Kenyataan Akhbar Hizbut Tahrir Bangladesh

Hizbut Tahrir Bangladesh mengumumkan program untuk aktiviti bantahan terhadap penahanan tidak sah ahli-ahli dan aktivisnya di Rajshahi.

Saudara-saudara wartawan,

Assalamualaikum wrwbt,

Saya mengucapkan selamat datang ke sidang akhbar hari ini.
Seperti yang saudara semua sedia maklum, sepuluh orang ahli dan aktivis Hizbut Tahrir Bangladesh telah ditahan di Rajshahi pada 18/09/08 dan seterusnya beberapa akhbar telah menerbitkan berita yang palsu dan menyimpang berkenaan Hizbut Tahrir. Saya ingin berbincang dengan anda semua dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan isu-isu ini pada sidang akhbar ini.

Anda semua sedia maklum bahawa sebahagian dari aktiviti kami di bulan Ramadhan yang mulia ini, adalah mengeluar dan mengedarkan risalah sejak hari pertama Ramadhan lagi. Pada 09/09/08 kami mengedarkan risalah di Rajshahi dan semenjak itu beberapa media terus memulakan kempen propaganda ke atas Hizbut Tahrir. Untuk menjawab pembohongan propaganda ke atas Hizbut Tahrir, kami menganjurkan sidang akhbar di Kelab Berita Rajshahi pada 18/09/08. Bagaimanapun polis tempatan telah menghalang sidang akhbar tersebut dan dengan tidak adilnya menahan sepuluh dari ahli dan aktivis kami yang hadir di lokasi tersebut.

Di dalam kenyataannya yang pertama kepada media, pihak polis telah menuduh bahawa sidang akhbar telah diaturkan tanpa kebenaran dan melanggar hal keadaan darurat! Telah diketahui oleh semua bahawa pada 09/09/08, Ketua Penasihat (Chief Advisor) telah mengumumkan pemansuhan ke atas halangan perbincangan politik secara tertutup dan tidak perlu memohon kebenaran untuk menganjurkan aktiviti yang dihadiri kurang dari 50 orang. Kemudian pada 12/05/08 pihak kerajaan telah mengeluarkan pekeliling yang menambah jumlah kepada 200. Oleh itu kebenaran adalah tidak diperlukan untuk menganjurkan aktiviti yang dihadiri oleh kurang dari 200 orang dan tuduhan oleh pihak polis dengan itu adalah tidak benar sama sekali.

Saudara-saudara wartawan,

Berkenaan risalah yang kami edarkan pula, sesiapa sahaja yang membaca risalah tersebut akan mendapati bahawa ia mengandungi mesej yang ditujukan kepada kaum Muslimin tentang keadaan mereka (kaum Muslimin) yang semakin buruk, terhina dan putus harapan.(kepada pemerintah sekarang – pent). Risalah tersebut mengingatkan kaum Muslimin akan kejayaan mereka di masa lalu dan tanggungjawab mereka untuk bersatu dan melaksanakan hukum Al-Quran dan Sunnah dengan menegakkan kembali Khilafah untuk mengembalikan kedudukan mereka sebagai umat yang terkemuka. Pada masa yang sama risalah tersebut juga menyeru kepada kaum Muslimin untuk memenuhi tanggungjawab mereka dengan menyingkirkan pemerintah-pemerintah di dunia Islam yang merupakan agen-agen kepada penjajah. Saya dengan ini ingin mengingatkan anda semua tentang kedudukan kita bahawa kerja-kerja ini perlu dilakukan mengikut metodologi Nabi Muhammad SAW. Metod ini melibatkan kerja-kerja menggerakkan pendapat umum dan kesedaran tentang Islam sebagai ideologi politik. Ia juga memerlukan tindakan secara politik ke atas pemimpin-pemimpin yang rosak dan mengerakkan masyarakat untuk menyingkirkan mereka.

