Khilafah Rasyidah yang Kami Inginkan ialah Khilafah di atas Jalan Kenabian, Tiada Perwarisan (Takhta) di Dalamnya

بسم الله الرحمن الرحيم

“SEMPENA 100 TAHUN KEJATUHAN KHILAFAH…AYUH TEGAKKANNYA WAHAI KAUM MUSLIMIN”

UCAPAN 6

“Khilafah Rasyidah yang Kami Inginkan ialah Khilafah di atas Jalan Kenabian, Tiada Perwarisan (Takhta) di Dalamnya”

Jurutera Osama al-Tsuwaini – Wilayah Kuwait

(Terjemahan)

Generasi kini tidak membesar dalam kesedaran terhadap Daulah Islam yang menerapkan Islam sebagaimana ia diwahyukan. Ketiadaan kesedaran ini berlangsung selama hampir 100 tahun. Maka, sukar untuk memberikan gambaran yang lebih dekat kepada minda-minda yang sebahagian besarnya telah dipengaruhi oleh realiti, dan mereka tidak dapat membayangkan pemerintahan sedemikian melainkan mengikut standard yang mereka lihat berdasarkan realiti dalam negara-negara demokrasi, monarki, negara-negara bangsa, atau dalam bentuk organisasi-organisasi politik, ekonomi dan sosial.

Saya ingin segera menjurus kepada bentuk pemerintahan yang perlu disedari oleh umat Islam akan hakikatnya dengan mengambil kira pandangan syariah, dan yang saya maksudkan ialah pemerintahan monarki dan perwarisan takhta.

Dari sudut pandang yang fundamental, saya menyatakan: sesungguhnya pemerintahan dan kekuasaan itu adalah milik umat. Umat ialah pihak yang dituntut untuk menerapkan hukum syarak, dan puluhan ayat telah diwahyukan di dalam al-Quran al-Karim berkenaan hukum dan kekuasaan, yang memerintahkan umat Islam agar berhukum dengan apa yang telah diwahyukan Allah menurut perinciannya. Allah (swt) berfirman:

﴿وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُواْ أَيْدِيَهُمَا

“Dan lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka” [Al-Maidah (5): 38].

Allah (swt) berfirman:

﴿الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya dengan seratus kali sebatan” [An-Nur (24): 2].

Allah (swt) berfirman:

﴿وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ

“Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil” [An-Nisa’ (4): 58].

Allah (swt) berfirman:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ قَاتِلُواْ الَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ الْكُفَّارِ وَلِيَجِدُواْ فِيكُمْ غِلْظَةً

“Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir yang ada di sekitar kamu itu, dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu” [At-Taubah (9): 123].

﴿وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاْ أُولِيْ الأَلْبَابِ

“Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal” [Al-Baqarah (2): 179].

Allah (swt) berfirman:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَوْفُواْ بِالْعُقُودِ

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu” [Al-Maidah (5): 1].

Dan banyak lagi ayat lainnya.

Untuk umat Islam menerapkan kesemua hukum ini di muka bumi, Islam datang dan menunjukkan jalan yang syarie untuk melakukannya (yakni) dengan memerintahkan umat Islam untuk mendirikan sebuah negara atas dasar Islam, dan memilih seorang pemerintah dalam kalangan mereka, yang akan dibaiah dan ditaati dalam menerapkan syariah.

Dengan kata lain, pemerintah dalam sistem Islam merupakan wakil umat dalam penerapan syariah, dan as-sulthan (kekuasaan) adalah milik umat. Ini adalah salah satu daripada qawa’id al-hukm (kaedah hukum) dalam Islam dan kaedah ini diambil daripada syarak, yang meletakkan peranan untuk melantik ketua negara atas umat Islam atau majoriti daripada mereka. Semua ini selaras dengan nas-nas berikut, yang menunjukkan bahawa Khalifah hanya boleh menerima as-sulthan (kekuasaan) dengan jalan baiah. Rasul (saw) bersabda:

«وَمَنْ بَايَعَ إِمَامًا فَأَعْطَاهُ صَفْقَةَ يَدِهِ وَثَمَرَةَ قَلْبِهِ»

“Siapa saja yang telah membaiat seorang Imam (Khalifah), lalu memberikan huluran tangannya dan buah hatinya…”

Rasul (saw) bersabda:

«بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ ﷺ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي الْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ»

“Kami telah berbai‘ah kepada Rasulullah agar mendengar dan taat baik dalam keadaan susah mahu pun senang. Juga agar kami tidak merampas urusan pemerintahan daripada ahlinya”.

