Kepimpinan Ulama Dikekalkan
Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas baru-baru ini memutuskan bahawa pemilihan dua jawatan tertinggi parti itu akan meneruskan keputusan yang telah dibuat pada Muktamar Agung Pas 1982. Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, keputusan muktamar itu ialah Pas akan mengamalkan dasar kepimpinan ulama. Menurut beliau, keputusan ketetapan itu, telah diterima sebulat suara dan
diamalkan dalam pelantikan pemimpin Pas sehingga kini. Serentak dengan itu beliau menegaskan bahawa Presiden, Timbalan Presiden dan ahli jawatankuasa pusat parti akan dipandu oleh Majlis Syura Ulama.
Sebagai sebuah parti Islam, sudah seharusnya barisan kepimpinan mereka mencerminkan imej Islam sambil diperkukuh dengan latar belakang pendidikan yang juga daripada aliran agama Islam. Namun, sebagai manusia, setiap pemimpin yang dilantik tidak kira samada daripada kalangan ulama atau tidak, semuanya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru, walaupun yang memimpin itu ulama, mereka mestilah dinasihati apabila melakukan kesilapan. Maka, bagi setiap ahli yang dipimpin, mereka wajib menegur dan memperbetulkan kepimpinan ulama jika berlaku sebarang kesilapan atau penyimpangan daripada Al Quran dan As Sunnah. Ini adalah kerana kepimpinan yang mutlak bagi umat Islam adalah dengan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Al-Quran adalah petunjuk (al-huda) yang bermaksud ia adalah ‘pemimpin’ umat Islam. Ertinya, daripada aspek pembahasan mabda, umat dipimpin oleh Al-Quran dan itulah yang sepatutnya berlaku. Al-Quran mesti dijadikan sebagai kepimpinan berfikir(qiyadah fikriyah) bagi seluruh umat Islam. Di dalam hal ini, persoalan siapa yang memimpin tidak menjadi isu kerana setiap pemimpin wajib mengikuti petunjuk atau dipimpin dengan mabda Islam.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (penguasa yakni khalifah) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [TMQ An-Nisa’ (4): 59]