Keluar parti: Bukti kegagalan parti berasaskan ikatan selain Islam

UMNO akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyatnya yang melompat parti atau keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan menuntut bayaran balik dari pihak terbabit dan mereka perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menerusi tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-politik/umno-ambil-tindakan-undang-undang-wakil-rakyat-keluar-parti-186937

Komentar:

Amaran keras Presiden UMNO ini berpunca daripada keputusan keluar parti oleh beberapa pemimpin dan ahli parlimen UMNO. Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapha Muhammad, Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Datuk Seri Anifah Aman antara nama-nama besar yang mengumumkan keluar daripada parti. Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah melahirkan rasa kebimbangan lebih ramai pemimpin UMNO akan meninggalkan parti. Manakala di sebelah pihak Pakatan Harapan pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat keputusan Tok Pa itu bukanlah suatu yang memeranjatkan kerana UMNO sudah menjadi sebuah parti yang rosak dan sukar untuk dipulihkan.

Parti UMNO ketika ini mengalami krisis setelah kekalahannya untuk mempertahankan kerajaan pada PRU lepas. Parti itu juga terpalit dengan skandal 1MDB yang melibatkan salah guna dana awam. Dengan melihat situasi UMNO ketika ini yang tidak lagi jelas arah hala tuju serta tidak lagi dapat memberi manfaat atau kepentingan kepada ahli partinya, maka tidak mustahil akan ada lagi ahli-ahlinya yang akan keluar daripada parti itu.

Krisis yang melanda UMNO ketika ini sepatutnya memberi kesedaran kepada ahli-ahlinya yang perlu melihat kembali kepada asas ikatan perjuangannya yang menyatukan mereka selama ini. Dua ikatan iaitu ikatan Melayu dan ikatan manfaat yang mengikat kalangan para ahlinya ternyata rapuh dan tidak mampu bertahan lama. Bahkan ikatan-ikatan jenis inilah sebenarnya bahaya besar bagi sesebuah parti terutamanya ikatan manfaat. Hal ini demikian kerana, apabila sesuatu manfaat telah hilang, maka hilanglah segala-galanya. Seseorang individu itu hanya akan berada di dalam parti selama mana dia masih merasakan atau memperoleh manfaatnya (seperti jawatan, pangkat, harta, populariti dan sebagainya). Apabila manfaat ini telah tiada, maka dia tidak akan teragak-agak untuk keluar parti dan mencari parti lain yang akan dapat memberi manfaat yang diingininya. Oleh sebab itulah ikatan manfaat ini amat rapuh sifatnya. Sedangkan ikatan bangsa (assabiyyah) seperti ikatan kemelayuan bukan sahaja rapuh malah ia juga bertentangan dengan Islam.

Sesungguhnya perjuangan yang benar ialah perjuangan Islam, bukannya perjuangan assabiyyah, wathaniyyah atau perjuangan manfaat seperti yang dibawa oleh UMNO. Perjuangan yang benar adalah dengan meneladani perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, yakni perjuangan untuk menegakkan agama Allah secara kaffah dalam bingkai Daulah Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Oleh itu, ahli UMNO atau mana-mana jua parti politik tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang, perlu sedar bahawa perjuangan yang sebenar ialah perjuangan Islam, bukannya perjuangan assabiyyah, wathaniyyah atau perjuangan manfaat. Dengan kata lain, perjuangan yang benar adalah dengan meneladani perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, yakni perjuangan untuk menegakkan dan menerapkan hukum-hukum Allah SWT secara kaffah di atas muka bumi ini. Wallahualam.