Kebebasan dan Hak Asasi – Mitos Peradaban Barat

altPasangan Islam Perancis cabar larangan purdah
 
LONDON 10 Jun – Sepasang suami isteri beragama Islam yang tinggal di Britain mengemukan cabaran di Mahkamah Hak Asasi Eropah terhadap pengharaman pemakaian penutup muka (purdah) di Perancis, kata peguam pasangan itu hari ini.
Pasangan tersebut yang merupakan rakyat Perancis mengemukakan permohonan itu di mahkamah Strasbourg untuk mencabar kerajaan Perancis yang menguatkuasakan pengharaman pemakaian purdah, dengan pasangan itu menyifatkan pengharaman itu sebagai ‘tidak perlu, tidak adil dan menyalahi undang-undang’. Mereka mendakwa pengharaman itu menyekat hak mereka untuk bergerak bebas di Eropah, petik kenyataan yang dikemukan kepada pihak mahkamah. Isteri tersebut menuntut ganti rugi sebanyak AS$16,400 (RM50,000) kerana dituduh melanggar hak asasi manusia. Pasangan tersebut kini tinggal di England bersama dua anak mereka. – AFP

Sumber : Utusan Online, 10/06/2011
 

Kebebasan dan Hak Asasi – Mitos Peradaban Barat



Inilah salah satu daripada bukti hipokrasi dan double-standard Barat! Kononnya mereka menggelar diri mereka pejuang kebebasan dan hak asasi, namun ini cumalah dalam acuan mereka. Mana tidaknya, sekiranya umat Islam hendak “bebas” melaksanakan tuntutan Islam, pelbagai halangan diletakkan. Padahal dalam masa yang sama mereka membenarkan kewujudan parti-parti seks serta pantai bebas berbogel di Perancis atas alasan  kebebasan peribadi. Sudah acap kali kita mendengar tekanan yang dihadapi oleh umat Islam di negara kuffar Barat, namun setiap kali itu jugalah kita melihat sikap tidak peduli dan membisu serta kaku pemimpin umat Islam dari mempertahankan kehormatan umat Islam. Kes-kes seperti penghinaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, perlecehan terhadap masjid, mencabar syariah Islam dan sebagainya akan berlalu begitu sahaja tanpa ada pembelaan dan penyelesaian yang tuntas daripada para penguasa umat Islam.

Dalam pada umat Islam ditekan oleh para pemerintah kuffar, yang lebih jelek adalah para pemimpin kaum muslimin sendiri turut melakukan tekanan ke atas umat Islam. Di seluruh dunia Islam peradaban serta undang-undang kufur dicedok dan diterapkan. Para pemerintah umat Islam tanpa segan silu menghalang aktiviti dakwah dalam mengembalikan Islam ke dalam kehidupan serta menghalang seruan agar umat bersatu di bawah panji-panji Islam. Hakikatnya, kes yang berlaku di Perancis sekarang cumalah satu bab sahaja daripada pelbagai masalah yang melanda  umat Islam. Semua ini adalah kesan daripada tidak diterapkannya Islam dalam kehidupan bernegara serta jauhnya umat dari pemikiran ideologi Islam. Akibatnya, maruah umat Islam menjadi murah dan nasib mereka bebas diperdagangkan oleh saudagar-saudagar imperialis Kapitalis. Para pemimpin kuffar hari ini begitu berani menyulitkan urusan umat Islam kerana mereka tahu bahawa umat Islam pada masa ini tiada pelindung dan tiada pembela. Yang ada cumalah boneka-boneka sekular yang akan menurut kehendak mereka dan bermatian-matian mempertahankan perlembagaan kufur di negeri masing-masing.

Ayuhlah wahai seluruh umat! Sama-samalah kita bergerak melakukan perubahan dengan mengembalikan kehidupan Islam dalam bernegara dan bermasyarakat. Semoga dengan ini kegemilangan serta kepimpinan dunia akan kembali ke tangan umat Islam!