Krisis Air Akibat Tidak Patuh Hukum Syarak

KUALA LUMPUR, 8/3/2018
Bandar Kinrara residence filling the water into bottles from the temporary water supply center provided by Syabas at Bandar Kinrara, Puchong.
Picture by Mukriz Hazim

Pada 19 Oktober lalu, kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor. Gangguan bekalan ini memburukkan lagi keadaan kerana ia berlaku tatkala rakyat sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi mengekang peningkatan kes positif COVID-19.

Masalah berkaitan bekalan air yang berlaku ini bukanlah satu isu yang baru. Dalam tahun 2020 sahaja, pelbagai laporan berita yang bersangkutan dengannya dihidangkan kepada masyarakat seperti masalah ketiadaan bekalan, masalah pencemaran air, masalah paip pecah, dan sebagainya. Isu air yang semakin menjadi-jadi ini turut dijadikan bahan jenaka oleh sebahagian netizen. Tidak kurang juga yang menjadikannya modal atau peluru untuk menjatuhkan kredibiliti seteru politik.

Telah banyak cadangan dan penyelesaian teknikal dikemukakan oleh pelbagai pihak, termasuklah daripada kerajaan negeri Selangor sendiri. Namun, di sebalik insiden ini kita perlu terlebih dahulu memperhatikan permasalahan sebenar yang lebih besar berkenaan pengurusan keperluan asas bagi rakyat.

Dalam Islam, negara dipertanggungjawabkan untuk memastikan seluruh pengurusan dan bekalan air bersih dan selamat kepada rakyatnya dapat dijamin sepenuhnya tanpa kompromi kerana ia merupakan keperluan asas yang menjadi salah satu daripada hak-hak rakyat. Negara perlu tampil dengan jalan-jalan penyelesaian agar keperluan air rakyat sentiasa terpenuhi.

Sudah menjadi tanggungjawab negara dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan keperluan air dan ia bukannya pilihan yang boleh dilaksanakan oleh entiti lain. Kos tidak sewajarnya menjadi faktor utama yang dipertimbangkan dalam menjalankan tanggungjawab yang diwajibkan Allah ini, kerana kewajipan tersebut wajib dijalankan walau berapa kosnya sekalipun. Begitu juga pemerintahan tidak seharusnya “berniaga” dengan rakyat dalam hal ini dengan “menjual” air kepada rakyat, kerana air sebagai salah satu keperluan asas yang merupakan hak rakyat (al-milikiyyah al-ammah). Negara juga wajib memastikan pemprosesan dan pengagihan air dijalankan dengan betul agar bekalan air bersih berterusan dapat disalurkan demi kesejahteraan rakyat.

Malangnya semua ini tidak berlaku seperti yang sepatutnya. Pengurusan air terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan bukannya kerajaan pusat. Sedangkan, sumber air mentah tidak terhad kepada sesebuah negeri semata-mata. Perkara ini menyebabkan langkah penguatkuasaan dan pencegahan sukar untuk dilaksanakan secara berkesan. Keadaan dirumitkan lagi apabila kerajaan negeri ditadbir oleh parti yang berbeza daripada parti pemerintah di peringkat pusat.

Sebagai contoh, gangguan bekalan air tidak berjadual di sesebuah negeri boleh terjadi akibat pencemaran yang terjadi di kawasan hulu sungai yang terletak di negeri lain. Selain itu, pelaksanaan langkah-langkah seperti penguatkuasaan jarak minimum kilang daripada sungai, atau pembinaan lokasi pengambil air (water intake) di kawasan hulu sungai bagi mengurangkan risiko terdedah kepada pencemaran, misalnya, tidak akan berkesan sekiranya tidak dilaksanakan secara tersusun melibatkan negeri-negeri lain.

Keadaan menjadi lebih buruk dengan penswastaan pengurusan air. Dasar penswastaan sebegini dikatakan bertujuan untuk memastikan kualiti dan produktiviti tinggi dalam penyampaian  perkhidmatan. Namun, berdasarkan apa yang terjadi, kita dapati penswastaan tidak menjamin kualiti dan produktiviti perkhidmatan. Bahkan sebagai sebuah syarikat swasta, pastinya model perniagaannya bersandarkan motif untuk meraih keuntungan. Tanggungjawab yang sepatutnya digalas oleh negara kini diserahkan kepada syarikat swasta, dan perkara ini bukan hanya berlaku dalam sektor pembekalan air semata-mata.

Meskipun syarikat-syarikat sebegini sebahagiannya merupakan milik kerajaan (baik sepenuhnya mahupun sebahagian sahaja), namun perkara ini tetap tidak dapat diterima kerana model perniagaan sesebuah syarikat swasta adalah berpaksikan keuntungan dan penjimatan kos. Dengan kata lain, jika kerajaan (baik kerajaan negeri mahupun pusat) memiliki syarikat-syarikat yang terlibat dalam menguruskan hak-hak rakyat, bererti kerajaan telah berniaga dengan rakyat dalam memenuhi tanggungjawab menyediakan keperluan asas dan hak-hak rakyat.

Inilah natijah penerapan sistem Kapitalisme, termasuklah perlaksanaan dasar penswastaan dalam hal ini. Di samping itu, kita juga dapat melihat kepincangan sistem persekutuan (federalisme) yang secara umumnya bukan sahaja menggugat keberkesanan penyampaian perkhidmatan, bahkan boleh mengakibatkan rakyat menjadi mangsa akibat pertembungan antara parti-parti politik yang membentuk kerajaan pusat dan negeri.

Wallahu a’lam.