Ketiadaan Institusi Khilafah Punca Kehancuran Akhlak Anak-anak
Penulis : Dr Aslam Diyana binti Selamat
Keparahan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini rata-rata disebabkan oleh berlakunya percampuran (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan tanpa batasan seperti zina, khalwat, pergaulan bebas sehingga membawa kepada masalah kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi. Pengaruh gaya hidup songsang yang sangat banyak disajikan dalam saluran media arus perdana telah mengakibatkan anak-anak menjadi lalai dan leka sehingga perbuatan tersebut menjadi kebiasaan. Lebih menyedihkan apabila pergaulan bebas yang tidak terkawal ini semakin dinormalisasi dan diterima oleh masyarakat di Malaysia. Peranan masyarakat juga semakin hilang pengaruhnya dalam menjaga batas pergaulan sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Penguatkuasaan perundangan Islam juga telah dilalaikan oleh institusi negara yang memerintah berpaksikan kepada sistem demokrasi yang lantang memperjuangkan kebebasan diri dalam kehidupan.
Buktinya, statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 51,000 hingga 56,000 kes anak luar nikah yang dilahirkan setiap tahun iaitu dengan purata sebanyak 150 kes sehari (fazleensafina, 2020). Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya terdapat 50 orang anak tidak sah taraf yang dipelihara di salah sebuah rumah perlindungan di Ampang yang terletak dalam daerah Hulu Langat, Selangor (Astro Awani, 2020). Ini tidak termasuk dengan individu yang menggugurkan kandungan sebelum kelahiran yang dianggarkan sebanyak 90,000 kes setiap tahun daripada Persatuan Hak Kesihatan Wanita (Rawther, Tiew, Sim, & Gimbad, 2020). Bahkan pihak kerajaan sendiri terpaksa berhadapan dengan masalah pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi hasil daripada perbuatan zina itu. Perangkaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa sebanyak 577 kes buang bayi telah dilaporkan secara terkumpul dalam tempoh 4 tahun iaitu dari tahun 2014 sehingga 2018.
Sungguh, generasi mudalah yang paling terkesan dengan penerapan sistem demokrasi yang rosak dan merosakkan akhlak mereka. Padahal generasi mudalah yang sepatutnya dididik dengan akhlak Islam dan dikawal secara perundangan oleh sebuah institusi negara. Maka sangat wajarlah sistem kehidupan demokrasi ini ditolak sepenuhnya oleh umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya kerana ia sudah gagal menanggung serta menyelesaikan masalah sedia ada yang semakin meruncing dalam masyarakat. Ayuhlah bersama ke arah perubahan demi penegakan institusi Khilafah di atas jalan kenabian (ala Minhaj an nubuwwah).
Firman Allah :
ۗاِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوْا مَا بِاَنْفُسِهِمْۗ وَاِذَآ اَرَادَ اللّٰهُ بِقَوْمٍ سُوْۤءًا فَلَا مَرَدَّ لَهٗ ۚوَمَا لَهُمْ مِّنْ دُوْنِهٖ مِنْ وَّالٍ
…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia (TMQ : Surah Ar Ra’d[13] : 11)