Kesan Modenisasi: Masalah Sosial Remaja Yang Sangat Parah

Oleh: Hidayah Mohammad (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)

Kehidupan dalam era globalisasi dan modenisasi yang dibawa oleh Barat bukan hanya mendominasi sistem ekonomi, malah turut merancukan pemikiran, sistem pendidikan, politik, dan sosial. Islam sudah lama dinafikan peranannya sebagai pengatur kehidupan manusia. Kesannya umat Islam semakin rosak dan semakin jauh dengan ajaran Islam. Maka tidak hairanlah apabila kita membaca berita di dada-dada akhbar dan media elektronik, kes-kes gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan generasi muda sangat membimbangkan.

Keruntuhan akhlak dan gejala sosial seperti kes buli, ponteng sekolah, gengsterisme, vandalisme, hamil luar nikah, buang bayi, seks bebas, rogol dan bermacam-macam lagi kes yang melibatkan remaja seakan-akan tiada penghujung dan masih belum ditemukan jalan penyelesaian yang tuntas. Lebih menyedihkan kes-kes tersebut turut melibatkan remaja perempuan Muslim. Berikut merupakan beberapa contoh tajuk berita kebelakangan ini beserta sumber rujukan elektroniknya:

  1. Remaja dipukul, diraba oleh sekumpulan remaja perempuan
  2. Remaja berusia tiga belas hingga lapan belas tahun merogol remaja perempuan berusia 15 tahun
  3. Remaja empat belas tahun mengaku lakukan hubungan seks dengan ramai lelaki
  4. Buli: Polis ambil keterangan sepuluh pelajar perempuan

Tambahan pula, statistik tentang kehamilan luar nikah begitu membimbangkan. Merujuk kepada statistik 2016 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan sebanyak 3,980 atau 28.8% daripada 13,831 remaja yang berumur antara 10 tahun hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah. Menurut statistik tersebut juga, 5 negeri mencatatkan kes tertinggi kehamilan luar nikah bagi remaja iaitu Sabah dengan 3,048 kes diikuti dengan Sarawak 2,910 kes, Selangor 1,461 kes, Johor 1,319 kes dan Pahang 940 kes. (http://m.utusan.com.my/…/3-980-remaja-hamil-anak-luar-nikah…).

Data-data di atas hanyalah sedikit daripada berita-berita tentang keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang berlaku dalam dua tahun ini. Ini tidak termasuk kes-kes jenayah seperti membunuh, mengedar dadah dan sebagainya. Persoalannya sampai bilakah keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam kalangan generasi muda ini dapat diselesaikan dengan cara tuntas?

Punca Keruntuhan Akhlak Dan Gejala Sosial

Penyelesaian bagi sesuatu masalah haruslah dimulai dengan mengenal pasti punca atau akar bagi masalah tersebut, supaya yang dirawat bukanlah hanya simptom. Hasil penelitian yang teliti menggunakan kacamata Islam, terdapat beberapa aspek yang menjadi punca bagi masalah keruntuhan akhlak dan gejala sosial. Pertama, aspek individu dan institusi kekeluargaan. Sebagai seorang individu Muslim yang baligh dan sempurna akalnya (mukallaf), ia wajib terikat dengan hukum syarak dalam setiap perbuatannya. Juga tidak dilupakan pada masa yang sama apabila ada individu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan hendaklah individu lain yang melihatnya melakukan amar makruf nahi mungkar. Seperti hadis daripada Rasulullah SAW,

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu maka dengan lisannya dan sekiranya dia tidak mampu juga maka hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman” [HR Muslim].

Banyak kajian telah membuktikan bahawa institusi kekeluargaan yang rapuh boleh mendorong salah laku anak-anak khususnya remaja. Islam mewajibkan insan yang paling dekat dengan remaja iaitu ibu bapanya, wajib memberikan ilmu agama yang mencukupi kepada anak-anak seperti sabda Rasulullah SAW,

“Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab dalam mewarnakan dan mencoraknya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi” [HR Bukhari dan Muslim].

