Kegagalan pasaran ekonomi bebas.
(Ramai masih percaya bahawa Amerika adalah sebuah negara bebas, namun perubahan sentiasa berlaku. Amerika telah menjadi satu bangsa yang sering kali menjaga kebebasan untuk melakukan kejahatan seperti mana (menjaga) kebebasan untuk melakukan kebaikan kerana kami sudah tidak dapat membezakan keduanya).
Pasaran ekonomi bebas atau lebih dikenali “Market Fundamentalism” adalah ‘produk’ utama Amerika ke seluruh dunia. Negara-negara di seluruh dunia dipaksa menerima lunas-lunas ekonomi bebas atau “Market Fundamenlism” ini. Sebelum pergi lebih lanjut tentang pasaran ekonomi bebas, adalah lebih baik dijelaskan secara ringkas dua perkara agar dengannya hipokrasi Amerika ini dapat didedahkan:
1. Apakah dia doktrin “Market Fundamentalism”.
2. Bagaimana Krisis ekonomi dunia berlaku.
Doktrin “Market Fundamentalism” mendidik bahawa negara/pemerintah tidak boleh campur tangan dalam aktiviti ekonomi, yang sering kali menghasilkan istilah “kuasa pasaran” di mana kuasa pasaran inilah yang akan menentukan arah ekonomi. Dan kuasa pasaran ini dipraktikkan tanpa memikirkan kerosakan yang akan dibawa kepada masyarakat.
Di Malaysia suatu masa dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai seorang yang agak bijak dalam ekonomi Kapitalis telah menongkah arus di mana dalam krisis ekonomi Asia pada tahun 1998 beliau telah memberikan suntikan modal kepada syarikat-syarikat mega yang sedang nazak. Praktik ini menurut lunas-lunas teori ekonomi tulen Kapitalis amat bercanggah dengan dasar ekonomi bebas di mana menurut mereka syarikat-syarikat tersebut memang layak untuk gulung tikar kerana tidak mempunyai kekuatan untuk bersaing dalam pasar ekonomi bebas. Inilah yang kononnya menjadi dasar ekonomi pasaran bebas Amerika.
Namun kini, Amerika sendiri telah cakap tak serupa bikin. Amerika telah mengumunkan suntikan modal sebanyak 700 billion USD untuk memastikan praktik bank-bank di AS untuk meminjam sesama sendiri terus berjalan. Kegagalan institusi perbankan Amerika meminjam sesama sendiri inilah antara yang menjadi punca atau penyebab kepada kemelesetan ekonomi di seluruh dunia. Bagaimana kegagalan ini berlaku?
Suatu masa dahulu prospek perumahan di Amerika begitu memberangsangkan, sehinggakan atas dasar ketamakan untuk mendapatkan riba, sistem perbankan di Amerika telah menawarkan “sub-prime lending” iaitu kemudahan kewangan kepada orang yang tidak layak dan mempunyai rekod kewangan yang buruk. Langit yang disangka cerah tiba-tiba membawa mendung, prospek perumahan Amerika merudum dan golongan yang memang telah sedia bermasalah tidak mampu untuk membayar hutang dan nilai gadaian juga tidak mampu menampung hutang sehinggakan bank-bank di Amerika kekeringan tunai untuk meminjamkan wang sesama sendiri menyebabkan kegagalan sistem kewangan secara kolektif di Amerika Syarikat.
Oleh kerana Amerika ibarat tiang penyangga dalam sistem ekonomi Kapitalis, maka reputnya tiang penyangga ini menyebabkan seluruh rumah berada dalam keadaan bahaya. Dan kalau tiang penyangga ini runtuh, maka seluruh rumah akan runtuh. Britain sebagai salah satu kuasa ekonomi pun turut terjejas sehingga mencadangkan suntikan modal ke atas syarikat-syarikat kewangannya yang nazak. ‘Pelan penyelamat’ sebanyak 50 billion dollar telah dicadangkan. Dalam keadaan ekonomi yang telah nazak ini, timbul persoalan, dari manakah wang yang begitu banyak ini datang?
Mungkin kenyataan ahli parlimen dari parti buruh, Colin Burgon dapat menjawab persoalan ini, katanya,
“What I see is the invisible hand of the market putting its hand into the taxpayer and taking 50 billion dollar away and maybe putting two finger up as well”
(Apa yang saya lihat ialah adanya tangan ghaib pasaran yang sedang ‘mencuri’ dari pembayar cukai sebanyak 50 billion dollar dan mungkin sambil menunjukkan tanda ‘padan muka awak’).
Dalam konteks ini, benarlah kata-kata Dr. Walter Martin bahawa baik dan buruk sudah tidak ada bezanya di Barat, atas nama kebebasan mereka boleh melakukan apa sahaja, termasuklah mengambil hak orang lain dengan cara batil…itulah tabiat ideologi keji Kapitalis!