Kematian bayi di rumah pengasuh – Tanda ketenatan ekonomi kapitalisme

Berita:

MUAR: Bayi malang berusia 10 bulan, Naufal Amsyar Nabil Fikri, yang cedera parah di kepala dipercayai akibat terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya, menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

Ayahnya, Nabil Fikri Anwar, 28 tahun, ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, anak tunggalnya itu meninggal dunia sekitar jam 9 pagi tadi selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Berita penuh: astroawani.com

Komentar:

Saban hari, jumlah penderaan dan kematian bayi di rumah pengasuh dilihat semakin membimbangkan. Kemuncak kepada isu tersebut pada tahun ini ialah kematian adik Adam Rayqal yang amat tragis menjadi tular kerana mayatnya disembunyikan oleh pengasuh di dalam ruangan ‘freezer’ peti sejuk. Pelbagai langkah disarankan oleh pelbagai pihak, termasuklah mencadangkan supaya diwujudkan pusat asuhan bagi setiap tempat kerja sama ada di pihak kerajaan atau swasta. Selain memfokuskan isu ini kepada cadangan solusi bagaimana anak-anak kecil ini perlu dijaga ketika ibu-bapanya berkerja, masyarakat juga turut terfokus kepada isu kezaliman dan kecuaian oleh pihak pengasuh. Begitulah isu ini terus difokuskan kepada dua sudut pandang tersebut sehingga masyarakat tidak sedar, bahawa satu lagi sudut pandang telah diabaikan oleh semua pihak termasuk negara, iaitu persoalan ‘mengapa ibu bapa perlu menghantar anak-anak untuk dijaga oleh orang lain’, sedangkan menjaga anak-anak dan mengasuhnya ialah kewajipan yang terletak kepada ibu bapanya sendiri.

Hari ini, menghantar anak ke pusat asuhan (taska) atau rumah pengasuh telah menjadi trend oleh ibu bapa yang berkerja demi memastikan keluarga mempunyai tempat tinggal, pakaian dan minuman yang mencukupi. Perlu kita amati di sini, mengapakah perlunya bagi sang ibu untuk keluar berkerja sedangkan dalam Islam, si ibu ialah ‘ummu wa rabbatul bait’ (ibu dan pengurus rumah tangga) yang perlu memastikan anak-anak terperlihara dan dididik di rumah. Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana desakan keperluan hidup di dalam sistem ekonomi kapitalisme yang semakin hari semakin meletakkan kehidupan manusia dalam kesempitan. Rata-rata rakyat berpendapatan sederhana yang hidup di kawasan bandar tidak mampu meletakkan tanggungjawab mencari rezeki hanya di bahu sang suami kerana duit gaji yang diperoleh lazimnya akan habis pada minggu pertama untuk membayar sewa rumah, kenderaan, keperluan dapur dan lain-lain lagi. Pelbagai isu ekonomi telah menyumbang kepada hal ini, contohnya seperti inflasi kerana mata wang yang tidak bersandarkan kepada emas dan perak yang mengakibatkan kuasa membeli semakin merosot, kerakusan pihak konsesi yang menguasai infastruktur menaikkan harga sesuka hati, penswastaan hak umat seperti elektrik dan air yang tarifnya menjadi beban kepada rakyat, kos bahan api seperti petrol yang mahal kerana penswastaan petroleum dan juga kerajaan yang memeras pendapatan umat melalui pelbagai jenis cukai.

Dalam Islam, apabila Allah SWT meletakkan kewajipan kepada manusia, Allah SWT juga turut memudahkan jalan bagi manusia menunaikan kewajipan tersebut. Apabila Allah SWT meletakkan kewajipan menjaga dan mendidik anak-anak kepada seorang ibu, Allah telah mewajibkan suaminya untuk berkerja mencari nafkah untuk menampung keluarganya. Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa negara wajib menyediakan jalan bagi umat memperoleh pendapatan mereka sendiri, sama ada melalui penyediaan pekerjaan atau ruang-ruang perniagaan. Politik ekonomi Islam juga meletakkan hak asas kehidupan rakyat iaitu rumah, makanan dan pakaian di bawah tanggungjawab negara bagi mereka yang tidak mampu. Beban rakyat untuk membayar bil elektrik, bil air dan harga sumber bahan api juga tidak berlaku di bawah sistem ekonomi Islam apabila Islam meletakkan air, api dan sumber hutan sebagai milik umat dan negara perlu mengelola sumber-sumber tersebut dengan mengenakan harga kos. Ini merupakan sebahagian daripada kecemerlangan sistem ekonomi Islam dalam membentuk masyarakat yang sejahtera.

Oleh itu, sekiranya Islam diterapkan kembali secara kaffah terutamanya dalam pengurusan ekonomi umat, pastinya kita tidak akan lihat lagi berita bayi mati di rumah pengasuhan kerana ibu-ibu mereka pastinya akan menjaga anak-anak kecil ini dengan penuh kasih sayang dengan masa dan sumber yang mencukupi di rumah, kerana negara memainkan peranannya dalam memastikan segala hak umat dilaksanakan mengikut hukum syarak.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia