua projek itu telah dirampas oleh AS dari Britain selepas perang dunia kedua untuk digunakan sebagai alat memanipulasi wilayah tersebut. Dalam kedua projek itu dapat dilihat bagaimana ketenteraan melanggar hak asasi manusia selama beberapa dekad walaupun ia menimbulkan kemarahan di serata dunia. Kedua-duanya juga melangkaui generasi yang membuktikan warna sebenar Demokrasi. Kedua-dua projek ini terus wujud kerana ketiadaan sistem Khilafah di dunia Islam – sistem yang menjadi penjamin kemuliaan kehidupan dan harta manusia di seluruh dunia. Allah SWT berfirman dalam al-Quran.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir yang berdekatan dengan kamu, dan biarkanlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah bahawa Allah ada bersama orang-orang yang bertakwa” [TMQ  at-Taubah (9): 123].

  1. Umat Islam di Kashmir tidak memiliki negara untuk menjalankan pelaksanaan Syariah sendiri. Maka ia merupakan tanggungjawab tentera seluruh dunia Islam untuk mengamankan dan membebaskan Kashmir. Tanggungjawab utama terletak di tangan tentera Pakistan. Penegakan negara Khilafah di dunia Islam akan memastikan tentera kaum Muslimin menjadi pelindung bagi umat Islam di bumi Allah SWT ini. Negara Khilafah akan melaksanakan syariat Islam yang akan memastikan keamanan bagi semua warganegara (Muslim dan Non-Muslim), memastikan kesucian hidup dan harta benda, memastikan hak setiap individu bukan Islam untuk mempercayai agama mereka, memastikan aturan undang-undang secara konsisten dan memastikan undang-undang tidak dicipta daripada keinginan dan hawa nafsu tetapi wajib melalui rujukan berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasul-Nya SAW. Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

“Wahai orang-orang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: ‘Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit” [TMQ at-Taubah (9):38].

Terjemahan:

http://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/site-sections/articles/analysis/17967.html