Khutbah Jumaat: Meraih Takwa Di Bulan Ramadan

اْلحَمْدُ لِلَّهِ اْلحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا سُبُلَ السَّلاَمِ، وَأَفْهَمَنَا بِشَرِيْعَةِ النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى خَيْرِ الْأَنَامِ. أَشْهَدُ أَنْ لَا اِلَهَ إِلَّا الله وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَه، وَأَشْهَدُ أَنّ سَيِّدَنَا وَنَبِيَّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَ رَسولُهُ .اللّهُمَّ صَلِّ و سَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنا مُحَمّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإحْسَانٍ إلَى يَوْمِ الدِّين، أما بعد:

 فَيَاأَيُّهَا الْإِخْوَان، أُوْصِيْكُمْ وَ نَفْسِي بِتَقْوَى اللَّهِ وَطَاعَتِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ،

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فِي الْقُرْآنِ الْكَرِيْم:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا الله وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا، يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ الله وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا.

وقال تعالى يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Di hari yang berbahagia ini, sayyidul ayyam, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan mengamalkan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan.

Sidang Jumaat, sekalian,

        Bersyukurlah kita kepada Allah, tatkala kita dipanjangkan umur untuk terus bernafas pada minggu pertama bulan Ramadan, yakni bulan yang kita nantikan kedatangannya dengan penuh kerinduan. Kini, kerinduan kita makin terubat setelah lebih dua tahun dalam situasi pandemik, akhirnya kita dapat menghidupkan Ramadan dengan mengimarahkan rumah-rumah Allah secara lebih terbuka. Kita boleh mencari rezeki serta bergerak dengan lebih bebas dalam menyambut bulan yang penuh berkah ini.

        Pada bulan ini, Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga, menutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu. Bulan istimewa yang menganugerahkan taqwa bagi para hamba, dengan digandakan pahala amalan dan dimudahkan keampunan. Sebagaimana setiap Jumaat, khatib akan berpesan-pesan tentang takwa, maka ketakwaan jugalah yang menjadi sasaran kita yang berpuasa pada bulan Ramadan.

        Allah (swt) berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa.”

(Surah al-Baqarah ayat 183)

        Apakah yang disebutkan sebagai takwa? Dinukilkan di dalam Tafsir Ibnu Kathir ketika menjelaskan ayat kedua surah al-Baqarah bahawa amirul mukminin Umar al-Khattab (ra) bertanya kepada Ubai bin Kaab (ra) tentang makna takwa. Lalu Ubai bertanya kembali, “Pernahkah engkau melalui suatu lorong yang banyak duri?” “Pernah”, jawab Umar. “Apakah yang engkau lakukan?” tanya Ubai. “Aku akan berhati-hati dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaluinya”, jawab Umar lagi. Maka Ubai pun berkata, “Seperti itulah takwa”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Jika kita bayangkan lorong itu sebagai suruhan Allah yang perlu kita lalui dan duri itu pula sebagai kemaksiatan dan dosa yang dilarang Allah, maka kita pasti akan bersungguh-sungguh melalui jalan tersebut seraya berhati-hati melaluinya. Kerana apa? Kerana duri-duri ini akan melukakan kita, mencederakan kita dan menghalangi kita daripada sampai ke destinasi. Namun laluan tersebut tetap kita lalui dengan bekalan kesungguhan dan waspada. Itulah sedikit sebanyak hikmah daripada kisah dua sahabat Rasulullah (saw), semoga Allah meredai kedua-duanya.

        Lalu, bagaimana supaya kita dapat bergelar orang yang bertakwa pada bulan Ramadan di sisi Allah? Hal tersebut boleh kita kecapi insya Allah dari tiga sudut iaitu hubungan dengan Allah, dengan sesama manusia dan dengan diri sendiri. Secara ringkasnya adalah:

        Pertama, dari sudut hubungan dengan Allah yang merangkumi akidah dan amal ibadah, kita beriman dan menjauhi segala bentuk khurafat dan kesyirikan. Penuhilah hak-hak Allah dalam ibadah kita seharian dengan khusyuk dan ikhlas, serta janganlah melakukan keharaman dengan meninggalkannya. Tunaikan kefarduan solat, berpuasalah jika tiada uzur, dan tunaikanlah zakat di bulan ini. Bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat atas kesilapan dan dosa-dosa kita. Selepas menunaikan yang fardu, perbanyakkanlah yang sunat seperti solat tarawih, ber-qiyamullail, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain. Mudah-mudahan kita beroleh keampuanan di dunia dan akhirat. Rasullullah (saw) telah bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. (Riwayat al- Bukhari)

