Kesan Sempadan Palsu Antara Brunei dan Malaysia Tambah Beban Rakyat
Pengumuman pelaksanaan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk 2020 oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei Darussalam baru-baru ini akan memberi kuasa kepada Pengawal Kastam dan Eksais Diraja negara itu untuk mengenakan bayaran sebanyak BN$3 (RM9.22) kepada setiap pelawat yang melalui pintu keluar dan masuk melalui jalan darat negara itu.
Perintah yang akan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2020 ini pastinya amat meresahkan penduduk Sarawak terutamanya yang tinggal di Daerah Miri, Limbang dan Lawas. Mereka yang paling terkesan ialah yang terpaksa melalui Brunei untuk ke tempat kerja setiap hari, sama ada mereka bekerja di Brunei mahupun bekerja di Limbang ataupun Lawas.
Perintah baru yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei ini pastinya akan memberi tekanan kewangan kepada rakyat yang sudah sedia ada tertekan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup dan ditambah dengan kelembapan ekonomi ketika ini. Sebagai contoh, selama ini penduduk di Miri yang hendak ke Lawas terpaksa melalui 4 pintu sempadan imigresen dan kastam Brunei sebelum tiba ke destinasi. Keadaan ini pastinya akan mengganggu kelancaran perjalanan serta menambah bebanan kewangan sekiranya bayaran keluar-masuk oleh kerajaan Brunei mula dikuatkuasakan nanti.
Dengan perkembangan terbaru ini, desakan untuk mempercepat pembinaan jalan raya yang menghubungkan terus Bahagian Miri, Limbang dan Lawas tanpa melalui Brunei semakin kuat kedengaran. Lebih-lebih lagi ia sudah pun menjadi modal politik oleh parti pembangkang sejak sekian lama dan pastinya menjadi modal pusingan yang cukup baik tatkala pilihan raya negeri yang bakal tiba sedikit masa lagi.
Hakikatnya, masalah ini timbul sebagai kesan kewujudan sempadan negara bangsa yang wujud di antara Brunei dan Malaysia. Oleh kerana adanya garisan sempadan palsu ini, Malaysia terpaksa membina jalan nun jauh di dalam hutan untuk menghubungkan kawasan Miri-Limbang-Lawas tanpa melalui pos imigresen Brunei, dan Brunei pula terpaksa membina jambatan terpanjang di Asia Tenggara iaitu Jambatan Temburong sepanjang 30km yang menelan belanja kira-kira BN$1.6 bilion (RM4.9 billion) untuk menghubungkan Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong tanpa melalui pintu sempadan imigresen di Limbang (Malaysia).
Rakyat Sarawak khususnya dan umat Islam amnya seharusnya melihat isu ini secara lebih jernih dan mendalam, bukannya hanya terbatas melihat isu jumlah bayaran yang dikenakan oleh kerajaan Brunei, mahupun sebatas melihat isu bagaimana untuk mengelak imigresen.
Asas kepada isu ini adalah kerana adanya sempadan palsu yang wujud antara Brunei dan Sarawak/Malaysia hasil dari penjajahan kuffar British. Padahal negeri-negeri umat Islam ini merupakan negeri yang satu, dan wajib bersatu dalam sebuah negara tunggal. Sekiranya tiada sempadan negara bangsa ini, pastinya isu ini tidak akan timbul. Malahan dana kewangan serta sumber daya manusia yang digunakan untuk membina jambatan serta jalan pintasan di Sarawak itu boleh digunakan untuk membangunkan kemudahan lain yang lebih bermanfaat untuk rakyat.
Lakaran sempadan palsu di negeri-negeri umat Islam ini wajib dihapuskan dan umat Islam wajib kembali bersatu dalam satu negara iaitu negara Khilafah, yang diwajibkan oleh Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Begitu juga dengan pemilikan umum seperti minyak dan gas yang banyak terdapat di Sarawak dan Brunei mesti diurus sebagaimana yang di wajibkan oleh Islam dan bukannya menjadi milik negara atau milik syarikat korporat mahupun oleh seorang individu seperti yang berlaku di Brunei.
Keadaan umat ini menjadi lebih parah apabila dipimpin oleh para penguasa yang tidak amanah, yang janjinya hinggakan gajah pun boleh terbang tatkala berkempen pilihanraya. Namun bila sudah berkuasa, ketika bercakap dengan rakyat hidungnya tinggi di langit, walhal hakikatnya kakinya sehasta tenggelam di dalam lumpur.
Ir. Yusuf M.