Keadilan Sebenar Di sebalik Pembebasan Anwar

anwar-saifulAkhirnya segala penantian selama lebih  dua tahun terjawab apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9hb Januari 2012 yang lalu dan disambut dengan sorakan gembira ribuan penyokongnya yang setia menunggu dan berhimpun di luar mahkamah. Bagi sesetengah orang, ia mengejutkan dan bagi sebahagian yang lain, ia hendak dijadikan sebab oleh kerajaan untuk ‘menutup mulut’ pengkritik yang mengatakan sistem kehakiman Malaysia tidak telus. Tiada siapa pun  boleh  menafikan persepsi  tersebut kerana ia dibina daripada rentetan peristiwa yang dilihat mengarah kepada persepsi seperti itu.

Ini adalah kerana, sebaik sahaja keputusan Mahkamah dikeluarkan, maka pelbagai bentuk kenyataan dikeluarkan oleh para pemimpin utama parti memerintah berhubung keputusan mahkamah tersebut dan poinnya hampir sama iaitu sistem kehakiman Negara adalah adil dan telus serta tiada campurtangan kerajaan di dalam keputusan hakim. Di pihak pembangkang, ia adalah tanda-tanda kemenangan yang semakin hampir dan ada yang melihat kedudukan mereka kini semakin kukuh dan keyakinan mula memuncak untuk menggiatkan lagi gerak kerja untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Disebalik semua kegembiraan, kehairanan dan kepuasan atas pembebasan Anwar itu, apa yang mungkin sebahagian daripada kita lupa adalah bagaimana proses perbicaraan itu berjalan. Kita seharusnya melihat seluruh senario tersebut daripada sudut pandang seorang Islam. Sejak dari awal perbicaraan Anwar sudah pun dilabel sebagai pesalah menerusi pelbagai saluran media sedangkan hakim belum mengeluarkan keputusannya. Sedangkan kaedah fiqh di dalam sistem penghakiman Islam adalah  “Hukum asal seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah”. Tetapi di dalam kes ini, Anwar telah digambarkan seolah-olah memang benar dia yang melakukan perbuatan liwat itu sejak daripada mula lagi. Itulah akibatnya apabila sistem penghakiman kufur digunakan. Padahal Anwar seharusnya dibicarakan mengikut sistem penghakiman Islam yang mana kita telah diperintahkan untuk melaksanakannya. Firman Allah SWT:

“Maka putuskanlah perkara di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka dengan meninggalkan kebenaran yang datang kepadamu”
[TMQ Al Maidah (5):48]

Bahkan, sekiranya Anwar dibicarakan dengan proses penghakiman Islam, ia tidak harus menjalani penantian sehingga lebih dua tahun dan diaibkan dengan begitu berat. Keadilan di dalam Islam adalah berdasarkan saksi dan bukti yang sahih dan nyata, bukannya berdasarkan keyakinan yang dibina daripada huraian-huraian atau gambaran yang memualkan semasa perbicaraan. Selagi tiada saksi dan pengakuan, maka hukuman tidak boleh dilaksanakan. Itulah keadilan di dalam Islam

Rujukan:
1.    Berita Harian
2.   
Utusan Malaysia