Aspek kedua adalah masyarakat yang tidak memainkan peranannya dalam melakukan amar makruf nahi mungkar. Sikap individualistik masyarakat atau tidak mahu menjaga urusan orang lain antara punca keruntuhan akhlak dan gejala sosial. Oleh yang demikian kita dapat melihat dalam kawasan kejiranan bahkan jiran sebelah rumah yang melakukan jenayah atau kemaksiatan tetapi tidak diambil peduli oleh masyarakat setempat.

Seterusnya, aspek yang ketiga adalah kegagalan pemerintah (negara). Pemerintah sepatutnya mengawal media massa, teknologi informasi dan komunikasi (ICT). Ini kerana, melalui media massa pengaruh terhadap globalisasi dan modenisasi semakin tersebar, kerana media massa merupakan sumber maklumat yang cukup berkesan dalam penyebaran pelbagai informasi, ditambah lagi banyak paparan-paparan negatif yang tidak ditapis. Kesannya apabila remaja yang sememangnya mempunyai perasaan ingin tahu dan mencuba sesuatu benda baru akan terikut-ikut dengan apa yang dipaparkan. Begitu juga dengan ICT, dengan kecanggihan teknologi yang semakin pesat bermacam-macam perkara boleh diperoleh di hujung jari, sama ada perkara itu positif ataupun negatif.

Hanya Islam Solusi Yang Tuntas 

Islam diturunkan sebagai mu’alajah li masyakil al-insan (penyelesai masalah manusia), maka bagi masalah keruntuhan akhlak dan gejala sosial ini pasti ada cara penyelesaiannya. Setiap individu Muslim wajib memiliki ketakwaan dalam diri masing-masing dan sentiasa terikat dengan hukum syarak. Ini termasuklah mematuhi hukum-hukum Allah yang mengatur sistem pergaulan manusia seperti:

i) Larangan berkhalwat

Rasulullah SAW bersabda; “Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara kedua-duannya adalah syaitan” [HR Muslim dari jalur Ibnu Abbas].

ii) Perintah untuk menundukkan pandangan

Allah SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan peliharalah kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan” [TMQ an-Nur (24):30].

iii) Perintah untuk berpakaian syarie

Allah SWT berfirman; “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya semasa mereka keluar” [TMQ al-Azhab (33):59].

Selain itu, masyarakat juga wajib memainkan peranannya dalam melakukan amar makruf nahi mungkar sehingga terwujudnya masyarakat yang prihatin terhadap halal dan haram. Firman Allah SWT; “Dan hendaklah ada sekelompok umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam) dan menyerukan kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran (3):104].

Pihak seterusnya yang bertanggungjawab dalam membanteras masalah sosial ialah pemerintah (negara). Negara berperanan untuk mendidik masyarakat, menerapkan hukum Allah di tengah-tengah masyarakat dan seterusnya menghukum sesiapa yang tidak patuh kepada hukum Allah. Peranannya begitu besar dan kelak diminta pertanggungjawaban olehNya. Peranan negara bukan hanya sekadar mengawal media massa, ICT, pendidikan dan sebagainya, tetapi wajib menguatkuasakan undang-undang dan menerapkan Islam secara kaffah (menyeluruh).

Khatimah

Setiap permasalahan pasti dapat diselesaikan sekiranya kita berpandukan hukum yang telah Allah turunkan. Maka kita sebagai umat Islam wajib mengambil dan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apabila Islam diterapkan secara kaffah maka akan nampaklah keagungan Islam dan semua hukum-hukum Allah hanya dapat diterapkan dalam wadah Khilafah. Namun terwujudnya Khilafah itu memerlukan usaha dan kerja keras daripada kita. Oleh itu marilah kita berganding bahu untuk mengembalikan semula hukum-hukum Allah. Sebagaimana firman Allah SWT;

“Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya” [TMQ al-Maidah (5):2].

Wallahu a’lam.

#cwpm #cabaranwanita #modenisme #modenisasi #gejalasosial