        Kedua, dari sudut hubungan sesama manusia yang merangkumi muamalah dan perundangan, maka kita tunaikan hak-hak dan kefarduan sesama kita yang diwajibkan Allah. Penuhilah hak nafkah, menjaga harta anak yatim, hak-hak orang yang dalam kelaparan, hak ibu bapa dan kerabat. Carilah pekerjaan yang halal, tunaikanlah akad-akad muamalat kita dengan mematuhi syaratnya, seperti akad jual beli yang betul dalam berniaga, akad pekerjaan dengan syarat masa dan kerjanya serta bermacam urusan lain yang terlalu banyak untuk disentuh. Jika kita berniaga, adalah fardu ain bagi kita untuk mengetahui hukum-hakam berniaga, begitu juga sebagai pekerja yang diupah, majikan, petani, baik awam mahupun swasta, semuanya wajib untuk mengetahui hukum-hakam sebatas pekerjaannya itu. Dengan kata lain, tuntutlah ilmu berkenaan apa-apa yang kita kerjakan. Jika kita termasuk golongan penguasa, maka kita uruskan umat serta menguatkuasakan Islam dalam kehidupan masyarakat dan bernegara, baik aspek akidah dan ibadahnya, aspek politik, pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, bahkan aspek hubungan antara negara dan aspek kehakimannya. Berdakwahlah sesama manusia dan lakukanlah amar makruf dan nahi mungkar.

        Selain yang diwajibkan, hindarilah perkara yang haram melalui ucapan-ucapan lidah yang boleh menyakiti sesama saudara, termasuklah tingkah laku dan perbuatan kita. Hindarilah riba, judi, zina, mencuri, merompak dan merampas harta orang lain. Jauhi judi yang nyata seperti nombor ekor atau bermain tikam, mahupun yang tersembunyi seperti di dalam peraduan-peraduan yang mempunyai akad yang meragukan, bahkan yang terdapat dalam perniagaan dan pelaburan yang tidak patuh syariah. Kita elakkan daripada mengabaikan hukum-hukum Allah dan memilih selain daripada syariat-Nya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

        Ketiga, dan yang terakhir ialah dari sudut peribadi dan akhlak kita yang berhubung dengan diri kita sendiri. Kita makan makanan yang halal, kita berpakaian sesuai syariat dan kita tonjolkan akhlak yang baik. Jangan kita makan dan minum sesuatu yang haram, mendedahkan aurat, bersikap sombong, riak, dan lain-lain sifat mazmumah yang tercela.

        Kesemua amalan untuk menjadi orang yang bertakwa dalam ketiga-tiga kategori ini jika disimpulkan adalah seruan takwa mimbar Jumaat setiap minggu, iaitu seruan untuk mentaati segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Atau seperti kata-kata Imam Hasan Al-Basri: “Orang yang bertakwa adalah orang yang takut dan meninggalkan apa yang diharamkan Allah. Juga memenuhi apa yang diwajibkan Allah.

Semoga kita dapat menjadi orang yang bertakwa seiring dengan seruan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ اْلقُرْآنِ اْلعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإيَّاكُمْ ِبمَا ِفيْهِ مِنَ اْلآياَتِ وَالذكْر ِالْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ اْلعَلِيْمُ

KHUTBAH KEDUA

الْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ، وَالعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَنَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَلِيُّ الصَّالِحِيْنَ، وَنَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا وَنَبِيَّنَا مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ إِمَامُ الأَنبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ، وَأَفْضَلُ خَلْقِ اللهِ أَجْمَعِيْنَ، صَلَوَاتُ اللهِ وَسَلاَمُهُ عَلَيْهِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،أَمَّا بَعْدُ:

يَا أَيًّهَا الحَاضِرُوْن، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قَالَ تَعَالَى: يَا أَيُّهاَ الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُمْ مُّسْلِمُوْنَ،

 ثُمَّ اعْلَمُوْا فَإِنَّ اللهَ أَمَرَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَالسَّلاَمِ عَلَى رَسُوْلِهِ فَقَالَ: إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِيِّ، يَا أَيُّهاَ الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ اَلْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ، إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ يَا قَاضِيَ الْحَاجَاتِ.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ الله، اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْاِحْسَانِ وَاِيْتَاۤئِ ذِى الْقُرْبٰى وَيَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَاۤءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ، فَاذْكُرُوا اللهَ العَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ اَكْبَرُ . وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ

Download PDF