Oleh itu, syariah menetapkan bahawa pelantikan Khalifah adalah melalui baiah. Baiah hendaklah datang daripada umat kepada Khalifah, dan bukannya datang daripada kelompok tertentu, dan bukan juga daripada mana-mana kelompok secara spesifik seperti tentera, pemimpin tertentu, parti-parti tertentu, ahli-ahli politik tertentu atau seumpamanya, melainkan ia hendaklah datang daripada umat Islam.

Hal ini sepertimana telah berlaku pada Khulafa’ ar-Rasyidin sesudah kewafatan Rasulullah (saw). Khalifah telah dilantik melalui jalan baiah daripada umat. Abu Bakar tidak menjadi seorang Khalifah melainkan dengan baiah daripada umat kepadanya. Sebelum kematiannya, Abu Bakar mencalonkan Umar (untuk menjadi Khalifah, setelah sebelumnya beliau mendapatkan pandangan para Sahabat, dan mereka menerima beliau. Beliau (Abu Bakar) berkata: “Adakah kalian akan menerima orang yang aku calonkan sebagai pengganti (Khalifah) buat kalian? Demi Allah aku telah berusaha bersungguh-sungguh (untuk mencari pengganti), dan telah merujuk kepada ramai orang, dan aku tidak mencalonkan sesiapa pun yang mempunyai pertalian dengan diriku”. Umar tidak menjadi Khalifah dengan pencalonan ini, tetapi melalui baiah terhadap beliau sesudah kewafatan Abu Bakar dengan keredhaan para Sahabat. Perkara yang sama juga berlaku dalam kes Usman (ra) dan Ali (ra) yang semuanya menjadi Khalifah melalui jalan baiah daripada umat.

Demikianlah, hukum syarak telah menetapkan bahawa pelantikan Khalifah hanya melalui satu jalan sahaja, iaitu dengan baiah daripada kaum Muslimin.

Seandainya umat tidak menjalankan hak mereka untuk memberikan baiah, misalnya apabila pemerintahan dirampas secara kekerasan dan paksaan, atau pemerintahan terjadi melalui dukungan kuasa luar, atau pemerintahan diwarisi melalui sesebuah keluarga, ini bermakna as-sulthan (kekuasaan) telah dirampas daripada umat.

Akad Khilafah ialah sebuah akad yang melibatkan pilihan dan persetujuan bersama (antara dua pihak) seperti akad-akad lainnya, dan ia hanya akan sempurna dengan persetujuan kedua-dua pihak. Pihak yang pertama ialah umat, manakala pihak yang kedua ialah pemerintah atau Khalifah. Ia adalah akad pemerintahan. Jika salah satu pihak tiada, maka akad ini terbatal keseluruhannya. sama seperti akad-akad tidak sah lainnya. Tanpa umat (yang menjadi pihak dalam akad), pemerintah tersebut dianggap sebagai pemerintah yang tidak sah menurut syarak. Ia dianggap sebagai perampas kekuasaan, dan hukum berkenaan perampas kuasa akan terpakai ke atasnya.

Kekuasaan hanya ada pada umat, dan ia merupakan suatu perkara yang ‘merbahaya’ dan sangat penting. Ini kerana hukum mengenai perlanggarannya boleh sampai ke tahap bunuh! Umar bin al-Khattab (ra) mengesahkan perkara tersebut dengan berkata: “Barangsiapa yang memberikan baiah kepada seorang lelaki tanpa merujuk kepada kaum Muslimin, dia tidak boleh ditaati. Demikian juga tidak boleh ditaati mereka yang memberikan baiah kepadanya. Jika tidak, mereka telah meletakkan diri mereka kepada hukuman bunuh”. Juga kata-kata beliau: “Barangsiapa mendapat kedudukan sebagai Amir tanpa persetujuan kaum Muslimin, maka pancunglah lehernya”.

Pendirian para sahabat muktabar begitu jelas dan tegas tatkala mereka menyedari terdapat penyelewengan terhadap baiah, mereka membantahnya dengan keras dan menganggapnya sebagai sebuah perbuatan keji, mereka mengutuknya dan menyerangnya.

