Keracunan methanol: Masanya untuk mengharamkan arak

Kes keracunan methanol baru-baru ini yang telah mengorbankan 19 orang dan 14 orang lagi dalam keadaan kritikal sewajarnya menjadi ‘wake up call’ bagi kita semua, khasnya pihak kerajaan yang memegang tampuk kekuasaan untuk mengharamkan arak dan menutup kesemua kilang penghasilannya sama sekali.

Kesan buruk pengambilan arak telah begitu banyak sekali didokumentasikan melalui kajian-kajian sejak sekian lama. Di samping mempunyai kesan buruk secara langsung terhadap kesihatan seseorang individu, alkohol juga mempengaruhi keadaan mental pengambilnya sehingga menyebabkannya hilang pertimbangan yang waras. Natijahnya, individu yang berada dalam keadaan mabuk cenderung melakukan perbuatan keji dan bertindak ganas. Dalam pada itu, sesetengah kes-kes keganasan rumah tangga turut mempunyai kaitan dengan ketagihan arak. Jelas bahawa ketagihan alkohol juga memberikan impak terhadap aspek sosial dan institusi kekeluargaan. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW;

اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ

“Jauhilah khamar (arak) kerana sesungguhnya khamar itu ibu segala kejahatan,” [HR an-Nasai]

Pengambilan alkohol juga menyumbang kepada kes-kes kemalangan di jalan raya apabila terdapat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Data menunjukkan lebih 30% daripada kemalangan jalanraya di negara ini akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol [Institute for Health Metrics and Evaluation: Malaysia, 2014]. Bahkan daripada hasil kajian terbaru membuktikan tiada kadar yang selamat bagi pengambilan alkohol. Penemuan tersebut dikeluarkan oleh penyelidik Institute of Health Metrics and Evaluation (IHME), Universiti Washington, Seattle di bawah projek kajian Global Burden of Diseases (Beban Penyakit Sedunia). Hasil kajian tersebut juga mendapati bahawa pengambilan alkohol telah mengakibatkan sejumlah 2.8 juta kematian pada tahun 2016. Pengambilan alkohol juga merupakan faktor risiko tertinggi kematian dan ketidakupayaan bagi kumpulan umur 15 ke 49 tahun, merangkumi 20% daripada kes kematian bagi kumpulan umur tersebut.

Malangnya, meskipun Malaysia merupakan sebuah negara majoriti Muslim, namun negara ini berada di tangga sepuluh teratas dari segi pengambilan alkohol pada tahun 2011 [The Star Online, 23/5/2011]. Hal ini tidak sedikitpun mempengaruhi kerajaan terdahulu untuk bertindak, manakala pembangkang pula tidak mengambil sebarang langkah tuntas untuk mendesak pengharamannya. Bahkan, terdapat sebilangan ahli politik bukan Islam daripada DAP, PKR, dan MCA yang secara terbuka membantah pembatalan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap penganjuran pesta arak Oktoberfest di Kuala Lumpur pada tahun lalu [Portal Free Malaysia Today, 18/9/2017]. Lebih malang lagi, dua parti yang diwakili oleh ahli-ahli politik tersebut (DAP dan PKR) kini merupakan sebahagian daripada komponen yang membentuk kerajaan dalam era Malaysia Baharu. Sekiranya dibiarkan, arak boleh mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada kesihatan individu, bahkan memberi kesan buruk kepada masyarakat secara amnya.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengharamkan langsung penghasilan arak pada skala industri dan juga pengambilannya di negara ini. Bahkan demi sesungguhnya, langkah tersebut sewajarnya diambil sejak lama dahulu. Keharaman arak telah dinyatakan jelas dalam Islam, dan sekiranya seseorang Muslim itu didapati bersalah meminum arak maka ia wajib dihukum dengan hukum hudud yakni disebat meskipun pada kadar yang tidak memabukkan. Sabda Rasulullah SAW,

إِذَا شَرِبُوا الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُمْ ثُمَّ إِنْ شَرِبُوا فَاجْلِدُوهُمْ ثُمَّ إِنْ شَرِبُوا فَاجْلِدُوهُمْ

“Apabila mereka meminum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka,” [HR Abu Daud].

Bentuk hukumannya juga dijelaskan lagi dengan athar sahabat,

قَالَ جَلَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ

“Berkata Ali RA, ‘Rasulullah SAW menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah” [HR Muslim].

Manakala bagi orang-orang kafir dzimmi yang bernaung di bawah Khilafah Islam, mereka tidak dilarang untuk meminumnya sekiranya tidak bertentangan dengan ajaran mereka dan hendaklah diminum dalam majlis tertutup. Namun, sekiranya mereka meminumnya secara terbuka maka mereka juga dikenakan hukuman sebat setelah disabitkan kesalahan. [Muqaddimah Dustur au al-Asbabu al-Mujibalahu, Hizbut Tahrir: Fasal 7 (klausa B dan D)]. Mereka juga hanya dibenarkan untuk menghasilkannya bagi kegunaan terhad, bukannya pada skala industri seperti yang berlaku dalam sistem demokrasi-sekular-kapitalis hari ini.

Malangnya, kerajaan pada hari ini bukan sahaja tidak melaksanakan hukum tersebut, bahkan membenarkan penghasilan arak pada skala industri. Justeru tidak menghairankan apabila wujud istilah “arak haram” (baca: arak yang dihasilkan tanpa lesen!), yang secara tidak langsung bermakna wujud “arak halal” dalam negara ini. Demikianlah yang terjadi apabila hukum syarak tidak lagi diterapkan, sebaliknya undang-undang digubal mengikut akal dan hawa nafsu.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia