Kelemahan Pemimpin Umat Islam Dalam Isu Palestin
Jika adapun sebarang tindakan yang diambil, ia hanyalah sekadar kutukan dan kecaman yang dilontarkan kepada tindakan keji entiti haram Israel tersebut. Kerajaan sekular Malaysia juga nampaknya tidak terkecuali. Melihatkan jawapan dan kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam isu Israel ini, ianya membuktikan tentang kekeliruan dan kecelaruan sikap yang diambil oleh kerajaan Malaysia.
Apakah cukup dengan sekadar mengeluarkan kenyataan penafian bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, maka kita merasakan ianya sesuatu yang wajar. Dan, apakah sudah memadai dengan kenyataan bahawa Malaysia telah memberi sokongan dari segi sosial, politik dan ekonomi kepada Palestin? Apakah itu sahaja bantuan yang diperlukan oleh umat Islam Palestin? Bagaimana dengan bantuan tentera? Persoalan utamanya adalah; apakah segala bentuk tindakan Malaysia itu sudah mampu untuk menghalang Israel daripada terus membunuh dan menumpahkan darah umat Islam di Palestin?
Ini menunjukkan bahawa para pemimpin sekular di Malaysia sudah melupai catatan emas kegemilangan Islam yang telah mencatatkan bagaimana kehebatan Khalifah Sayyidina Umar Al-Khattab membuka kota Palestin dengan tindakan jihad. Keberanian Salehuddin Al-Ayubi sehingga dapat mengambil kembali Palestin daripada tentera salib, juga dengan jalan jihad. Keteguhan Sultan Abdul Hamid II yang telah menunjukkan izzahnya sebagai pemimpin yang menjaga Islam dan umat Islam untuk tidak menyerahkan walau seinci tanah Palestin kepada kaum Yahudi. Lihatlah betapa jauhnya perbedaan kata-kata beliau jika kita ingin bandingkan dengan kata-kata Anifah. “Aku tidak akan melepaskan walaupun segenggam tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milikku. Tanah ini adalah milik umat Islam.
Umat ini telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah-darah mereka…Yahudi, simpan sahajalah harta mereka itu. Jika Khilafah telah dimusnahkan suatu hari nanti, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, selagi aku masih hidup, aku lebih rela tertusuknya pisau ke tubuhku ini daripada melihat tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islam. Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai pemisahan tubuh kami selama kami masih hidup!” Begitulah jawaban tegas Khalifah Abdul Hamid II kepada Theodore Hertzel, pemimpin Zionis Yahudi yang menawarkan jutaan wang kepada beliau untuk membeli tanah Palestin dalam rangka untuk mendirikan negara Israel di bumi Palestin.
Persoalannya kini adalah, apakah kita masih mengharap pemimpin yang sedia ada pada hari untuk menyelesaikan isu Palestin? Hanya mereka yang bertakwa sahajalah yang mengetahui jawabannya.
Sumber: Kosmo 15/3/2012