Konferens Muslimah Bangkit Kesedaran Bahawa Wanita Dan Anak-anak Hanya Selamat Dalam Naungan Syariah dan Khilafah

Kuala Lumpur, Ahad, 4 Mei – Konferens Muslimah yang bertajuk “Selamatkan  Wanita dan Anak-anak dengan Syariah dan Khilafah” anjuran Khilafah Centre (KC) dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah berjaya diadakan di Kuala Lumpur International Hotel.  Konferens Muslimah ini merupakan kemuncak kepada Kempen Kebangkitan Khilafah yang telah dilancarkan pada bulan Februari yang lalu. Kempen ini telah dilaksanakan di seluruh Malaysia melalui pelbagai aktiviti termasuklah siri diskusi dan ceramah, pameran terbuka, seruan, edaran risalah dan sebagainya.

Hampir 400 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti golongan profesional, badan bukan kerajaan, ahli-ahli akademik, pelajar-pelajar dan masyakat umum. Peserta yang hadir bukan sahaja datang daripada seluruh pelusuk negara tetapi juga daripada Indonesia dan Bangladesh.

Konferens kali ini telah menampilkan empat orang ahli panel iaitu Dr. Aslam Diyana Selamat (Aktivis MHTM), Ustazah Ummu Hajar (Aktivis MHTM), Ustazah Ummu Fadhilah (Ketua Muslimah Hizbut Tahrir Indonesia) dan Puan Sumayyah Amar (Wakil Pejabat Media Pusat HT) yang telah membentangkan tajuk masing-masing dengan penuh semangat. Pembentangan tersebut telah menerbitkan kesedaran dalam diri para peserta yang hadir bahawa seluruh Muslimah mempunyai tanggungjawab dalam menyelamatkan dan membela nasib wanita dan anak-anak di seluruh dunia daripada terus hidup dalam kesengsaraan, kezaliman dan ketakutan. 

Panel pertama iaitu Dr. Aslam Diyana membuka bicara dengan membentangkan realiti permasalahan yang membelenggu wanita dan anak-anak di Malaysia yang hakikatnya realiti ini kurang mendapat perhatian dan dipandang remeh serta kadang-kadang tidak disedari oleh masyarakat Malaysia. Dalam sistem demokrasi-kapitalisme, wanita dan anak-anak terdedah dengan pelbagai jenayah seperti penderaan, rogol, pembunuhan dan banyak lagi kekejaman lain yang mana risiko ini berada di sekeliling mereka. Walaupun negara telah menunjukkan usaha menyelesaikan permasalahan ini tetapi amat mendukacitakan kerana solusi yang diketengahkan tidak membantu dan tidak pernah menyelesaikan permasalahan ini dengan tuntas.

Panel yang kedua iaitu Puan Sumayyah meneruskan pembentangan  dengan memaparkan realiti dan permasalahan wanita dan anak-anak di luar Malaysia iaitu di negara-negara lain di seluruh dunia seperti Mesir, Syria, Palestin, Iraq, Myanmar, Rusia, China dan lain-lain. Permasalahan seperti penindasan, penghapusan etnik, pergolakan politik dan lain-lain telah menyebabkan maruah serta nyawa wanita dan anak-anak sentiasa terancam kerana terpaksa hidup dalam sistem demokrasi-kapitalisme yang menjadi penyebab kesengsaraan yang tiada kesudahannya.  

Seterusnya panel jemputan khas daripada Indonesia iaitu Ustazah Ummu Fadilah juga memaparkan realiti kehidupan di Indonesia yang penuh dengan penderitaan dan kesengsaraan seperti kemiskinan, gejala sosial dan juga pelbagai jenayah. Walaupun Indonesia adalah negara yang mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di dunia, kesejahteraan hidup turut tidak dirasakan di sana. Pemimpin di negara tersebut juga tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua negara yang akan membela nasib rakyatnya seperti di negara-negara umat Islam lain.

Panel yang terakhir iaitu Ustazah Ummu Hajar pula telah menyampaikan pembentangan yang sangat penting iaitu penyelesaian sebenar bagi semua permasalahan yang telah dipaparkan oleh ketiga-tiga pembentang sebelumnya. Walaupun negara memberikan penyelesaian kepada realiti dan permasalahan yang sedang dihadapi tetapi jelas tidak dapat menyelesaikan segala permasalahan itu kerana langkah-langkah yang diambil tetap mengadaptasi sistem demokrasi-kapitalisme.   Apabila sistemnya batil dan rosak, maka apa jua bentuk penyelesaian yang terpancar daripada sistem ini juga akan rosak dan tidak boleh diharapkan lagi. Oleh itu, satu-satunya penyelesaian kepada segala permasalahan ini adalah sebuah negara Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah.  Ini kerana keunggulan dan kehebatannya telah terbukti dalam lipatan sejarah Umat Islam berabad lamanya. Ustazah Ummu Hajar telah menyeru dan amat mengharapkan agar umat Islam di Malaysia turut sama bergabung dalam usaha Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk mendirikan Khilafah bagi menyelamatkan wanita dan anak-anak daripada belenggu permasalahan yang membarah ini.

Para panel dalam Konferens ini telah berjaya menaikkan semangat peserta yang berulang kali melaungkan takbir sepanjang berlangsungnya konferens. Konferens ini turut diselangi dengan rakaman video yang memaparkan realiti sebenar kesengsaraan, penghinaan dan kezaliman terhadap para wanita dan anak-anak yang sebenarnya sedang berlaku di mana-mana di seluruh dunia.
 
MHTM mengharapkan agar Konferens Muslimah ini dapat menjadi momentum dan benar-benar akan dapat membangkitkan umat Islam dengan usaha-usaha untuk menegakkan Khilafah bagi menggantikan sistem demokrasi-kapitalisme yang mencengkam umat Islam sekarang. MHTM dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan jazakumullahu khairan kepada semua petugas, panel penceramah dan peserta yang telah menjayakan konferens ini.

{sfx rss=’https://picasaweb.google.com/data/feed/base/user/116661879362415969427/albumid/6011079732545448945?alt=rss&kind=photo&hl=en_US’ display=’album’}