Komitmen 1Malaysia Komitmen Sekularisme

altIPOH 18 Okt. – Gagasan 1Malaysia merupakan konsep unik yang perlu diterima oleh semua pihak di negara ini sebagai lambang komitmen dan usaha sepadu rakyat demi mencapai yang terbaik untuk negara.  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia sangat berbeza dengan konsep satu negara yang diamalkan di negara lain kerana mengutamakan keadilan sosial buat semua kaum dan penduduknya.   ‘‘Simbol 1Malaysia merupakan jenama hebat yang perlu disayangi oleh rakyat. Simbol itu sangat unik kerana menggunakan nombor 1 yang dimasukkan dengan bendera Malaysia.   ‘‘Nombor 1 juga merupakan angka terbesar sekali yang bermakna kita mahu melakukan dan memberi komitmen terbaik untuk negara. Inilah asas kita dan perjalanan kita masih lagi jauh kerana perjuangan membina negara tidak boleh berhenti,” katanya.  

Beliau menyatakan demikian di hadapan hampir 50,000 rakyat negeri Perak pada majlis pelancaran Gagasan 1Malaysia di Stadium Perak di sini malam ini.   Program berkenaan dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; menteri-menteri Kabinet serta para pemimpin kerajaan negeri.   Perak merupakan negeri pertama yang dipilih Perdana Menteri untuk melancarkan Gagasan 1Malaysia dan selepas ini akan dituruti oleh negeri-negeri lain.   Menurut Najib, Gagasan 1Malaysia sebenarnya bermula sewaktu semua kaum di negara ini sebagai satu keluarga menuntut kemerdekaan tanah air daripada British.   Jelas beliau, sebelum itu, semua kaum memainkan peranan demi keselamatan, keharmonian dan kemakmuran tanah air dalam menentang pengganas Komunis, mengerjakan lombong serta ladang-ladang.    Justeru, kata beliau, sudah sampai masanya negara mengiktiraf sumbangan semua kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.    Kata Najib, ia bukan bermakna kerajaan mahu mengambil hak kaum tertentu khususnya orang Melayu kerana hak tersebut telah terjamin di dalam Perlembagaan Negara.    ‘‘Gagasan 1Malaysia akan dilaksanakan berlandaskan Perlembagaan Negara serta permuafakatan antara kaum kerana dengan itu sahaja membolehkan kerajaan berlaku adil kepada semua sejajar dengan tuntutan agama Islam.    ‘‘Kerajaan pimpinan saya adalah untuk semua rakyat Malaysia, begitu juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak. Inilah keunikan dan keindahan Malaysia,” katanya.  ‘‘Bila berurusan dengan negara China kita tahu budaya mereka, bila berurusan dengan India, kita kenal budaya mereka, begitu juga negara kepulauan Melayu atau Arab.   ‘‘Akhirnya, 1Malaysia akan menjadi nilai ekonomi negara yang hebat kerana negara ini mempunyai perpaduan kaum yang cukup kuat,” katanya.   Katanya lagi, 1Malaysia bukan sahaja menjadi asas kekuatan negara malah boleh diterjemahkan dalam pelbagai bidang seperti kejayaan dalam dunia sukan, sosial dan perniagaan di peringkat antarabangsa.

Sumber: Utusan Malaysia 18/10/09

Gagasan 1Malaysia…Lambang Komitmen Rakyat…..Untuk Terus Kekal Sebagai Negara Sekular?

Ada benarnya kata pepatah,  sekali bah melanda sekali pantai berubah. Jika sebelum ini slogan sihir PM yang terdahulu adalah laungan Islam Hadhari dan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang”. Kini slogan sihir itu sirna dengan laungan “1Malaysia”. Amat malang apabila rakyat begitu mudah diubah dan berubah hanya dengan slogan-slogan yang dipropagandakan.  Najib nampaknya bersungguh-sungguh turun padang untuk mengumandangkan slogan sihir 1Malaysia ciptaannya bagi memastikan sokongan rakyat terus berpihak kepada kerajaan sekular yang sedia ada. Perak dijadikan lokasi pertama untuk mempropagandakan seruan 1Malaysia. Ini mungkin kerana senario politik Perak yang masih tidak stabil, memberikan suasana yang selesa bagi UMNO untuk memulakan ‘roadshow’ 1Malaysianya di sana. Apa yang pasti,  ‘roadshow’ propaganda ini akan menelan belanja yang cukup besar. Alangkah baiknya jika peruntukan untuk menjayakan majlis seumpama itu digunakan secara langsung membantu rakyat yang benar-benar memerlukan pembelaan dari negara? Apa sebenarnya kekuatan dan kelebihan idea 1Malaysia jika para pemimpin umat Islam yang berkuasa saat ini terus berdiri kukuh mempertahankan sistem kufur peninggalan penjajah? Hakikatnya, propaganda seperti ini adalah tidak lain merupakan agenda untuk meneruskan sistem kufur penjajah yang telah wujud sejak kemerdekaan sehinggalah ke hari ini. Asasnya tetap kekal sama – sekular – yang berubah hanya penampilannya. 

Wahai umat Islam! Kamu wajib bangkit untuk memuhasabah para pemerintah yang berkuasa saat ini agar mereka menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bukannya terpesona dan terpedaya dengan slogan-slogan sekular seumpama ini. Kamu tidak sepatutnya hanya menerima mentah-mentah apa yang dilakukan oleh para pemimpin ini, tanpa menimbangnya dengan ukuran syara’.  Secara sedar mahupun tidak, tindakan para pemimpin ini sebenarnya adalah merupakan langkah kesinambungan perjalanan mata rantai yang menyuburkan kehidupan Kapitalisme yang diterapkan oleh penjajah sebelum dari ini.

Wahai umat Islam! Apakah kita akan terus membiarkan idea-idea sekular ini berkuasa menjauhkan kehidupan dari naungan Islam sedangkan mengembalikan kehidupan Islam wajib diperjuangkan oleh umat Islam dan para pemimpin mereka yang berkuasa saat ini? Hanya dengan Islam sahajalah rahmat itu akan tersebar ke seluruh alam termasuklah bagi yang bukan beragama Islam. Firman Alllah SWT :

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ al-Anbiyaa’ (21) : 107].