Kemuncak Kempen Rejab, HTM anjur seminar pupuk kesedaran mengenai kewajipan Khilafah
Bersempena memperingati detik hitam keruntuhan Khilafah Islam yang berlaku pada 28 Rejab 1342 Hijriah, genap 98 tahun yang lalu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan Kempen Rejab yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap institusi Khilafah serta kewajipan mengembalikannya semula.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi mendekati serta menyeru umat Islam agar turut serta menyertai perjuangan murni ini demi menunaikan kewajipan yang telah sekian lama tertangguh ini.
Sebagai penutup tirai kempen yang dijalankan di sepanjang bulan Rejab ini, HTM telah mengadakan seminar yang bertemakan “Menentang Ancaman Liberal, Kebangkitan Khilafah Membawa Islam Rahmatan Lil Alamin”. Seminar ini telah dianjurkan di beberapa buah lokasi iaitu di Pulau Pinang, Melaka, Ipoh dan Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad (semalam) lalu, dengan membariskan anggota-anggota HTM termasuk jurucakap rasmi dan pimpinan pusat HTM selaku pembentang.
Antara intipati yang disampaikan dalam seminar tersebut termasuklah punca yang menjurus kepada keruntuhan Khilafah, serta implikasi yang menimpa umat Islam setelah ketiadaan institusi politik Islam ini.
Di samping itu, hadirin juga dijelaskan bagaimana manifestasi Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin (rahmat ke sekalian alam) hanya akan dapat direalisasikan dengan penerapan syariat Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam institusi Khilafah.
Hadirin turut diseru untuk bersama-sama HTM memperjuangkan aspirasi Khilafah agar dengannya kehidupan Islam dapat dikembalikan semula sepertimana yang ditunjukkan oleh Junjungan Mulia Rasulullah SAW.