Kenaikan kos sara hidup – natijah pemerintah tidak amanah
Inilah salah satu penipuan pilihan raya secara terang-terangan dalam gelanggang demokrasi di mana pihak yang bertanding akan berjanji bulan dan bintang kepada pengundi, meskipun mereka tahu yang kesemua janji itu tidak akan mereka laksanakan apabila mereka berkuasa nanti.
Merespon kepada pelbagai jenis kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini, pelbagai pihak telah bersuara. Ada yang bersetuju, ada yang pasrah dan ada yang membantah hingga menyeru orang ramai turun di jalanan untuk mengguling kerajaan kerana sudah tidak tahan dengan kezaliman yang berlaku.
Setakat 27 Disember, sebanyak 633 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak terhadap perhimpunan untuk mengguling kerajaan yang dijadualkan pada 31 Disember nanti. Di saat ramai yang membantah tindakan kerajaan yang tidak berhati perut ini, namun terdapat segelintir yang menjadi pengampu dengan bersetuju terhadap kenaikan ini walhal hakikatnya tidak ada satu kebaikan pun kepada rakyat dengan kenaikan ini, apatah lagi dalam keadaan rakyat yang sudah terbeban dengan kenaikan-kenaikan lain sebelum ini.
Menyoroti pelbagai jenis kenaikan harga barangan ini, yang bermula dengan petrol, gula, tol dan tarif elektrik, ramai pengamat yang menyelar tindakan kerajaan dan menjangkakan yang tahun 2014 akan menjadi tahun BN (‘barang naik’) dan rakyat akan terus tersepit dan terhimpit.
Inilah natijah dari sebuah kerajaan sekular yang menerapkan ideologi kapitalisme dalam kehidupan bernegara. ‘Kuasa’ dijadikan sebagai alat untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan, bukannya dijadikan sebagai amanah yang Allah letakkan ke atas mereka untuk menerapkan syariatNya.
Kerajaan bukan sahaja tidak menunaikan amanah, malah menyalahgunakan lagi amanah tersebut untuk kepentingan peribadi. Minyak, gas dan segala bahan galian yang merupakan al-milkiyyah al-ammah (pemilikan umum), jalan raya dan elektrik yang sepatutnya dinikmati secara percuma oleh rakyat, perusahaan gula yang tidak sepatutnya dimonopoli dan banyak lagi perkara-perkara lain, kesemuanya dijadikan ‘bahan dagangan’ oleh pemerintahan ini terhadap rakyatnya. Inilah sifat ideologi kapitalisme yang diamalkan oleh pemerintah demi mengaut semua kekayaan negara ke dalam kantung mereka.
Inilah realiti pemerintah yang menaiki takhta melalui jalan demokrasi di mana demokrasi telah memberi hak kepada mereka untuk membuat hukum dan undang-undang sendiri, lalu mereka telah mencampakkan hukum Allah dari pemerintahan mereka! Sebagai pemimpin, mereka sepatutnya memelihara rakyat, bukannya menderitakan rakyat. Sungguh, mereka pasti akan dihisab atas apa yang mereka lakukan. Sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya pemimpin itu adalah pemelihara dan ia akan ditanya tentang pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari dan Muslim].
Selagi demokrasi menjadi pilihan, selagi itulah umat manusia akan terus menderita. Demokrasi hanya akan menguntungkan segelintir elit pemerintahan dan kroni-kroni mereka sahaja, manakala rakyat akan terus diinjak- injak. Dalam demokrasi, pemerintah hanya akan baik dengan rakyat tatkala musim mengundi sahaja, selepas itu habislah madu dan sepah dibuang!
Sesungguhnya umat Islam memerlukan negara Khilafah bagi menggantikan sistem demokrasi yang busuk ini. Disamping wajib mendirikannya, negara Khilafah telah terbukti mensejahterakan manusia selama lebih 13 abad dengan penerapan Ktabullah dan Sunnah RasulNya. Wallahu a’lam.