Inilah metode yang telah diambil oleh Hizb ut-Tahrir semenjak penubuhan parti dan kami berpegang teguh akan metode ini dan bergantung harap kepada Allah SWT untuk mencapai kejayaan (dengan metode ini – pent). Hizbut Tahrir justeru adalah sebuah parti politik sejagat yang tidak pernah terlibat dengan kekerasan dan hingga kini, tidak ada seorang pun yang dapat memberikan sebarang bukti tentang adanya aktiviti kekerasan oleh ahli-ahli Hizbut Tahrir di mana-mana bahagian pun di dunia ini. Hizb ut-Tahrir tidak mengambil jalan kekerasan di dalam perjuangannya untuk mengembalikan semula Khilafah kerana cara ini adalah bertentangan dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah. Firman Allah SWT,

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” [TMQ An-Nisa (4):93]

Oleh itu kami, dalam bentuk apa sekalipun, menafikan sebarang hubungan dengan JMB. Mana-mana pihak yang cuba untuk mengaitkan Hizbut Tahrir Bangladesh dengan JMB sesungguhnya telah melakukannya dengan niat jahat. Kami menuntut satu siasatan (dijalankan) terhadap sumber surat yang digunakan untuk mengaitkan kami dengan JMB.

Pada masa yang sama Hizbut Tahrir tidak menerimapakai (adopt) metode kompromi (bertolak-ansur) dan mengambil bahagian di dalam sistem yang korup untuk mencapai matlamatnya. Ini kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah sama-sekali bertolak-ansur dengan pemimpin-pemimpin yang korup lagi zalim di Makkah. Mengambil bahagian di dalam sistem yang korup bukanlah metode untuk menegakkan Khilafah dan sesiapa sahaja yang cuba melakukannya sebenarnya sedang berjabat tangan dengan kuffar penjajah.

Saudara-saudara wartawan,

Akhir kata, saya ingin menjawab kepada propaganda jahat ke atas kami oleh sebilangan media yang telah salah lapor kenyataan-kenyataan kami sewaktu perjumpaan bantahan (protest meeting) yang diadakan di Institusi Kejuruteraan (Engineer’s Institution) pada 19/09/08. Pihak media menyebarkan fitnah bahawa kami mengugut untuk melakukan tindakan ganas ke atas orang awam sekiranya permintaan kami untuk membebaskan ahli-ahli dan aktivis parti tidak diterima. Anda pasti telah menyedari bahawa propaganda media ke atas kami itu diketuai oleh kumpulan Prothom Alo-Daily Star. Seperti yang anda semua sedia maklum, Hizbut Tahrir Bangladesh senantiasa dari masa ke semasa mendedahkan konspirasi dan perancangan kumpulan media ini dan juga tuan penjajah mereka yang membenci Islam dan umatnya dan (kami) mendesak masyarakat untuk menolak mereka. Kami pastikan di sini kepada anda dan juga kepada orang ramai bahawa aktiviti bantahan kami terhadap penahanan tidak adil yang dilakukan ke atas anggota dan aktivis kami, akan sentiasa menuruti metode yang telah kami terimapakai (adopt) di atas dan kami tidak akan mengumumkan sebarang program yang menggugat keselamatan dan keamanan.

Sekarang saya akan mengumumkan langkah-langkah kami seterusnya di dalam usaha kami untuk memastikan pembebasan ahli dan aktivis kami seperti berikut:-

1.     Meneruskan dengan cara perundangan di mahkamah dan menggunakan kesemua cara yang mungkin untuk tujuan ini;

2.     Menggerakkan pendapat umum untuk pembebasan ahli dan aktivis kami;

3.     Menganjurkan bantahan pada tarikh-tarikh dan tempat-tempat yang sesuai dan kami akan memaklumkan kepada anda lebih awal;

4.     Menganjurkan satu perarakan bantahan selepas sembahyang Asar pada hari Jumaat 26hb September 2008 di luar masjid negara.

Saya dengan ini menamatkan kenyataan ini dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini dan meminta anda untuk menerbitkan kenyataan akhbar ini esok demi memenuhi objektif kewartawanan anda.

Mohiuddin Ahmed
Chief Coordinator & Spokesperson
Hizbut Tahrir Bangladesh
22 Ramadhan 1429H bersamaan  22 September, 2008M