Abd ar-Rahman bin Abi Bakar berkata kepada Muawiyah sewaktu pelantikan Yazid: “Demi Allah, engkau mahu kami mempercayai dirimu di hadapan Allah berhubung urusan anakmu…demi Allah kami tidak akan berbuat demikian, dan demi Allah, engkau hendaklah merujuk urusan ini kepada kaum Muslimin, atau kami akan kembali kepada bagaimana ia bermula (bermaksud akan tercetus peperangan), lalu ia pergi”.

Adapun mengenai apa yang diungkapkan oleh Marwan bin al-Hakam berkenaan baiah kepada Yazid: “(Ia adalah mengikut) Sunnah Abu Bakar ar-Rasyidah al-Mahdiyyah”, Abd Ar-Rahman bin Abi Bakar menjawab dengan menyatakan: “Ia bukanlah Sunnah Abu Bakar. Abu Bakar akan meninggalkan (tidak mempedulikan) keluarga dan sukunya, dan akan menyerahkannya kepada lelaki dari Bani Uday, seandainya beliau melihatnya berkelayakan, sebaliknya ini (baiah kepada Yazid) merupakan amalan Heraklius (Byzantine)”.

Abdullah bin Umar berkata kepada Muawiyah: “Terdapat para pengganti (Khulafa’) terdahulu yang juga mempunyai anak-anak. Anak engkau tidaklah lebih baik berbanding anak-anak mereka. Mereka tidak melihat anak-anak mereka sebagaimana engkau melihat anakmu, tetapi mereka memilih (untuk mencalonkan) buat kaum Muslimin, pihak yang mereka tahu sebagai yang terbaik”.

Ibn Katsir berkata: “Apabila baiah diserahkan kepada Yazid sewaktu hayat bapanya, al-Hussain (ra) merupakan salah seorang yang enggan memberikan baiah kepadanya, bersama-sama Ibn al-Zubair, Abd ar-Rahman bin Abi Bakr, Ibn Umar dan Ibn Abbas”.

Kaum Muslimin hendaklah jelas bahawa sistem pemerintahan dalam Islam bukanlah berbentuk monarki, dan Islam tidak mengiktiraf monarki, dan ia langsung tidak sama seperti monarki.

Monarki merupakan pemerintahan berbentuk perwarisan; anak-anak mewarisinya daripada ibu bapanya, sebagaimana mereka mewarisi harta pusaka. Sedangkan perwarisan (dalam Islam) hanya boleh melibatkan harta-harta peribadi yang diwasiatkan oleh seseorang kepada keluarga atau anak-anaknya. (Malangnya) Hal ini telah dijadikan dasar yang membentuk asas kepada sistem monarki. Dalam sistem monarki, kekuasaan hanya berada di tangan raja dan keluarganya, yang memindahkannya hanya dalam kalangan mereka sahaja melalui perjanjian-perjanjian, persetujuan, bahkan ada yang melalui persengketaan dan penaklukan. Dalam Islam, tiada perwarisan dalam sistem pemerintahan, sebaliknya pemerintahan diambil oleh seseorang yang diberikan baiah oleh umat secara ridha wa ikhtiar (persetujuan dan bebas pilih). Imam Ibn hazm berkata mengenai Imamah (pemerintahan): “Tiada perselisihan dalam kalangan umat Islam bahawa tidak dibenarkan untuk (sesiapa) mewarisinya”.

Salah satu ciri monarki ialah ia memberikan kelebihan dan hak-hak keistimewaan kepada raja yang tidak diberikan kepada mana-mana warganya yang lain. Ia menjadikan raja berada lebih tinggi daripada undang-undang, dan memberikannya kekebalan, dan menjadikannya sebagai simbol kepada bangsa.

Sedangkan dalam Islam, sistem Islam tidak memberikan Khalifah (atau Imam) sebarang kelebihan atau hak-hak keistimewaan. Khalifah hanya memilik hak sebagaimana hak yang dimiliki oleh umat. Ia bukanlah simbol kepada umat yang memilikinya, namun tidak memerintah. Ia juga bukan simbol yang memerintah dan membuat apa jua keputusan dalam negara dan ke atas rakyat menurut kehendak dan hawa nafsunya. Khalifah merupakan wakil kepada umat dalam pemerintahan dan kekuasaan. Umat memilihnya dan memberikan baiah kepadanya secara redha demi menerapkan hukum Allah (swt), dan dia tertakluk kepada hukum syarak dalam kesemua tindakannya, pemerintahannya dan pemeliharaannya terhadap urusan dan kepentingan umat.

Tidak ada jawatan pewaris takhta dalam sistem pemerintahan Islam. Sebaliknya, Islam tidak menerima jawatan pewaris takhta. Islam tidak menerima pemerintahan yang diraih melalui jalan perwarisan. Islam membataskan satu-satunya jalan mengambil pemerintahan ialah melalui baiah daripada umat kepada Khalifah secara ridha wa ikhtiar (persetujuan dan bebas pilih).

Bagaimana pun, sejurus sesudah zaman Khilafah Rasyidah, pemerintahan ala monarki telah menyusup ke tubuh umat, dan penyimpangan ini berkembang sehinggalah wujudnya satu dinasti ‘pemerintahan keluarga’ yang sebenar. Lama kelamaan, bentuk pemerintahan seperti ini telah menjadi tumpuan Khalifah, sehingga kemudian menjadi adat kebiasaan bagi sang Khalifah untuk melantik saudaranya atau anaknya sebagai putera mahkota, melantik saudaranya yang lain sebagai menteri, dan mengagihkan kedudukan kepada sanak saudaranya untuk memegang jawatan penting dalam negara berserta kakitangannya, komandan-komandan tentera, melaksanakan kepentingan-kepentingan pentadbiran, dan lain-lain jawatan kepimpinan dalam negara.

Dengan terhimpunnya sejarah sebegini dalam kehidupan umat, dan juga ekoran beberapa faktor, citarasa politik dalam kalangan sebahagian besar generasi umat Islam akhirnya telah tercemar. Ia menjadi terbiasa berurusan dengan pemerintahan berbentuk monarki, lalu menganggapnya sebagai suatu bentuk pemerintahan yang boleh diterima-pakai menurut sejarah, dan menjadi keperluan kontemporari yang realistik untuk mencapai kestabilan dalam kuasa. Akhirnya, bentuk pemerintahan sebegini telah mendarah daging dalam kehidupan politik dan sosial umat, sehingga ke tahap menjadikannya (pemerintahan) seolah-olah harta peribadi yang boleh diwariskan!

Sebagai contoh, kita dapati sesetengah pihak dengan cukup mudah menyatakan bahawa sesebuah negara tersebut adalah milik anak si fulan bin si fulan. Peralihan kuasa daripada bapa kepada anaknya atau kepada saudaranya telah menjadi suatu yang tidak dapat dihindari, dan keistimewaan-keistimewaannya telah diperluaskan sehingga meliputi kesemua anak-anak dalam keluarga diraja, termasuklah dalam aspek penswastaan kerajaan dan kuasa.

Untuk (mengatasi) semua ini, dan untuk Khilafah yang bakal berdiri di atas jalan kenabian nanti, hukum mengenai as-sulthan (kekuasaan) perlu dijernihkan kepada umat. Kita sewajarnya peka dan berhati-hati dengan apa jua yang muncul, yang mula menampakkan bibit-bibit akan berulangnya sejarah pemerintahan berdasarkan (perwarisan) keluarga. Kita kena mengambil langkah yang tuntas bagi menyekatnya sebelum ia bermula kembali. Misalnya, umat perlu meletak syarat kepada pemerintah, sebelum ia diangkat menjadi pemerintah, bahawa ia tidak akan melantik kerabatnya ke jawatan kepimpinan dalam urusan kekuasaan. Ini merupakan syarat yang dibenarkan serta tidak bercanggah dengan syarak. Umat berhak meletakkan syarat seperti ini.

Sebagai penutup dan bagi merumuskan perbincangan ini, saya menyatakan: Dalam Khilafah yang kami (Hizbut Tahrir) inginkan dan perjuangkan, sang Khalifah ialah wakil kepada umat dalam menerapkan syariat, dan dia merupakan seorang yang dipilih oleh umat secara redha. Baiah merupakan satu-satunya jalan syarie untuk melantik seorang pemerintah dan ia (baiah) bukanlah sekadar upacara simbolik yang melibatkan urusan bersalaman dengan pemerintah. Kaum kerabat pemerintah tidak mempunyai sebarang kelebihan, pengaruh atau kedudukan kepimpinan. Akhir sekali, saya ingin menyatakan bahawa sesungguhnya negara ini (Khilafah) merupakan negara bagi umat Islam keseluruhannya dan bukannya negara milik si fulan bin si fulan.

أقيموا_الخلافة#

#TegakkanKhilafah

#EstablishTheKhilafah